KULIM: Walaupun tulang pinggangnya patah dan kedua-dua kakinya lumpuh sejak berusia 16 tahun, Zamri Mansor, 38, masih bersemangat waja untuk berdikari dan kini mula mencipta nama sebagai seorang kontraktor Kelas F.
Statusnya sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) juga tidak menghalangnya untuk ke menara gading kerana beliau juga sedang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara di Merbok dalam jurusan pentadbiran awam.
"Kehidupan seharian saya berjalan seperti biasa. Di samping mengawasi 18 pekerja termasuk empat OKU menjalankan tugas mereka, saya juga perlu mengikuti kuliah," kata Zamri kepada Bernama ketika ditemui membantu rakannya, juga seorang OKU, menjual minyak wangi di sebuah gerai sempena perasmian bangunan baru Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Bandar Baharu dekat sini.
Ketika mengimbas kembali pengalamannya, Zamri berkata bahawa ketika masih belajar di Tingkatan Empat di Maktab Sultan Abdul Hamid di Alor Setar 22 tahun yang lepas, beliau terlibat dalam satu kemalangan menyebabkan tulang pinggangnya patah dan kemudian kedua-dua kakinya menjadi lumpuh sehingga dia terpaksa berhenti bersekolah pada 1988.
Namun, beliau masih gigih untuk belajar dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia secara bersendirian pada 2000 dan lulus membolehkannya menjejakkan kaki ke UiTM di Shah Alam dan belajar selama setahun dalam bidang perundangan.
Namun beliau terpaksa menangguhkan pengajiannya disebabkan faktor peribadi.
Selepas itu dia pulang ke kampungnya di Kampung Pantai Halban, Jitra, dan mula berjinak-jinak menjadi peraih udang di Pasar Cina, Jitra dengan modal RM50 yang dipinjam daripada seorang kawan.
Selama dua tahun dia menjual udang segar yang dibelinya terus daripada nelayan di Kuala Sanglang dan Kuala Kedah dengan berulang alik setiap hari menunggang motosikal yang diubahsuai seperti yang digunakan OKU.
"Walaupun mampu menjual 50 hingga 60 kilogram sehari, usaha ini amat meletihkan kerana saya tiada pembantu. Lagipun saya terpaksa memikul sendiri tong-tong berisi udang setiap hari menyebabkan saya mengambil keputusan mengundurkan diri", kata Zamri.
Zamri, anak keempat daripada tujuh beradik, tidak mudah menyerah kalah.
Dia kemudian mendapat peluang menjalankan kerja senggaraan seperti membina laluan khas untuk OKU dan sebagainya di pejabat-pejabat kerajaan daerah Kubang Pasu selaku subkontraktor dari 2004 hingga 2007.
Berbekalkan pengalaman dua tahun yang ditimbanya daripada menjalankan kerja subkontraktor, Zamri memberanikan diri mendaftar sebagai kontarktor Kelas F dengan Pusat Khidmat Kontraktor dengan menggunakan nama Syarikat Hangaku Selenggara Enterprise pada 2008.
Setelah mendapat peluang menyediakan khidmat melalui kerja penyelengaraan bangunan di Rumah Warga Emas Seri Kenangan di Bedong, beliau kini berusaha meluaskan bidang perkhidmatannya ke bangunan-bangunan kerajaan di sekitar negeri Kedah.
Zamri, yang boleh memandu keretanya sendiri di samping menggunakan kerusi roda untuk menguruskan tugas seharian sebagai seorang kontraktor, kini sudah tidak kekok atau merasa rendah diri apabila bergaul dengan kontraktor yang lain.
Katanya azam beliau apabila tamat pengajian di UiTM nanti ialah untuk meningkatkan lagi tahap urusan kerjayanya serta untuk membantu OKU lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: