![]() |
| HANS (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon dan pengarah yang akan menjadikan musim kedua Cuci the Musical satu sukses pada sidang akhbar yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
APABILA menerbitkan teater muzikal pertamanya, Cuci the Musical (CTM) tahun lalu, azamnya mahu semuanya berjalan lancar.
Namun seperti kata pepatah disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari sudah cukupuntuk menggambarkan perjalanan yang dilalui Hans Isaac.
Mana tidaknya, dia sendiri tidak menyangka sepanjang CTM dipentaskan, pelbagai kontroversi mula mendampinginya sehingga tempiasnya turut terkena pada pementasan sulungnya itu.
Tidak perlu dirungkai kontroversi tersebut kerana pastinya umum sudah mengetahui pertelingkahan yang berlaku antara Hans dengan aktor AC Mizal.
Lalu, apabila Hans mengumumkan CTM akan kembali untuk musim kedua di Panggung Sari, IB bermula 27 Julai ini, apakah kontroversi sekali lagi akan melanda pementasan ini?
Menjawab persoalan tersebut, Hans dengan yakin memberitahu, dia akan memastikan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kontroversi.
Jelasnya, apa yang berlaku pada musim pertama kerana ada pihak tidak memahami dan mematuhi kontrak.
Kerana itulah pelbagai insiden telah berlaku dan untuk musim kedua, Hans tekad untuk memastikan pementasan kali ini lebih serius dan profesional.
"Untuk musim kedua, saya meminta peguam saya berurusan sendiri dengan peguam pelakon dan menjelaskan terma dan syarat yang tercatat dalam kontrak.
"Hanya dengan cara ini ia boleh mengelak sebarang kekeliruan dan kekacauan daripada berlaku.
"Apa yang berlaku sepanjang tahun lalu benar-benar mengajar saya dalam semua aspek lalu menjadikan saya lebih berhati-hati," tegas Hans yang mahu menutup cerita lama itu.
Pelakon kacak itu berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar CTM musim kedua yang berlangsung di IB, baru-baru ini.
Mahu melupakan kisah pahit yang berlaku dahulu, Hans meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk musim kedua ini.
Apatah lagi, dengan kemunculan juara Raja Lawak musim kedua, Nabil Ahmad dan Jaclyn Victor dalam pementasan kali ini membuatkan Hans cukup teruja menantikan hasilnya.
Nabil akan membawakan watak C'Tan yang sebelum ini menjadi milik AC Mizal manakala Jaclyn pula menggantikan Adibah Noor dalam membawakan watak Farah.
AC tidak dapat kembali untuk musim ini kerana sibuk dengan perniagaan yang sedang diusahakannya.
Sementara Adibah pula sudah terikat dengan komitmen seni yang lain yang memerlukannya mengundur diri dari pementasan ini.
Tidak ralat dengan ketiadaan dua bintang ini, bagi Hans, ia merupakan perkara normal bagi mana-mana pementasan teater.
"Apabila mementaskan sebuah teater muzikal yang sarat dengan elemen komedi dan humor, perubahan itu perlu dilakukan untuk mengelakkan rasa bosan kepada penonton.
"Saya percaya dengan kemunculan Nabil dan Jaclyn mampu memberikan pendekatan yang berbeza daripada musim pertama.
"Ini merupakan satu cabaran buat saya sebagai penerbit dan krew produksi yang lain terutamanya pengarah dan penulis skrip untuk menghasilkan komedi yang baru," ujarnya yang memberitahu Nabil dan Jaclyn merupakan pilihan pertama untuk musim kedua ini.
Selain Hans, pelakon asal CTM yang kembali membintangi teater muzikal komedi ini ialah Afdlin Shauki, Awie, Vanidah Imran dan Ramli Hassan.
Namun jelas Hans, intipati, tema dan hala tuju pementasan musim kedua ini masih lagi sama iaitu semangat kekeluargaan, kasih sayang dan kejayaan.
Bukan itu sahaja, tugas pengarah CTM musim kedua masih lagi digalas oleh Harith Iskander dan Datuk Zahim AlBakri.
Pada masa yang sama, Hans bersyukur kerana masih lagi diberi peluang untuk mementaskan CTM sekali lagi biarpun tempoh pementasan kali ini dikurangkan.
Berbanding 18 hari pementasan tahun lalu, kali ini CTM hanya diberikan masa lebih kurang 14 hari sahaja.
Faktor ini kata Hans, kerana tarikh yang diberikan itu sudah menghampiri bulan Ramadan yang jatuh pada 11 Ogos.
Kerana itu, untuk musim kedua ini pementasan akan berlangsung setiap malam tanpa henti.
Untuk persembahan pada hari Sabtu pula, CTM akan dipentaskan sebanyak dua kali iaitu pada pukul 3 petang dan 8.30 malam.
Stail
"Semuanya kami lakukan demi memberikan santapan yang segar serta baru kepada penonton dan memang menjadi stail saya untuk tidak mengulangi resipi yang sama.
"Muzik juga turut mengalami perubahan manakala koreografi akan memperlihatkan gerak tari yang baru di bawah tunjuk ajar Stephen Rahman-Hughes," jelas Hans yang masih lagi berusaha mencari penaja untuk musim kedua ini.
Hans yang mula menempa nama menerusi filem Ringgit Kasorrga arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba (1995) turut mengumumkan harga tiket musim kedua yang lebih murah.
Semuanya kata Hans, seiring dengan impiannya yang mahu teater ini dapat ditonton oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama.
Selain mendapat sambutan hangat tahun lalu, Hans menjelaskan, dia tergerak untuk menerbitkan musim kedua ini kerana ramai peminat yang suka dengan pendekatan komedi dan humornya.
"Bukan sekadar gelak ketawa tetapi mereka juga mendapat mesej yang positif dan berguna menerusi pementasan ini.
"Lebih mengharukan dan membanggakan saya apabila ada penonton bukan Melayu sendiri yang memuji CTM," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Hans yang membawakan watak Khai dalam CTM juga mengkhabarkan berita gembira apabila teater sulung terbitannya itu akan dipentaskan di Esplanade, Singapura pada Oktober depan.
Mengulas lanjut tentang CTM yang mendapat 14 pencalonan dalam 12 kategori pada Anugerah Seni BOH Cameronian Kesembilan yang akan berlangsung pada 18 April ini, Hans sememangnya hilang kata-kata.
Sehingga kini, belum pernah mana-mana teater muzikal yang pernah dipentaskan menerima pencalonan sebanyak itu termasuklah Puteri Gunung Ledang the Musical dan P. Ramlee the Musical.
"Saya gembira kerana pencalonan ini adalah untuk semua krew yang telah bertungkus-lumus menjadikan CTM sebagai satu kejayaan.
"Saya berkarya bukan kerana mengejar anugerah sebaliknya mahu memberikan kepuasan kepada audiens.
"Saya memang bertuah kerana berpeluang bekerja dengan mereka yang genius dan pakar dalam bidang masing-masing.
"Kalau malam itu nanti, rezeki berpihak kepada CTM, saya terima dan menganggapnya sebagai satu pengiktirafan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pementasan ini," katanya penuh terharu.
Bukan itu sahaja, peminat setia CTM juga kini berpeluang mendapatkan album runut bunyi (soundtrack) musim pertama yang dijual dengan harga RM39 sahaja.
Dengan jumlah yang begitu terhad iaitu 5,000 salinan sahaja, peminat boleh mendapatkan album tersebut dengan hanya melayari www.facebook.com/cucithemusical untuk membuat tempahan.
Harga-harga tiket untuk CTM musim kedua adalah dari RM24 hingga RM190 bergantung kepada tarikh dan waktu pementasan.
Untuk tempahan dan pertanyaan, sila layari www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-4149 8600/03-4026 5558.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: