PASANGAN ini sengaja tidak mempamerkan kebahagiaan mereka di luar kerana tidak mahu dikatakan menunjuk-nunjuk. |
Ada gosip dakwa Aida dan suaminya, Joe Radzwill failkan perceraian di mahkamah
PASANGAN ini hanya tergelak besar apabila ada 'angin ribut' yang membawa perkhabaran rumah tangga mereka sekali lagi dilanda badai. Kali ini, ceritanya lebih hebat apabila mereka didakwa baru saja memfailkan perceraian mereka di mahkamah. Pun begitu, saat dihubungi Hip bagi mendapatkan kesahihan cerita itu, pasangan berkenaan, Aida Radzwill dan suaminya Joe Radzwil, berkata semua cerita itu hanyalah sekadar kisah dongeng semata-mata.
Sehingga kini, menurut pasangan itu, rumah tangga yang mereka sejak bina lapan tahun lalu masih utuh. Kasih sayang antara mereka masih menebal, sama seperti mula-mula mendirikan rumah tangga. Jelas Joe, ini bukanlah kali pertama cerita mengenai mahligai cinta mereka runtuh. Dua tahun lalu cerita yang sama juga turut tersebar apabila ada rakannya bertanya benarkah dia dan Aida sudah tidak sehaluan lagi.
Mungkin bagi sesetengah pasangan, kisah perceraian bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main kerana bimbang apa yang diperkatakan itu bertukar menjadi doa. Namun bagi Aida dan Joe, status artis yang mereka pegang membuatkan mereka tidak lepas daripada gosip liar seperti ini. Menyedari hakikat itu, mereka lebih senang membiarkan cerita mengarut itu berlalu begitu saja tanpa ada apa-apa membekas di hati.
Apa yang penting, kebahagiaan yang dibina sejak lapan tahun lalu masih menjadi milik mereka biar ada insan yang sebenarnya tidak senang melihat mereka berdua bahagia.
Hip: Ada khabar mengatakan yang Aida dan suami memfailkan perceraian hari ini. Betulkah?
AIDA anggap gosip bercerai sebagai asam garam kehidupan artis. |
Aida: Cerita yang tersebar itu memang tidak benar sama sekali. Kami masih lagi suami isteri. Sekarang ini pun Abang Joe ada di rumah. Kalau tak percaya awak boleh bercakap dengan dia
(sambil memberikan gagang telefon kepada suaminya dan membiarkan suaminya bercakap seketika). Dari mana awak dengar cerita ini? (sambil ketawa). Apa pun, saya sendiri tidak terkejut dengan cerita ini kerana saya tahu memang ada orang yang suka menyebarkan cerita kurang elok mengenai kami berdua.
Hip: Maksud Aida, ada orang yang cuba mensabotaj kebahagiaan yang dibina selama ini?
Aida: Saya tak berani nak kata begitu takut ada yang terasa. Lagi pun itu satu tuduhan. Cuma saya melihat perkara itu dari sudut positif. Biasalah manusia, hati lain-lain. Kita tak tahu apa yang ada dalam hati mereka. Dan disebabkan itu, saya malas nak memikirkan sangat kerana saya sedar sebagai manusia, kita tidak sempurna.
Hip: Mungkin orang lihat Aida sering bersendirian membuatkan ramai yang membuat spekulasi hubungan kalian berdua dilanda masalah?
Aida: Memang betul, ada ketika saya kelihatan bersendirian kerana masing-masing ada tugas yang perlu dilaksanakan. Dia sibuk dengan kerja dia, saya dengan kerja saya. Takkanlah asyik nak berkepit sentiasa. Walaupun ada yang melihat kami tidak bersama tapi kami sering bertanya khabar dan berbalas SMS untuk bertanyakan perihal masing-masing. Pun begitu saya tak nafikan
sebagai pasangan suami isteri, pergeseran dalam rumah tangga adalah perkara biasa, tapi kita kena bijak menyelesaikannya. Biarpun masing-masing sibuk, kita kena cari masa untuk bersama pasangan kita. Bukan kuantiti tetapi kualiti masa yang perlu diutamakan.
Hip: Bagaimana Aida melihat Joe sebagai seorang suami?
Aida: Walaupun dia lebih muda tetapi dia cukup matang dari pelbagai sudut. Seorang yang amat mengambil berat terhadap diri saya. Rajin bertanya khabar jika berjauhan dan sangat bertanggungjawab. Selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga, dia masih seperti dulu dan melayan saya dengan baik.
Tak mahu sakitkan hati sesiapa
Hip: Apa komen Joe sendiri apabila ada yang mengatakan kalian berdua sudah bercerai?
Joe: Macam manalah orang luar boleh lebih tahu hal kami berdua ya? Tak adalah. Kami masih bersama. Biasalah, mulut orang lebih-lebih lagi dalam dunia artis, memang kita tak boleh
lari dari gosip seperti. Lagi pun ini bukan perkara baru. Sebelum ini pun, kira-kira dua tahun lalu, saya pernah ditanyakan oleh seorang kawan apakah benar saya dan Aida sudah bercerai.
Hip: Mungkin sebab anda tidak selalu bersama pasangan anda membuatkan spekulasi kisah perceraian itu tersebar?
Joe: Sebenarnya dalam hal ini saya sendiri jadi serba salah. Bila kita tidak sering bersama, orang kata hubungan kita ada masalah. Kalau kita sering berdua di depan khalayak atau bergambar bersama di majalah atau akhbar, orang kata kita hendak menunjuk-nunjuk. Selepas berfikir masak-masak, kami rasa biarlah kami begini, tak payah nak tunjuk sangat kebahagiaan yang kami kecapi ini di mata khalayak. Saya tak mahu ada hati yang terluka apabila melihatnya dan saya tak mahu sakitkan hati sesiapa. Tak syok kalau itu berlaku. Biarlah hal peribadi kami, kami berdua saja yang tahu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: