MALAYAN Banking Berhad (Maybank), kumpulan perbankan terbesar tempatan, menyasar menjual unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernilai RM100 juta ketika Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM 2010) di Kuching, Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata sasaran itu lebih rendah berbanding jualan ASB bernilai RM150 juta ketika MSAM ke-10 di Johor Bahru, Johor, tahun lalu.
“Kami menyasar jualan lebih rendah berikutan jumlah penduduk lebih kecil di Kuching berbanding Johor Bahru,” katanya dalam satu temubual sempena MSAM, semalam. Beliau berkata, penduduk di Sarawak juga lebih berselerak di bandar seperti Sibu dan Miri berbanding Johor yang lebih berpusat.
“Bagaimanapun, sasaran bagi Sarawak setanding dengan negeri seperti Negeri Sembilan dan berpotensi lebih tinggi berbanding Terengganu,” katanya.
Menurutnya, Maybank adalah ejen perbankan terbesar bagi ASB di negara ini. “Kami menumpukan kepada ASB. Ketika ini, kami menguasai lebih setengah daripada nilai dana ASB yang dikendalikan bank-bank,” katanya.
Katanya, meskipun menjangkakan pengunjung lebih rendah tahun ini, namun sambutan diterima setakat ini menggalakkan apabila MSAM 2010 bermula secara rasmi semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: