Saturday, April 10, 2010

Laman web Tuanku Mizan masih beroperasi

KUALA LUMPUR - Selepas seminggu seorang menteri mengarahkan supaya pihak berkuasa menyiasat sebuah laman web mengenai Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, sehingga semalam belum ada tanda-tanda sebarang tindakan diambil untuk menutup laman web itu.

Kosmo! mendapati laman web menggunakan bahasa Indonesia dan beralamat www.sultanmizan.blogspot.com itu masih boleh diakses.

Sebelum ini, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencipta laman web itu.

Rais dilaporkan berkata, kerajaan memandang serius tindakan pencipta laman web itu kerana menggunakan dan mencemari imej Seri Paduka.

Pengarah Komunikasi Korporat SKMM, Zetty Marziana Mohamed ketika dihubungi semalam menjelaskan, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengesan pengendali laman web itu.

"Kami hanya boleh memberitahu perkembangan kes itu jika pihak atau individu yang bertanggungjawab dapat dikesan,'' katanya ketika dihubungi.

Pengendali laman web itu bukan sahaja mengadakan undian pelawat mengenai Seri Paduka malah beberapa kali merujuk Seri Paduka sebagai 'ia'.

Selain itu, laman web berkenaan juga meletakkan tarikh pertabalan yang salah iaitu kononnya pada 13 Disember 2006 sedangkan pertabalan baginda dibuat pada 26 April 2007.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: