Sudahlah jatuh tangga, kini ditimpa tangga pula. Itulah yang dialami keluarga Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau Din Beramboi apabila kediaman mereka di Taman Sentosa, Sungai Buaya, Kuala Kubu Baru dipecah masuk individu tidak bertanggungjawab.
Kejadian pada Ahad malam lalu mengejutkan ramai pihak kerana di saat keluarga arwah masih bersedih atas kehilangannya, ada pula manusia durjana sanggup mengambil kesempatan.
Difahamkan, pencuri itu berjaya melarikan barangan bernilai kira-kira RM20,000, termasuk barangan peribadi Allahyarham seperti komputer riba dan lima jam berjenama.
Walaupun malang menimpa, isteri Allahyarham, Suhaini Che Man, 42, menganggapnya sebagai petunjuk Allah agar dia dan anak-anaknya berpindah dari rumah itu.
“Kejadian itu berlaku selepas tiga hari majlis tahlil dibuat dan itulah petunjuk daripada Allah agar kami sekeluarga berpindah dari situ.
"Sebenarnya, memang sejak dulu lagi arwah memang tak suka saya dan anak-anak tinggal di situ kerana kawasan itu agak berbahaya dan ramai budak-budak nakal," kata Suhaini ketika dihubungi baru-baru ini.
Katanya, sebelum ini, setiap kali arwah ada kerja luar, dia sanggup mengupah orang untuk menjaga isteri dan anak-anaknya.
"Dia memang sangat pentingkan keselamatan keluarga dan selalu risaukan anak-anak kalau dia tak ada, malah selalu suruh saya pindah dari situ, tapi saya memang berat hati sebab sayang nak tinggalkan rumah itu.
“Tapi bila benda ni dah jadi, saya bertekad nak pindah dan saya dah pun buat keputusan untuk tinggal di rumah emak di Taman Ehsan, Kepong kerana saya nak sentiasa berada dekat dengannya, kerana di sinilah arwah disemadikan,” kata Suhaini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: