Sunday, August 9, 2009

Tubuh grup baru




RAMAI yang mula berteka-teki akan nasib penyanyi bervokal tinggi ini selepas dia keluar daripada kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH), Julai lalu. Adakah perjalanan seninya akan terus mengalir atau terhenti di situ sahaja?

Terdapat pelbagai harapan dan pertaruhan untuk Norazlan Roslee yang mesra dipanggil Alan atau Lan. Hakikatnya, Alan sudah mengutip ramai peminat sejak bergelar vokalis MUH, enam tahun lalu.

Sementelah MUH telah menjuarai pelbagai acara pertandingan dan hit dengan beberapa buah lagu seperti Lagu Untukmu. Di kalangan band-band tanah air, Alan mempunyai tempatnya yang tersendiri.

Kini selepas berpecah, Alan bagaikan mengalami transformasi yang mahu dikongsinya bersama.

Kehadiran Alan ke studio Kosmo! tepat pada masanya petang Selasa lalu, menghindarkan perasaan bimbang jurugambar kami yang takut peristiwa lama berulang. Dia datang dalam keadaan kurus tetapi terurus bersama pengurus barunya, Sham.

Alan dan MUH mengadakan persembahan terakhir bersama di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, 3 Julai lalu.

"Esoknya, bila saya bangun pagi saya sedar saya bukan lagi vokalis MUH. Saya terima kenyataan itu pada pagi tersebut," luahnya.

Alan menganggap persembahan terakhir tersebut sebagai suatu 'huru-hara' lantaran ada yang mengalirkan air mata impak perpecahan grup tersebut.

Justeru, pagi yang dihadapi seterusnya adalah dengan iltizam dan semangat baru Alan.

Dia kini bertanggungjawab sepenuhnya untuk sebuah grup baru yang diciptanya sendiri - Azlan & The Typewriter.

"Jujurnya, nama Azlan diletakkan di hadapan kerana saya bertanggungjawab penuh untuk grup baru ini. Ini komitmen saya. Dengan cara itu, saya akan lebih bersedia berdepan dengan penambahbaikan.

"Sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk semua itu," ujarnya sambil menepis norma pemikiran golongan yang tidak senang dengan perjalanan seninya.

Maka, pemilihan Gimie (drum), Syed Al-Bidin (gitar utama), Pak'Ku (bass) dan Shem serta Zain (penyanyi latar) selaku pemuzik, melengkapkan keinginan dan bersatu untuk menyampaikan sesuatu yang baru untuk peminat.

'Orang tahu vokal saya'

Kelibat Si Penyair adalah catatan kesungguhan mereka. Single pertama ini telah pun dapat didengari di corong radio.

Lagu ciptaan komposer menggunakan akronim Lights & Lake ini membawa metafora kebangkitan semangat untuk sesiapa sahaja yang pernah lumpuh.

Diperdengarkan sekali lalu pada petang temu bual tersebut, ini adalah pembaharuan untuk Alan dan keyakinan baru buat dirinya.

"Kalau orang tanyakan kekuatan grup ini, saya harus katakan bukan dari aspek vokal. Kalau sebut pasal vokal saya, orang sudah kenal dan tahu.

"Grup ini mempunyai kekuatan dari aspek muziknya sendiri. Corak muzik yang berbeza dan begitu juga konsepnya," getusnya yang mengaku pengaruh muzik kali ini bertukar 360 darjah berbanding dahulu.


ALAN dan sebahagian daripada 'Typewriter'nya. Dari kiri: Bidin (gitar utama), Pak' Ku (bass) dan Sham (pengurus).


Kalau dulu dia banyak berkiblatkan genre rock, kini Alan lebih bereksplorasi dengan alternatif eksperimental.

Kumpulan Kings Of Leon, Pigeon Detectives dan The Editors adalah grup yang memberi suntikan pengaruh besar buat Azlan & The Typewriter. Alan pernah melalui susah-payah bergelar vokalis kepada sebuah grup sebelum ini.

Daripada tidak dikenali langsung, hidup dalam zaman kesusahan mendapatkan pasaran hinggalah pada satu transisi sehingga rocker tersohor, Amy Search pun mengagumi suaranya.

Itu semua tulisan masa lalu yang pernah dicapainya. Kini, dia perlu membuka ruangan baru malah malah buku baru untuk memulakan semula sebuah perjalanan seninya.


TRANSISI besar yang dilaluinya kini membuatkan hidup Alan terasa lebih seronok sekali gus membuatkannya lebih bebas berkarya.


Vokal Alan sememangnya dikagumi ramai, namun itu bukan satu jaminan untuk dia terus berada di atas seperti masa lalu.

"Ini transisi besar dalam hidup saya. Tapi dari sudut tekanan, saya rasa lebih seronok sebab bebas dalam berkarya.

"Otak saya juga terasa lebih bebas dan bergerak. Kesimpulannya, bebas dalam semua sudut," ujarnya dalam senyum penuh makna.

"Andai kata grup baru saya ini tidak diterima untuk tahun ini atau tahun hadapan, saya memandang kepada satu gerakan jangka panjang.

"Mungkin lima tahun lagi, ia boleh diterima," ungkapnya yang banyak menerima sokongan orang terdekat.

Dalam nada yang tenang, dia berjanji untuk memberi kepuasan kepada pendengar, terutama buat peminat yang mempunyai mentaliti berlainan.

Alan mengharapkan mereka dapat menerima muzik yang baru ini. Dia malah sedar bahawa perpecahan lalu telah menyebabkan muncul dua kelompok, namun itu bukanlah satu faktor kenapa grup barunya ini tidak dapat diterima.

"Saya tahu ada yang tidak yakin dengan disiplin saya. Malah, ada yang tidak yakin dengan diri saya sendiri.

"Inilah ruang untuk saya buktikan semuanya. Saya yakin dengan perjalanan kali ini," ujarnya yang menganggap pengurusan kali ini lebih teratur dan sempurna.

Bertunang dengan Mala

Selepas pernah gagal beberapa kali dalam cinta, Alan nekad mengikat cinta suci yang datang menyapanya tidak sampai setahun dengan ikatan pertunangan.

Normala Hassan, 27, senang disapa sebagai Mala menjadi gadis pilihan Alan dan mereka bertunang tanggal 11 Julai lalu tanpa hebohan yang beria tentang majlis tersebut.

"Kami buat cara sederhana sebab ini baru acara pertunangan dan bukan pernikahan. Bagi kami tidak perlu acara glamor untuk pertunangan," ujar Alan.




Menganggap faktor usia adalah penggerak utama dia bergelar tunangan Mala, Alan juga merasakan dia sudah bersedia untuk maju setapak lagi dalam perhubungan.

"Selain Typewriter, ini adalah tanggungjawab baru saya juga," terang Alan yang menyatakan mungkin pertunangan ini diikat selama dua tahun.

Bertanyakan tentang Mala, Alan malu-malu untuk bercerita. Pertemuan dengan Mala menurutnya, hadir tanpa dirancang.

Segalanya berlaku ketika dia dan rakan lepak-lepak minum dan kemudian perkenalan itu terjadi.

"Mala matang dan rock steady! Dia dengar muzik yang berbeza daripada saya sebenarnya. Dia lebih kepada genre R&B dan sedikit rock.

"Mungkin perbezaan itu yang mendekatkan kami," Alan tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: