Sunday, April 25, 2010

1Malaysia di Bukit Broga


ORANG ramai memenuhi puncak Bukit Broga seawal pagi.


DALAM tempoh 14 tahun menjadikan aktiviti mendaki bukit dan gunung sebagai hobi, inilah kali pertama saya menyaksikan begitu ramai orang di puncak sebuah bukit. Jika dihitung sejak awal subuh sehingga lewat petang pada hujung minggu, jumlah pengunjung boleh mencecah ribuan orang.

Malah ketika sampai di puncak pertama pada pukul 7.35 pagi, 17 April lalu, saya dapati sekitar 200 orang berkumpul dengan pelbagai ragam. Itulah keunikan Bukit Broga yang terletak di Semenyih, Selangor. Bukit itu memiliki tiga puncak dan yang tertinggi berada di 400 meter (1,312 kaki) dari paras laut.

Dari ketiga-tiga puncak itu, kita boleh menyaksikan keindahan panorama matahari terbit dan terbenam.

Program anjuran Kelab Rekreasi Utusan Melayu (KRUM) ini disertai oleh tujuh orang. Kami memulakan langkah menawan puncak bukit itu pada pukul 7.00 pagi. Pendakian mengambil masa kira-kira setengah ham untuk sampai di puncak pertama sekitar pukul 7.35 pagi.

Semangat tidak terhenti di situ sebaliknya diteruskan untuk melihat keistimewaan puncak kedua dan ketiga. Kesempatan berbual dengan sekumpulan pendaki yang sedang di situ membuka lebih banyak rahsia tentang Bukit Broga.

Bagi Norazmi Kasan, 29, yang pertama ke Bukit Broga mengakui tarikan utama ke bukit itu adalah trek ke puncak yang tidak terlalu mencabar. Ternyata, keadaan puncak bukit yang botak, padang rumput menghijau dan boleh melihat pemandangan 360 darjah menjadikan bukit itu istimewa.

Rakannya, Shahliza Hassan, 30, yang mendaki buat kali kedua mula jatuh cinta dengan Bukit Broga selepas menatap paparan mengenainya dalam akhbar. Lantas beliau mencadangkan kepada rakan-rakan yang pernah mendaki Gunung Tahan pada Februari lalu untuk reunion di bukit tersebut.

Pada hari tersebut kumpulan itu memulakan pendakian pada pukul 6.20 pagi dan turun bukit kira-kira empat jam selepas itu. Cabaran Bukit Broga turut menggamit Nor Sabariah Noh, 39, yang merupakan ibu kepada empat orang anak.

Galakan suami mendorong beliau menyahut cabaran mendaki bukit tersebut. Hasilnya segala tekanan akibat kerja hilang sebaik melihat keindahan alam semula jadi yang segar, hijau dan nyaman.

Ternyata biar pun dilihat mudah, pendakian di situ menawarkan cabaran sbelum sampai ke puncak bukit ketiga. Sebongkah batu besar perlu dilepasi dan terdapat tangga besi dan tali disediakan untuk memanjat batu tersebut.

Pengalaman menarik mendaki bukit tersebut adalah semangat 1Malaysia yang ditonjolkan olehorang ramai tanpa mengira kaum terutamanya ketika menghulurkan pertolongan. Jika ada yang sukar melepasi bongkah batu tersebut, akan ada yang tampil tangan menghulur bantuan sambil menyebut 1Malaysia.

Selepas bergambar dan berehat di puncak Bukit Broga, kami terpaksa menuruni batu besar itu semula. Ketika menunggu giliran menggunakan tangga besi itu, seorang nyonya berusia lebih 50 tahun yang berdiri di sebelah saya berkata:

"Dua minggu lepas, tangga ini tak ada. Susahlah ada tangga. Lebih baik letak tali saja.''

Tangga

Sememangnya tangga yang dipasang itu bukan sahaja kecil tetapi diletakkan di celah batu yang sempit. Mahu tidak mahu, terpaksalah digunakan juga tangga tersebut kerana itu sahaja pilihan yang ada. Bukit Broga bukan saja sesuai untuk pendaki, ia juga destinasi menarik hujung minggu bersama keluarga.

Ia terletak di Taman Broga berdekatan Semenyih dan bersempadan Selangor-Negeri Sembilan. Bukit ini ditumbuhi lalang dan masa pendakian yang sesuai (untuk mengelak terik matahari) bermula selepas subuh. Jika cuaca mengizinkan anda berpeluang melihat matahari terbit.

Ketiadaan pokok-pokok berakar menjadikan laluan ke puncak agak mencabar kerana treknya agak licin, berdebu ketika kering dan sangat licin ketika basah. Pengunjung dicadangkan supaya memakai kasut yang sesuai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: