
BANGKOK - Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan Baju Merah semalam mencampakkan tayar-tayar di platform sebuah stesen kereta api kerana bimbang pihak tentera mungkin menggunakan sistem pengangkutan awam itu untuk menyerang mereka.
Tindakan itu menyebabkan perkhidmatan tren Skytrain tergendala selama empat jam sekali gus mengganggu pergerakan orang ramai pada waktu puncak.
Perkhidmatan itu membawa sekitar 450,000 penumpang pada setiap hari.
Penunjuk perasaan yang memakai baju merah itu turut menegaskan akan terus memberi tekanan terhadap Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva dengan cara meningkatkan pertahanan, selain merancang untuk memujuk lebih ramai orang menyertai tunjuk perasaan di Bangkok.
Sebelum ini, kerajaan Thailand menyatakan bahawa ia tidak akan berlembut selepas sekatan-sekatan jalan dibuat oleh penunjuk perasaan bagi menghalang pihak tentera memasuki Bangkok.
"Kerajaan telah mengenakan tindakan lebih tegas terhadap penunjuk perasaan kerana mereka telah mencetuskan situasi huru-hara dengan mengadakan pemeriksaan yang melanggar hak asasi orang lain.
"Kami tidak boleh berunding dengan mereka lagi," jelas Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suthep Thaugsuban.
Abhisit yang disifatkan oleh penentangnya sebagai seorang elit dan tidak demokratik telah menolak tawaran Baju Merah untuk menamatkan bantahan sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam tempoh tiga bulan.
Kumpulan Baju Merah yang merupakan penyokong bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mengadakan tunjuk perasaan lebih sebulan lalu di Bangkok bagi menggesa Abhisit membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: