![]() |
| Para peserta begitu asyik mengukir menggunakan peralatan yang disediakan. |
MENGUASAI sekurang-kurangnya satu kemahiran tangan sebenarnya memberi pelbagai manfaat. Paling kurang ia boleh digunakan bagi mengisi masa yang terluang.
Banyak kemahiran yang boleh dipelajari seperti sulaman dan jahitan bagi wanita atau pertukangan kayu dan ukiran seramik untuk lelaki.
Tidak kurang juga yang berminat dengan seni ukiran logam atau piuter. Kecenderungan minat tersebut mendorong Royal Selangor untuk mengadakan beberapa siri bengkel artisan.
Bengkel sempena sambutan 125 tahun syarikat tersebut dalam bidang rekaan dan kraf tangan khususnya pembuatan puiter itu dibuka kepada orang rama.
Antara kemahiran asas yang diajar merangkumi seni ukiran mengarca dan dekorasi kreatif.
Pengurus Kumpulan Pemasaran Royal Selangor International, Carolyn Peh berkata, tujuan bengkel artisan itu dianjurkan adalah untuk memberi kesempatan kepada masyarakat yang berbakat berkongsi warisan kraf tangan dan rekaan syarikat tersebut.
Katanya, ini merupakan satu pengalaman berharga yang membolehkan para peserta mencungkil kreativiti dan bakat terpendam di samping memberi peluang kepada mereka untuk mengisi masa lapang.
"Bagi menimbulkan minat yang mendalam terhadap seni pembuatan piuter, bengkel setengah hari ini akan dikendalikan oleh tiga pekerja artisan Royal Selangor.
"Ketiga-tiga mereka ini sangat berbakat termasuk seorang pereka muda, pengarca berpengalaman dan pengukir mahir yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam bidang pembuatan pewter," katanya pada bengkel khusus untuk wakil media baru-baru ini.
Bengkel pertama dalam siri ini ialah kemahiran asas ukiran yang di kendalikan oleh Wong Suet Mooi bermula 22 Mac lalu hingga 25 April.
Beliau merupakan pengukir berpengalaman yang dididik oleh mendiang Yong Peng Kai, anak lelaki pengasas Royal Selangor.
Setelah mempelajari cara-cara untuk menggunakan alat-alat ukiran disertai dengan satu sesi latihan yang pendek, para peserta berpeluang untuk mengukir loket Plus mereka yang tersendiri.
Mulai 17 Mei hingga 20 Jun pula, ketua pengarca Royal Selangor, Yusuf Saini akan mengendalikan bengkel mengarca.
Peserta akan mempelajari cara-cara untuk memindahkan lukisan keatas bahan antara mengarca dan menterjemahkan di dalam bentuk 2-D dengan menggunakan pelbagai alatan mengarca yang berbeza.
Bagi bengkel hiasan yang dijadualkan pada bulan November, pengurus Korporat Grafik Royal Selangor iaitu Eugina Lee akan mengajar para peserta membuat dan menghias mangkuk pewter mereka sendiri. Mereka juga akan mempelajari tentang warna dalam meluahkan kreativiti masing-masing.
Setiap bengkel setengah hari ini berharga RM125 bagi setiap penyertaan dan terhad kepada 15 pelajar sahaja. Bagi yang berminat bolehlah mendaftar dengan Royal Selangor.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: