Saturday, April 10, 2010

Ilyka Lebih Bertenaga Dengan Sistematik

Ilyka tidak pernah membataskan status ibu terhadap kerjaya nyanyiannya.

HAMPIR Sepuluh tahun dalam industri hiburan penyanyi, Ilyka, 38, tidak pernah mengenal erti putus asa. Biarpun kurang dikenali berbanding rakan artis yang seangkatan, pemilik nama sebenar Zuraila Mohd Yassin ini tidak pernah berasa jemu untuk menyanyi, malah baginya menyanyi adalah sebahagian dari hidup.

Berstatus ibu kepada seorang anak perempuan, Arisya Datuk Ahmad Azizi, 7, tidak membataskannya untuk bergiat aktif dalam bidang nyanyian. Malah kehadiran 2010 membuka semangat baru kepadanya apabila merakamkan sebuah single bertenaga berjudul Sistematik.

Lagu ciptaan Ajai ini dikatakan berkonsepkan rentak teknotronik yang seiring dengan peredaran muzik masa kini. Lagu-lagu tersebut juga sering dibawakan oleh penyanyi-penyanyi barat.

"Sistematik sebuah lagu yang rancak dan boleh menggerakkan tubuh kita untuk menari. Saya lihat konsep lagu sebegini bukan sahaja menarik perhatian golongan remaja malah peringkat umur makcik-makcik juga menjadikan lagu sebegini ketika bersenam.Kalau dulu mereka lebih mengikut rentak lagu poco-poco tetapi kini mereka lebih suka gunakan lagu semasa.

"Pertama kali mendengar lagu ini saya sudah tertarik. Memang Ajai mahu buat sesuatu yang drastik terhadap penampilan semula saya pada 2010 ini agar come back ini lebih segar dan bertenaga," katanya.

Ilyka yang kini lebih terbuka membawa konsep yang sinonim dengan golongan remaja ini berpendapat peredaran muzik semasa membuatkan dia lebih yakin dengan konsep barunya itu.

"Perubahan dari lagu sentimental seperti Diusung Duka kepada lagu Sistematik ini sangat beri kelainan kepada saya. Saya secara jujur lebih gemarkan muzik bertenaga ini.

Kali ini saya muncul dalam industri ini dengan muzik yang lebih segar. Selain rakaman, saya juga beri idea untuk konsep gambar bagi single ini," katanya.

Tampil lebih bertenaga dengan lagu Sistematik

Biarpun lama menyepi namun suara penyanyi genit ini masih lagi merdu seperti diawal kemunculannya. Menurut Ilyka, pengalaman menjadi penyanyi di hotel-hotel secara tidak langsung mengajarnya untuk menjaga kualiti vokal.

"Ramai penyanyi baru yang tidak mahu menyanyi di hotel, tetapi bagi saya menyanyi di hotel ini ada kelebihannya. Kita dapat mengasah vokal dan cara berinteraksi dengan pengunjung.

"Saya lihat masalah ini yang sering berlaku pada artis baru yang tidak tahu untuk berkomunikasi dengan audien ketika membuat persembahan. Selain itu tahap keyakinan kita lebih tinggi apabila selalu berhadapan dengan orang ramai," jelasnya.

Mengimbas sedikit latarnya, sebaik saja bergelar penyanyi pada usia remaja, Ilyka menghasilkan album solo, Di Usung Duka pada 1994. Kemudian kerjaya seninya terus senyap selepas berumah tangga namun beberapa tahun kebelakangan ini, di juga berjinak-jinak dalam bidang lakonan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: