Kejadian yang menimpa Yasmin Ahmad mengubah pendiriannya mengenai kehidupan peribadi
MASIH jelas di ruang mata bagaimana susuk tubuh yang sebelum itu begitu cergas dan bertenaga, membentangkan kertas kerja, tiba-tiba rebah tidak bermaya. Malah, sehingga kini masih terngiang-ngiang di telinganya baris demi baris ayat indah yang dilafazkan wanita itu sebelum dia pergi buat selama-lamanya.
Menjadi antara mereka yang terakhir menatap wajah dan berinteraksi dengan pengarah filem dan iklan tersohor, Allahyarham Yasmin Ahmad sebelum arwah menemui ajalnya, Datuk Siti Nurhaliza mengakui detik-detik genting itu mengubah sedikit pendiriannya mengenai kehidupan peribadinya.
Tidak pernah dia menyangka bahawa wanita yang diketahui ramai cukup kreatif ini melihat dirinya dari sudut yang amat berbeza. Terkejut dan terpempan seketika penyanyi jelita ini apabila kata-kata berbaur pujian terkeluar daripada mulut arwah Yasmin tatkala dia sedang membentangkan kertas kerja untuk projek khas yang akan dilaksanakan penyanyi popular ini.
Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah projek khas yang sepatutnya dilaksanakan Siti bersama Yasmin? Apakah pertemuan Siti, suaminya Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan Yasmin yang berlangsung di Sri Pentas itu sebenarnya membincangkan mengenai projek filem pertama Siti yang bakal diarahkan Yasmin. Apatah lagi apabila Siti sendiri begitu meminati kerja seni Yasmin yang sering mendapat pengiktirafan di luar negara.
Bagaimanapun, apabila soalan ini diajukan kepada si empunya diri, Siti menafikan perkara itu.
SITI dan Audi di studio sewaktu merakamkan lagu Ku Percaya Ada Cinta. |
“Perbincangan kami itu tak ada kena-mengena dengan projek pembikinan filem. Tapi ia membabitkan perkara lain. Maaf, Siti tidak dapat dedahkan projek apakah itu. Tunggulah apabila sampai masanya nanti, Siti akan umumkan kepada semua.
‘Tapi, apa yang boleh Siti kongsikan di sini adalah bagaimana arwah begitu peka dengan kehidupan Siti. Sewaktu dia membentangkan kertas kerja untuk projek khas itu, terbongkarlah sebuah rahsia yang mungkin sebelum ini disimpan kemas arwah. Rupanya selama ini arwah memperhatikan setiap gerak geri Siti. Dan hasil pemerhatiannya itu, disimpulkannya menjadi sebuah idea yang cukup indah. Berdasarkan apa yang diceritakannya kembali, Siti jadi kagum dan terharu kerana Siti tidak menyangka dia boleh tampil dengan ilham sebegitu.
“Dalam diam, dia menganalisis kehidupan Siti. Setiap reaksi Siti dalam apa juga situasi dirakam kemas dalam kotak mindanya. Dia juga mengikuti perkembangan Siti. Justeru, apabila kami meminta dia hadir untuk membentangkan kertas kerjanya, Siti jadi begitu tertarik dan berharap kami boleh bekerjasama dan menjadikan apa yang dicadangkannya itu sebagai suatu kenyataan.
“Namun Tuhan lebih menyayanginya dan nampaknya hajat Siti untuk bekerjasama dengannya tidak kesampaian. Pun begitu, Siti tetap genggam erat kata-kata terakhirnya itu dan akan Siti jadikan azimat untuk meneruskan kehidupan Siti,” cerita Siti yang begitu menggemari filem Sepet dan Gubra ini.
Ditanya apakah dia akan meneruskan projek khas itu walaupun pengarah yang mendapat jolokan sebagai penglipur lara sudah pergi buat selama-lamanya, Siti berkata, itu bukanlah halangan untuk dia merealisasikan apa yang pernah dibayangkan Yasmin sewaktu pertemuan mereka dulu.
“Terus terang, Siti memang berminat dengan apa yang diceritakan arwah dan Siti memang mahukan ideanya itu menjadi kenyataan. Walaupun Yasmin sudah tiada, Siti percaya team arwah mampu untuk menjalankan tugas itu kerana sebelum ini pun arwah pernah menceritakan keseluruhan ideanya itu kepada mereka,” ujar Siti yang tegar berahsia mengenai projek khasnya itu.
Rindukan Ramadan di Kota Makkah
RAMADAN bakal menguak tirainya tidak lama lagi. Ketibaan bulan yang penuh keberkatan itu sememangnya cukup dinantikan oleh umat Islam di seluruh dunia termasuk Siti sendiri. Maklumlah, biasanya pada bulan itu, Siti dan suami tersayang akan menghabiskan sisa Ramadan mereka di Kota Makkah. Bagaimanapun, untuk tahun ini, Siti masih lagi berkira-kira apakah dia berkesempatan untuk melalui suasana Ramadan di kota suci itu.
“Siti baru saja menghantar suami menunaikan umrah. Dia ke sana bersama anaknya. Memang dia ada ajak sekali Siti untuk menemaninya, tetapi memandangkan Siti terikat dengan persembahan makan malam tahunan Jaya Jusco, jadi Siti terpaksa melupakan hasrat itu.
“Terkilan juga kerana lazimnya memang Siti suka untuk menunaikan umrah pada Ramadan. Suasananya cukup berbeza. Walaupun cuaca pada masa itu panas dan orang memang ramai, tapi Siti tak kisah. Alhamdulillah, segala urusan Siti dipermudahkan Tuhan di sana.
“Memandangkan Khalid sudah pergi awal, jadi untuk tahun ini, Siti sendiri tidak pasti apakah Siti berpeluang untuk mengunjungi Kota Makkah sekali lagi. Tengoklah nanti macam mana. Namun apa yang pasti, Siti memang rindukan suasana menyambut Ramadan di Makkah,” tuturnya yang semakin kurus itu.
Rakam lagu yang disimpan dua tahun
AWAL Ramadan ini, semua ‘Sititology’ mempunyai sebab utama untuk merasa teruja dan gembira. Selepas muncul dengan album Lentera Timur yang dinobatkan sebagai album Terbaik sewaktu Anugerah Industri Muzik ke-16, penyanyi bervokal hebat ini akan kembali dengan buah tangan terbarunya berjudul Tahajud Cinta, sebuah album kerohanian yang pernah diuar-uarkan sebelum ini.
Saat kaki ini melangkah ke studio milik komposer terkenal, Audi Mok di Petaling Jaya, baru-baru ini suara lunak penyanyi ini begitu asyik melagukan melodi indah Audi yang diberi judul Ku Percaya Ada Cinta. Benar kata Siti sebelum ini, walaupun melahirkan album berkonsepkan kerohanian, namun Siti tetap menerapkan elemen kontemporari supaya albumnya itu tidak kelihatan seperti sebuah album nasyid.
“Memang Siti yang mahukan konsep sebegitu dan Siti berjaya mendapatinya daripada beberapa komposer terkenal tanah air. Untuk album ini Siti merakamkan lagu Tahajud Cinta yang dicipta oleh Erma Fatima tapi Siti ubah suai sedikit liriknya selain lagu selawat ke atas Nabi yang pernah dipopularkan kumpulan Raihan, Asmaul Husna serta lagu ciptaan Siti sendiri untuk filem Perempuan Berkalung Sorban yang berjudul Batas Asaku,” cerita Siti.
Mengulas lagu Ku Percaya Ada Cinta yang mempunyai melodi menarik serta mencabar keupayaan vokalnya, Siti berkata ada cerita menarik di sebalik lagu itu.
“Sebenarnya sebelum ini Siti memang ada meminta lagu daripada Audi tapi memandangkan album Siti sebelum ini berkonsepkan etnik kontemporari, jadi Siti biarkan saja. Bagaimanapun, apabila Siti hendak rakamkan album kerohanian ini, Siti pun meminta lagu daripadanya. Mungkin sudah rezeki kerana Audi masih menyimpan lagu walaupun sudah dua tahun berlalu. Apa yang menarik lagu itu bertepatan dengan kehendak Siti yang mahukan ia berkonsepkan kerohanian tapi kedengaran seperti lagu pop.
“Siti juga suka liriknya yang ditulis Habsah Hassan kerana kisah cintanya cukup universal dan ia bukan saja cinta kepada manusia tetapi juga cinta pada Tuhan,” ujar Siti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: