Monday, April 19, 2010

Lali digigit dan dicakar haiwan liar

Setiap kesan parut pada kedua-dua belah tangan Zulhaili mempunyai cerita dan pengalaman yang menyebabkan dia begitu arif tentang pelbagai jenis haiwan.




TANGAN Zuhaili Zain Zainuddin, dengan perlahan-lahan menghampiri dua ekor kala jengking yang berada di dalam sebuah bekas. Besar dan panjang kala jengking tersebut hampir menutupi tapak tangan anak muda yang berusia 24 tahun itu.

Tiba-tiba salah seekor daripada kala jengking itu mengembangkan penyepit, malah ekornya juga naik menegak. Nampaknya, gerak-geri Zuhaili yang cuba mengambilnya berjaya dihidu sang kala jengking hitam berkilat tersebut.


YUSMADY memegang seekor burung kakak tua yang turut menjadi tarikan di Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon.


Kemungkinan besar jika Zuhaili terus mengangkat haiwan yang terkenal dengan bisanya itu, dia pasti akan disengat pada bila-bila masa sahaja.

Anak muda yang berasal dari Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu menarik semula tangannya. Sebaik ekor kala jengking itu kembali turun, tanpa berlengah lagi Zuhaili menghampiri dan mencengkam kala jengking itu secara lembut.


JO-LIN mendapat kepuasan bekerja dalam bidang yang diminatinya.


Sekejap sahaja kala jengking tersebut sudah berada di tangan Zuhaili. Kala jengking itu kemudian diletakkan di sebelah tapak tangan kirinya sambil dihalakan di depan kamera jurufoto Kosmo!, Aizzul A. Majid.

"Kita kena tahu bagaimana menangani haiwan-haiwan eksotik ini. Walaupun haiwan tersebut terdiri daripada jenis yang sama tetapi setiap daripadanya pasti mempunyai perangai berbeza. Misalnya ular, walaupun terdapat dua jenis ular sawa yang sama, tetapi mungkin salah seekor lebih agresif dan tidak suka dipegang.

"Ada juga yang tidak suka makan tikus sebaliknya menggemari arnab. Ada yang sesetengahnya tidak boleh duduk di dalam tempat yang panas dan sebagainya. Mengenali haiwan bukan mengambil masa sehari dua sahaja, tetapi memerlukan masa berbulan-bulan," kata anak sulung daripada empat adik-beradik itu yang banyak kali digigit dan dicakar haiwan eksotik.

Setiap kesan parut pada kedua-dua belah tangannya mempunyai cerita dan pengalaman yang menyebabkan dia begitu arif tentang pelbagai jenis haiwan.

Tanyalah pada Zuhaili apa sahaja jenis haiwan yang anda ingin tahu, semuanya boleh dijawab olehnya dengan terperinci.

Manakan tidak, Zuhaili merupakan seorang renjer dan juga penyampai acara di Taman Hidupan Liar, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor. Tugasnya setiap hari menghiburkan pengunjung dengan menjadi penyampai acara bagi segmen Wild Friends Show pada pukul 3 petang. Antara haiwan yang mengambil bahagian ialah burung kakak tua, ular dan rakun.


KALA jengking menjadi teman permainan Zuhaili setiap hari.


"Sebagai renjer, saya kena kenal pasti setiap haiwan yang ada di taman ini supaya jika pengunjung bertanya, mereka akan mendapat maklumat yang tepat," katanya mengenai haiwan-haiwan di Taman Hidupan Liar yang terdiri daripada 150 spesies dengan jumlah keseluruhan mencecah 700 ekor.

Walaupun baru berkhidmat selama setahun tiga bulan di sana, Zuhaili sebenarnya mempunyai pengalaman yang lama dalam menjaga dan mengenali haiwan eksotik itu.

Bermula dengan kura-kura


PENGUNJUNG cilik teruja dapat mendekati dan bermain dengan kura-kura dan arnab.


Sebelum bekerja di Taman Hidupan Liar, Zuhaili terlebih dahulu memperoleh pengalaman bekerja di Animal Zone, Menara Kuala Lumpur, penjaga reptilia untuk syarikat Reptile Advance di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya dan melibatkan diri dengan beberapa acara Rakan Muda.

Kerana bakatnya itu juga, dia dijemput oleh TV9 dalam rancangan Nasi lemak Kopi-O sebagai pengacara bagi segmen My Pet, setiap hari Sabtu. Selain itu, Zuhaili juga merupakan pengacara program Pets & Kids On 2 di TV2 pada setiap hari Ahad dari pukul 7.30 hingga 10.30 pagi.


ZUHAILI memegang seekor monyet albino yang menjadi antara haiwan unik di Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon.


"Mulanya saya bekerja sebagai renjer sahaja, kemudiannya diberi kepercayaan menjadi penyampai acara pula di Taman Hidupan Liar, Sunway Lagoon. Tugas saya bermula seawal 10 pagi hingga 6 petang. Saya hanya bercuti pada hari Selasa sahaja," katanya yang sudah lali dengan bau busuk dan kerenah haiwan yang terdapat di situ.

Setiap kali pengunjung datang ke Taman Hidupan Liar di Sunway Lagoon, Zuhaili akan menarik minat pengunjung dengan membawa keluar beberapa jenis haiwan eksotik sambil memberi penerangan mengenainya. Keakraban Zuhaili membelai haiwan-haiwan di situ juga membuatkan pengunjung merasa berani untuk memegang haiwan-haiwan tersebut.


ZUHAILI memberi arahan kepada seekor burung kakak tua semasa menjadi penyampai acara di taman tersebut.


Zuhaili sebenarnya mempunyai pengalaman yang cukup luas mengenai haiwan. Kisah jejaka itu bermula, apabila ayahnya menghadiahkan beliau seekor kura-kura semasa dia berumur empat tahun. Sejak itu, minat untuk membela haiwan mula timbul.

"Ramai rakan yang tahu mengenai minat saya ini. Tanpa disangka, semasa saya menyambut hari jadi yang ke-15 pula, salah seorang rakan menghadiahkan sepasang ular sawa.


RENJER eksotik perlu bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan termasuk digigit haiwan berbisa semasa bekerja.


"Sejak itu, saya berminat untuk mengumpul haiwan eksotik. Bermula dengan ular, selepas itu saya membeli pula kala jengking, biawak pasir (dhab) dan katak. Saya membuat kajian di laman sesawang, majalah-majalah dan berjumpa sendiri dengan doktor haiwan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai penjagaan haiwan-haiwan eksotik," katanya yang tidak menganggap haiwan eksotik adalah kotor dan jijik seperti anggapan sesetengah pihak.

Mengakui merasa seronok melihat sendiri ular yang diberi nama Chet dan Chotnya bertelur dan menetas di depan mata, haiwan-haiwan eksotik Zuhaili semuanya ditempatkan di dalam akuarium yang diperolehnya daripada hasil buangan orang.




Zuhaili juga pernah berkongsi dan bertukar-tukar pendapat dengan rakan-rakan yang turut meminati haiwan eksotik semasa dalam forum Malaysiafauna dulu.

Renjer cantik

Sementara itu, bagi renjer Lim Jo-Lin, 24, pula, tugasnya setiap hari di Taman Hidupan Liar tersebut adalah berbeza dengan Zuhaili. Setiap hari, Jo-Lin akan memeriksa keadaan kesihatan haiwan-haiwan di situ.

Anak ketiga daripada empat adik-beradik itu akan membantu doktor haiwan dan memeriksa mana-mana haiwan yang sakit.

"Kalau hendak tahu jika haiwan itu sihat atau tidak, saya akan tengok sama ada ia aktif atau peka dengan keadaan persekitarannya. Selain itu, tengok juga selera makannya, adakah sama seperti biasa atau tidak," kata Jo-Lin.

Dia yang baru empat bulan bekerja di Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon, merupakan graduan yang mengikuti kursus Biologi Pemuliharaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Sememangnya bidang saya menjurus ke arah haiwan. Jadi, memang sesuai kerja yang saya lakukan sekarang," katanya yang lengkap mengenakan uniform renjer bersama topi berwarna coklat.

Ditanya sama ada dia geli atau takut semasa menjalankan tugas, Jo-Lin memberitahu, semasa belajar lagi dia sudah terdedah dengan haiwan.

Renjer cantik berasal dari Taiping, Perak ini pernah membedah tikus untuk membuat kajian semasa belajar.

"Saya juga pernah masuk hutan dengan kawan-kawan untuk membuat kajian mengenai haiwan-haiwan yang terdapat di situ," katanya yang biasa menangkap katak dengan menggunakan tangan untuk mengenal pasti jenis-jenis spesies bagi projek kuliahnya.

Sebelum bekerja di Taman Hidupan Liar, Sunway Lagoon, Jo-Lin juga pernah menjalani latihan praktikal di Zoo Taiping, Perak.

"Semasa menjalani latihan praktikal di sana, saya bukan sahaja perlu memeriksa kesihatan haiwan tetapi juga perlu membersihkan tempat dan memberi haiwan-haiwan di situ makan," katanya yang tidak terfikir untuk bekerja di bidang lain kerana sudah serasi dengan haiwan.

Paling mahal RM80,000

Menurut Pengarah Operasi Sunway Lagoon, Yusmady Md. Yatin, 39, Taman Hidupan Liar ditubuhkan sejak tiga tahun lepas dan ia secara rasminya dilancarkan pada tahun 2009 oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas.

Ia diwujudkan bertujuan untuk memberi pembelajaran mengenai haiwan-haiwan tersebut serta sistem ekologi bumi khusus bagi golongan anak muda.

Antara haiwan yang terdapat di situ ialah binturung, musang kesturi, burung kakak tua, siamang, flamingo, kenyalang, macaque (sejenis kera), marmoset (spesies monyet terkecil), rusa berbintik-bintik, monyet tupai, beruang matahari, walabi dan pelbagai lagi.

"Terdapat haiwan eksotik yang memerlukan permit khas daripada kementerian di Taman Hidupan Liar antaranya ialah Cottontop Tamarin (salah satu spesies monyet) dari Australia dan Blue Tonque (sejenis cicak dari Australia dan New Guinea).

"Haiwan eksotik yang paling menarik minat pengunjung ialah Albino Long-Tale Macaque (monyet albino) dari Malaysia," katanya.

Jelasnya, haiwan yang terdapat di taman hidupan liar adalah dari serendah RM500 hinggalah ke RM80,000 seekor.

Ini kerana, perbelanjaan haiwan tersebut adalah mengikut kematangan. Ada sesetengahnya sudah dilatih jinak atau untuk persembahan. Justeru, harganya juga agak mahal.

Yusmady memberitahu, haiwan-haiwan yang diperoleh di Taman Hidupan Liar, Sunway Lagoon adalah melalui kerjasama yang dijalankan dengan zoo-zoo tempatan, penjual haiwan dan Jabatan Perhilitan Malaysia.

"Semua haiwan-haiwan di sini mendapat jagaan daripada renjer yang terdiri daripada 16 orang," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: