![]() |
| Animator muda menunjukkan kemahirannya menggunakan perisian 3D. |
ADA banyak faktor yang menyebabkan sebilangan besar daripada pelabur berpendapat penerbitan karya animasi menelan belanja yang cukup tinggi.
Selain persepsi, faktor lain yang turut menyumbang ke arah salah faham ini ialah ketiadaan rujukan untuk melakukan perbandingan harga.
Sebetulnya, kos penghasilan imej janaan komputer (CGI) dan animasi tidaklah terlalu mahal sehingga mencecah jutaan ringgit.
Perkara ini diakui oleh pengarah animasi filem Libas, Amru Najmi Osman yang berpendapat, ketiadaan rujukan itu menyebabkan penerbit sukar untuk mencari penanda aras tahap kualiti sesuatu CGI atau animasi sama ada dalam filem mahupun drama.
Lebih malang lagi, Amru menyifatkan, kejahilan penerbit terhadap teknik dan cara pembuatan kesan khas dan CGI juga menyumbang kepada peningkatan kos penerbitan.
Katanya, bilangan syarikat yang menawarkan khidmat pembuatan animasi dan CGI juga terlalu sedikit menyebabkan tiada persaingan harga yang kompetitif.
Beliau berkata, pendedahan ini dibuat atas keprihatinannya untuk melihat kemajuan industri animasi dan CGI di negara ini.
Menurut Amru, jika persepsi dan pemikiran jumud ini tidak dibetulkan, dikhuatiri industri tersebut akan terkubur tanpa nisan.
"Ini kerana hanya yang mampu sahaja akan menggunakan teknik CGI di dalam filem mahupun drama mereka manakala yang lain sekadar menjadi penonton sahaja," jelasnya kepada Hits ketika ditemui di pejabatnya di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Untuk mengatasi pemikiran songsang bahawa CGI dan animasi mahal, Amru menyarankan pihak penerbit memahami proses penghasilannya secara umum agar tidak ditipu hidup-hidup dan dikenakan caj yang tidak masuk akal.
Penerbit juga, ujar Amru, perlu meminta contoh atau 'showreel' daripada syarikat pembuat CGI dan animasi tersebut untuk menilai kualiti kesan khas yang dihasilkan.
Beliau memberi contoh, syarikat miliknya, Two tones Sdn. Bhd. menyediakan trailer selama satu minit untuk dinilai oleh penerbit filem Libas, MDAG Marketing Sdn Bhd.
"Mereka berpuas hati dengan hasil kerja kami dan yakin sentuhan CGI akan memberi kelainan serta impak positif kepada industri filem tanah air," terang Amru mengenai pencapaian syarikatnya.
Dalam Libas, hampir keseluruhan bola takraw yang digunakan adalah melalui teknologi 3D dan secara teknik CGI. Penggunaan kesan khas asap, api dan bola futsal juga turut ditunjukkan dalam filem itu.
Biarpun ada suara-suara sumbang yang menyamakan Libas dengan Shaolin Soccer namun penerbit menerimanya sebagai satu kritikan dan pandangan yang membina.
"Libas ada citra tempatan, asli dan padat dengan kesan khas berkualiti mega," jelas Amru yang berpengalaman 15 tahun dalam bidang animasi dan CGI ini.
Amru juga optimis Libas akan muncul sebagai filem pertama yang mampu menaikkan taraf animasi dan CGI di Malaysia.
Beliau turut memuji usaha kerajaan memajukan industri ini melalui geran yang disalurkan oleh Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) dan agensi di bawahnya khususnya Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).
Industri ini terbukti mampu membantu mengembangkan ekonomi bentuk baru dan berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan serta satu kerjaya pilihan di kalangan generasi muda.
Dalam konteks ini, kata Amru, Two Tones melatih pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tenaga produksi untuk mendedahkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran menghasilkan animasi atau CGI.
"Selain mendapat gaji, mereka mampu mendalami bidang ini dan ia merupakan ilmu yang mampu menjana pendapatan yang lumayan seperti industri animae di Jepun serta negara maju yang lain," katanya.
Pada Amru, dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, industri ini akan menjadi milik umum - bukan hak eksklusif untuk animator dan individu berkemahiran khas sepertinya.
"Dulu hanya pengaturcara komputer yang boleh membina laman web, kini dengan blog dan laman sosial seperti Facebook atau Twitter, semua orang boleh memiliki laman web sendiri dengan mudah tanpa bantuan sesiapa," jelasnya memberi analogi.
Tambahnya, hal yang sama akan berlaku kepada industri animasi, 3D dan CGI. Malah evolusi itu telah dan sedang berlaku.
Jika dulu keupayaan perisian dan perkakasan tidak seiring menyebabkan proses rendering memakan masa hingga berjam-jam lamanya.
Kini kekangan itu telah diatasi dan proses penghasilan animasi dan 3D semakin pantas.
Pada masa sama, menurut Amru, kos perisian dan perkakasan khususnya komputer juga semakin murah.
Justeru, sewajarnya kos produksi untuk animasi, 3D dan CGI juga semakin rendah tetapi berpatutan dan sepadan dengan hasil kerja yang ditunjukkan.
Bagaimanapun, tegas Amru, jalan cerita dan skrip yang baik tetap menjadi tunjang kekuatan sesebuah filem atau drama.
Kecanggihan teknologi, katanya, sekadar menjadi pelengkap untuk mewujudkan suasana spektakular yang tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: