MENJADI wanita berkerjaya bukan mudah. Komitmennya cukup tinggi. Di tempat kerja tanggungjawabnya berlipat-ganda, itu belum masuk urusan rumah tangga.
Namun fitrah wanita meletakkan mereka sebagai insan yang mampu melakukan apa sahaja walaupun dalam keadaan terdesak.
Dalam banyak hal anak menjadi keutamaan dalam apa juga perkara. Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya tidak ternilai.
Apa sahaja sanggup dilakukan demi anak. Inilah isu yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini. Isu masalah yang dihadapi oleh ibu-ibu bekerja yang mahu menumpangkan anak-anak mereka di pusat penjagaan kanak-kanak sementara mereka ke pejabat.
Masalah utama yang dihadapi ibu-ibu bekerja ialah untuk menumpangkan bayi baru lahir selepas ibu habis pantang dan mahu memulakan kerja.
Dalam duduk-duduk berbual sambil minum petang seorang rakan sekerja yang baru pulang dari cuti bersalin meluahkan perasaan terpaksa membayar upah menjaga anak yang terlalu tinggi.
Cendawan lepas hujan
Memang diakui pusat penjagaan kanak-kanak atau taman asuhan kanak-kanak tumbuh bagai cendawan lepas hujan.
Sebut sahaja di mana taman perumahan pasti akan ada pusat penjagaan seperti ini wujud.
Syukur kerana ia membantu meringankan masalah ibu bekerja yang tidak mempunyai pembantu rumah.
Sayangnya bayaran yang dikenakan amat tinggi dan membebankan kebanyakan ibu bapa.
Cerita teman itu lagi, bayaran menjaga tiga orang anak sahaja menjangkau RM600 sebulan belum dicampur sewa rumah, susu anak dan juga perbelanjaan sekolah anak.
Dicampur lagi dengan duit minyak kereta untuk mengambil dan menghantar anak. Keseluruhan perbelanjaan adalah kira-kira RM2,000 sebulan bersih untuk kebajikan anak-anak sahaja.
Apabila difikirkan pening juga kepala namun perlu juga dilalui atas dasar tanggungjawab.
Untuk mengambil pembantu rumah tentu lagi beban. Untuk upah agen sahaja tidak kurang daripada RM5000 dengan bayaran bulanan sekurang-sekurangnya RM600.
Itu belum tentu dapat pembantu yang bagus dan bertanggungjawab. Buatnya dapat yang kaki tidur dan dia jadi mem dalam rumah lagi bermasalah.
Apa yang ingin disentuh adalah bayaran yang terlalu mahal dikenakan oleh pusat jagaan kanak-kanak atau pengasuh.
Bagi sesetengah pusat jagaan kanak-kanak di Kuala Lumpur bayaran yang dikenakan sekitar RM250 bagi bayi bawah setahun. Kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah RM180 hingga RM200 sebulan.
Sekiranya anak yang dihantar ramai pakej akan dikenakan dengan bayaran paling tinggi adalah untuk bayi.
Pakej ini membebankan ibu bapa terutama mereka yang bekerja jauh dari tempat jagaan kanak-kanak.
Terlebih masa mengambil anak-anak, bayaran tambahan pula dikenakan, begitu sebaliknya jika ingin menumpangkan anak-anak pada hari tidak bekerja.
Apa yang ingin disarankan adalah agar pihak berkenaan memantau keadaan ini dan melaksanakan bayaran standard untuk semua pusat penjagaan kanak-kanak, baik yang berdaftar atau tidak.
Jika ini dilakukan saya pasti ramai ibu-ibu bekerja akan senang hati dan tidak runsing lagi tentang bayaran yang tidak menentu.
Apa yang diperhatikan bayaran upah menjaga kanak-kanak dan bayi di luar Kuala Lumpur ada setengahnya lebih tinggi berbanding di Kuala Lumpur.
Faktor ini juga merunsingkan ibu bapa yang berpendapatan sederhana - pastinya gaji habis digunakan untuk membayar upah menghantar anak ke pusat penjagaan sahaja.
Tidak berkira
Apa pun seperti yang saya katakan, kebanyakan ibu bapa tidak berkira tentang bayaran ini kerana terpaksa. Mahu tidak mahu, walaupun bayaran yang dikenakan agak tinggi mereka harus akur dengan kehendak pengasuh asalkan apabila mereka bekerja, anak-anak dapat dijaga dengan sempurna.
Menurut teman saya itu lagi, sesetengah pusat penjagaan kanak-kanak tidak mempunyai kelengkapan yang cukup untuk mengenakan bayaran tinggi kepada ibu bapa.
Contohnya tidak ada kawasan lapang untuk anak-anak bermain, kemudahan asas yang kurang baik dan kakitangan tidak cukup untuk menguruskan kanak-kanak yang ramai.
Suasana ini juga menjadikan ibu bapa agak berkira untuk menghantar anak-anak mereka kerana bayaran yang dikenakan tinggi tetapi perkhidmatan yang diberi agak kurang baik.
Bagaimanapun ada juga pusat penjagaan kanak-kanak yang menjaga dengan baik dilayan seperti anak sendiri.
Ini patut dipuji. Begitu juga dengan jabatan kerajaan dan swasta yang mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak di premis mereka bagi menangani masalah ibu-ibu yang tidak ada tempat menumpangkan anak mereka.
Apa kata dihidupkan semula kempen ini secara lebih serius, sekurang-kurangnya lebih ramai pusat penjagaan kanak-kanak dibuka di tempat kerja. Ia turut membantu membina institusi keluarga lebih bernilai dan meningkatkan prestasi ibu di tempat kerja. Tidak payah lagi pening-pening kepala fikir beban membayar upah menjaga anak yang sama mahal dengan sewa rumah sebulan.
Apa pun pada saya seorang ibu sanggup buat apa sahaja untuk anak-anak. Kasih sayangnya bagai air lalu... Salam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: