"Saya tak nafi yang dalam filem ini, sedikit sebanyak, saya memaparkan cerita berdasarkan pengalaman cinta saya yang tidak kesampaian bersama bekas teman lelaki tetapi ia tidak 100 peratus saya kongsi" – HALIZA

BIARPUN sibuk dengan lakonan drama serta perniagaan, tanpa disedari, pelakon ini sebenarnya sudah 14 tahun tidak ke layar perak. Filem Skop arahan Aziz M. Osman yang ditayangkan pada tahun 1995 merupakan filem terakhirnya.
Sepanjang 14 tahun tanpa filem, pemilik nama Haliza Misbun ini sebetulnya mahu mendalami ilmu lakonan dan penerbitan filem sebelum terjun dalam bisnes perfileman.
Kini, dengan ilmu filem yang semakin sarat, Haliza tidak ragu-ragu lagi untuk kembali ke layar perak.
Menariknya dia bukan sahaja bergelar heroin bahkan penerbit filem.
Di bawah syarikat miliknya, Big Production, Haliza kini sibuk di lokasi penggambaran filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami.
"Filem ini sangat bermakna buat saya. Ia merupakan satu projek yang besar, selepas 14 tahun saya berdiam diri dari layar perak.
"Dalam lakonan, bila kita berada di layar lebar, kekurangan dan kelebihan kita akan lebih senang terdedah. Jadi saya anggap berlakon drama seperti proses belajar di sekolah untuk persiapan ke kolej ataupun universiti.
"Sekarang saya sudah bersedia untuk melangkah setapak lagi dalam bidang perfileman pula.
"Sejak dulu, saya mengimpikan untuk menerbitkan filem dan akhirnya hasrat saya tercapai. Kalau selepas ini saya bersara daripada dunia seni, saya boleh tidur lena apabila impian ini sudah tercapai," tuturnya memulakan bicara.

Mendengar sahaja tajuk filem tersebut, pasti ramai yang mungkin merasakan, jalan cerita filem itu mengisahkan tentang kehidupan realiti Haliza.
Mengakui kebenaran tersebut, Haliza yang berusia 36 tahun memberitahu, dia mahu berkongsi cerita kepada wanita seusianya agar tidak malu jika digelar andartu yang merupakan singkatan kepada perkataan 'anak dara tua'.
"Bagi sesetengah wanita, isu ini agak sensitif. Jadi saya mahu wanita seusia saya tidak malu menjadi solo.
"Saya tak nafi yang dalam filem ini, sedikit sebanyak, saya memaparkan cerita berdasarkan pengalaman cinta saya yang tidak kesampaian bersama bekas teman lelaki tetapi, ia tidak 100 peratus saya kongsi.
"Yang penting saya dapat menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa masyarakat perlu berfikiran terbuka kerana menjadi andartu bukanlah satu perkara yang memalukan," tegas wanita itu lagi.
Filem yang telah pun memulakan penggambaran pada Sabtu lalu itu, mengisahkan mengenai seorang andartu bernama Nik Melati Sukma yang juga dipanggil Nikki diberi masa selama 21 hari oleh ibunya untuk mencari calon suami pilihan hati.
Dalam tempoh tersebut, banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuhi Nikki. Malah pelbagai ragam lelaki dijumpainya dan semua lelaki tersebut dirasakannya tidak sesuai sebagai calon suami.

Bagaimanapun, akhirnya Nikki baru menyedari yang dia juga mempunyai kelemahan sendiri selain dia tidak tahu apa yang diinginkan dalam hidupnya.
Selain jalan cerita yang menarik, filem arahan Din CJ itu turut menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Fahrin Ahmad sebagai Omar Sharif, Azhar Sulaiman (Ayob), Fizo (Jeremy), Abby Abadi (Sarah), Mamat Khalid (Jamil) dan Datuk Rahim Razali (Dr. Sheikh Muzaffar)
Selain itu, Haliza yang memegang watak Nikki turut menjemput adik iparnya, Awie selain aktres Erra Fazira untuk membintangi filem sulung terbitannya itu.
Awie bakal membawakan watak Putera Aziz Al-Biruni, manakala Erra Fazira sebagai undangan khas menggalas watak Markonah, pembancuh teh yang kecoh dan gila berniaga.
"Saya gembira sangat bila mentor saya sendiri, Datuk Rahim Razali menerima tawaran filem ini. Sebelum ini, saya pernah berlakon dengannya dalam filem pertama saya iaitu Abang 92. Dia banyak mengajar saya dalam lakonan.
"Dalam filem ini, saya yakin penonton tidak akan jemu kerana ia sarat dengan adegan lucu yang pasti membuatkan penonton tidak kering gusi.
"Kos pembikinannya menelan belanja RM1.1 juta," tuturnya.
Bertemu dengan bekas kekasih
Dalam sibuk menyiapkan naskhah filem pertamanya itu, mungkinkah bibit-bibit cinta lama Haliza akan berputik semula?
Meneliti senarai barisan pelakon filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami, mungkin ada beberapa nama aktornya dikatakan pernah menjalin hubungan cinta dengan Haliza.
Haliza dan bekas kekasih dalam sebuah filem? Hmm...satu bahan promosi yang kuat untuk melariskan filem berkenaan.

Biarpun tidak dapat mengesan sejauh mana perhubungan Haliza dan pelakon Indonesia, Ari Wibowo, yang dikatakan 'teman tapi mesra' sebelum ini, Haliza dikatakan sanggup ke Jakarta semata-mata mahu memujuk Ari untuk berlakon dalam filemnya.
Seorang lagi pelakon senior dalam filem berkenaan juga pernah dikaitkan dengan Haliza sewaktu awal kemunculan aktres itu dalam bidang lakonan.
Namun, bertanyakan mengenai pemilihan beberapa bekas kekasih hati dalam filemnya itu, Haliza sempat tergelak besar.
"Pertemuan, percintaan dan perpisahan itu sebahagian dalam kehidupan. Jika perhubungan itu tidak menjadi, tidak bermakna kita perlu menyimpan dendam ataupun bermusuh.
"Sebaliknya kita belajar daripada pengalaman lalu kerana perjalanan hidup kita sudah ditentukan untuk menjadi lebih matang.
"Yang penting, kita perlu profesional. Takkan sebab putus cinta, nak rosakkan segala-galanya, siapa yang rugi?" soalnya tidak mahu melayan persoalan nakal mengenai cinta.
Dalam sibuk bercerita mengenai filem pertamanya itu, beliau mengakui pasti ada yang akan melontar pandangan sinis mengenai penerbitan filem tersebut.
Mungkin akan ada mulut yang mengatakan Haliza sekadar syok sendiri mahu menunjuk-nunjuk kisah hidupnya kepada umum.

Namun, sebagai seorang penggiat seni yang sudah lama bertapak dalam industri hiburan, Haliza sudah lama bersedia dengan kritikan yang bakal diterimanya nanti.
"Dalam hidup ini, kita tidak boleh kawal semua perkara. Jika memilih kerjaya seperti ini, saya mesti tahu dan menerima reaksi umum.
"Jadi sama ada saya dikritik atau dipuji, saya menerimanya dengan tangan yang terbuka," katanya yang mungkin akan menyambung sekuel filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami jika filem pertama mencapai target yang disasarkan.
Selain tidak menang tangan di lokasi filem, Haliza juga sibuk mengacarakan program Jurnal Kembara untuk siaran stesen TV1 di samping tiga telefilemnya iaitu, Sophilea, Bebasnya Aku dan Bedah Siasat yang juga bakal ditayangkan tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: