Monday, April 5, 2010

4.3 juta dapat manfaat Skim Ar-Rahnu sejak 1993

PROGRAM Ar-Rahnu, pajak gadai berlandaskan syariah yang diperkenalkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sejak 1993 sudah memanfaatkan lebih 4.3 juta kumpulan sasar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pembiayaan terkumpul Ar-Rahnu melalui Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) dan Koperasi YaPEIM berjumlah RM5.4 bilion setakat ini.


“Perkembangan program ini sangat memberangsangkan khususnya bagi menjana pendapatan kepada penyedia dana,” katanya ketika merasmikan pusat pentadbiran Ar-Rahnu Kedah dan Ar-Rahnu YaPEIM cawangan Sungai Petani di Alor Star, semalam.


Sebanyak 63 cawangan Ar-Rahnu dikendalikan secara langsung oleh Koperasi YaPEIM Berhad sejak 2000 dan bakinya oleh Bank Rakyat sejak 1993, dua institusi yang diamanahkan untuk mengendalikan program itu.


Beliau berkata, banyak negara serantau menunjukkan minat dan mengguna pakai model Ar-Rahnu dilaksanakan Malaysia kerana konsepnya bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah dan modal segera. Menurutnya, masyarakat bukan Islam turut memberi sambutan menggalakkan terhadap program itu.


Katanya, YaPEIM mengunjur membuka minimum satu cawangan Ar-Rahnu di setiap kawasan Parlimen menjelang 2012, yang menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk menjayakan Gagasan 1Malaysia yang menekankan kepentingan rakyat “Golongan termiskin yang berdaftar dengan E-Kasih hanya dikenakan caj upah simpan pada kadar 0.10 sen berbanding kadar kepada pelanggan biasa iaitu 0.75 sen dan 0.95 sen. Perbezaan caj ini ditampung daripada sumbangan amal jariah yang diterima YaPEIM,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: