Thursday, April 1, 2010

Masjid tertua Beijing tarik pengunjung seluruh dunia



BEIJING - Sambil memakai songkok buatan Malaysia, imam masjid tertua dan terbesar Beijing, dengan penuh ceria mempelawa pelawat memasuki kawasan masjid berkenaan.

Taudin Baiyuchin, 62, berkata, masjid seluas 10,000 meter persegi dan memiliki seni bina bercirikan budaya Islam serta Cina itu menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia.

Kedai dan pasar raya yang menjual makanan halal mudah didapati di sekitar kawasan masjid berkenaan.

“Saya sungguh gembira melihat umat Islam dari seluruh dunia mengunjungi masjid ini... semua umat Islam adalah bersaudara.

“Songkok ini pemberian seorang pelawat dari Malaysia,” kata imam itu sambil memegang sebuah buku nota bersaiz A-4 yang mengandungi komen mereka yang melawat masjid berkenaan

Dibina pada tahun 996M, Masjid Niujie berdiri megah di daerah Xuanwu, kawasan kediaman paling ramai umat Islam di ibu negara China ini. Xuanwu adalah sebuah bandar moden yang sentiasa sibuk dengan pelbagai kegiatan.

Taudin, yang menjadi imam di masjid itu sejak 10 tahun lalu berkata, Masjid Nuijie pernah menerima kunjungan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

“Rakyat Malaysia sungguh baik hati, peramah dan negara mereka juga cantik... saya melihatnya dalam gambar dan berharap akan berpeluang ke sana,” katanya ketika ditemui.

Kerajaan China membiayai beberapa projek pemulihan masjid berkenaan, yang dianggap antara masjid paling terkenal di dunia sejak 1949.

Pada 2005, kerajaan menyumbangkan 25 juta Yuan bagi melaksanakan kerja pembaikan dan pembesaran Masjid Niujie, termasuk membina semula Dewan Wanita.

Sementara itu, Imam Wilayah Ningxia, Ding Guobao, 42, yang ditemui di masjid berkenan Jumaat lalu, berkata, pelawat Islam ke China berminat mengunjungi wilayah kediamannya, yang merupakan kawasan paling ramai penduduk Islam di negara ini.

“Wilayah kami mempunyai lebih dua juta penduduk Islam, banyak masjid dan restoran makanan halal.

“Wilayah kami juga terkenal kerana sinseh dan kaligrafi,” kata Guobao yang akan berlepas ke Mesir bagi menghadiri mesyuarat berkaitan Islam.

Sekumpulan pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian bahasa Mandarin di Bijing Foreign Studies University dan sekumpulan petugas lapangan terbang dari Pulau Pinang adalah antara umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di masjid itu minggu lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: