
KALAU diberi waktu ekstra dalam seminggu, penghibur dari negara seberang, Agnes Monica, 23, pasti menjadi individu paling bahagia. Berbahagi antara karier, pengajian dan komitmen lain membuatkan kekangan masa sentiasa menghantui dirinya.
Masakan tidak, tiga kali seminggu menjalani latihan fizikal, vokal, tarian termasuk kuliah membuatkan anak kelahiran kota Jakarta itu memanfaat secara total hari-hari yang dilalui.
"Saya harus hadiri kelas vokal selama beberapa jam, luangkan waktu tiga jam di gimnasium, latihan tarian boleh dikatakan hampir setiap hari jika menjayakan persembahan besar serta menumpukan perhatian dalam kelas.
"Semua dilakukan dalam tempoh seminggu. Sebagai penyanyi, saya tidak percaya buat persiapan mendadak terutama ingin melakukan pertunjukan pentas berskala besar. Jadi, saya kena belajar memantapkan suara, menari dan kekalkan stamina pada hari biasa.
"Biarpun sering mengalami masalah kekurangan masa, saya cuba membahagi waktu singkat ini dengan sebaik mungkin. Saya sanggup berkorban demi cinta mendalam terhadap bidang seni," katanya ketika ditemui pada sidang media Minggu Setiausaha 2010 - Hotel Quality di ibu negara minggu lalu.
Selain kerjaya seni, jelas Agnes, pelajaran menjadi keutamaan kepada dirinya. Maka, tidak hairan dia bertungkus-lumus menuntut ilmu secara maya dalam kursus Sains Politik di Universiti Oregon, Amerika Syarikat biarpun cahaya glamor sedang menyimbahinya.
Begitupun, kesibukan wanita yang dilahirkan pada 1 Julai 1986 itu menjadi penghalang untuk dirinya menjalin hubungan cinta. Diakui, menjejak sang kekasih belum berada dalam diari hidup Agnes buat masa ini.
"Kalau ada teman lelaki sekarang pasti dia sudah cabut lari gara-gara tidak tertahan kesibukan saya," jelasnya yang pernah muncul dengan drama bersiri, Aku T'lah Jatuh Cinta.
Memilih lelaki yang bukan terlibat dalam bidang seni, Agnes bagaimanapun lebih tertarik dengan orang biasa. Dia bagaimanapun punya alasan relevan bersikap memilih dalam soal tersebut.
"Saya tahu ada sebilangan penggiat seni yang menghadapi masalah kewangan dan mengamal gaya hidup sosial. Pada saya, lelaki seharusnya berada dalam kedudukan stabil dan menjadi nakhoda dalam keluarga.
"Lagipun saya suka lelaki bijak dan bekerja dalam cabang profesional. Bukan hendak cakap besar. Sebaliknya kalau boleh saya mahu hindari bercinta dengan artis," jelasnya yang sentiasa ditemani ahli keluarga apabila keluar bersantai dan berada di tempat awam.
Minggu Setiausaha
Berkongsi keterujaan mengadakan Minggu Setiausaha 2010 - Hotel Quality di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 28 dan 29 April ini, Agnes mengaku hatinya tenang dapat menghiburkan penonton di negara ini.
"Maaf kerana saya tidak boleh mendedahkan apa yang ingin dibuat pada majlis ini. Cuma saya boleh kata ia mengandungi kombinasi susunan muzik bagi tonjolkan kesegaran terhadap persembahan saya.
"Tidak ketinggalan, saya sertakan gimik tersendiri kepada penonton dan mendendangkan himpunan lagu sendiri termasuk daripada album terbaru, Sacredly Agnezious yang dilancarkan pada Mei tahun lalu.
"Kemunculan saya kali ini tidak membawa pemuzik sendiri. Saya cuma bawa penari, penyanyi latar, jurutera bunyi dan pengarah muzik. Tidak sabar rasanya hendak bekerjasama dengan pemuzik Malaysia," jelasnya yang bakal meraih pengalaman baru bekerjasama dengan Jenny Chin.
Berkongsi cerita persiapan diri melakukan pertunjukan Minggu Setiausaha itu, Agnes tanpa berselindung memberitahu, dia bukan tergolong sebagai penyanyi melakukan kerja pada saat akhir.
"Saya pernah bertanyakan kepada beberapa setiausaha di negara sendiri keinginan mereka apabila menonton persembahan saya. Cukup berterus-terang, golongan ini sekadar ingin tengok Agnes sebenar.
"Maksudnya Agnes yang boleh menyanyikan lagu bercorak balada, rancak sambil menari dengan penuh energetik. Itulah yang mereka mahukan daripada saya tanpa ada permintaan lainnya.
"Bercakap soal mental dan fizikal, kalau namanya penyanyi, saya sudah bersedia bila-bila masa," jawabnya yang pernah melalui variasi fasa perubahan imej - bergaya punk rock, harajuku, hip hop, sporty dan glamor.
Sebelum mengakhiri bicara disebabkan Agnes bergegas untuk menjamu selera di sebuah restoran Thailand sekitar ibu negara, dia menjanjikan acara itu pasti menjadi momen berharga kepada seluruh audiens.
"Tidak kira apa jua persembahan sebelum ini, peminat Agnes Monica berhak dapat yang terbaik. Kemudian mereka pulang ke rumah dengan penuh kepuasan," jawabnya ringkas yang terkenal dengan gaya bertenaga tatkala berada di atas pentas.
Peminat terutama golongan setiausaha dan para majikan boleh membeli tiket berharga RM290, RM390, RM490 dan RM590 untuk setiap seorang. Sebarang keterangan lanjut dan tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-26939233 sambungan 8023/8017 atau e-mel di fnb@quality.com.my.
Penonton bakal dijamu dengan hidangan lazat berkonsep antarabangsa terdiri dari negara Asia, Timur Tengah dan Eropah di samping membawa pulang cenderamata daripada Hotel Quality.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: