Mula-mulanya saya takut juga apabila kembali bergelar bapa. Tapi secara semula jadi, pengalaman lama itu datang kembali

MASIH terkenang kembali pada pertemuan dengan komposer ternama ini sebelum dia bergelar isteri kepada pelakon, Rusdi Ramli. Ketika itu dia ada berbisik didatangi mimpi tentang seorang anak lelaki yang dinamakan Rio.
Itu cerita pada November tahun lalu iaitu ketika Sharon Paul sedang siap-siap menjadi seorang isteri dan ibu tiri kepada anak tunggal Rusdi daripada perkahwinannya yang terdahulu, Efiezal Ridza, 19.
Jumaat lalu, bersua kembali dengan Sharon yang sudah bergelar ibu, dia lantas memperkenalkan Rio - buah cinta sulungnya bersama Rusdi yang sedang nyenyak tidur di sebuah katil bayi yang cantik.
Rio Ridza Rusdi lahir pada pukul 5.05 pagi 4 Ogos lalu di Hospital Assunta, Petaling Jaya. Sungai yang tenang. Itulah maksud yang tersirat di sebalik nama Rio. Setenang perjalanan cinta dan hidup ibu dan bapanya yang senantiasa memberi senyuman tatkala bersua.
Pada kala ini, Rio tidak banyak ragamnya. Menurut Sharon dan Rusdi, Rio cuma merengek dan menangis tatkala lapar. Seberat tiga kilogram, Rio lahir dua minggu lebih awal daripada tarikh yang dijangkakan.
"Mula-mula saya takut juga apabila kembali bergelar bapa. Maklumlah anak pertama sudah berusia 19 tahun. Tapi secara semula jadi, pengalaman lama itu datang kembali dan saya ingat semula bagaimana mahu menguruskan bayi," ujar Rusdi yang kini sibuk dalam penggambaran drama Waris.
Lain pula dengan Sharon, 32, yang kali pertama bergelar ibu.
"Masuk hari keempat, saya sudah terbiasa. Mulanya saya takut bercampur gembira dan tidak cukup tidur.
"Hari pertama saya sedikit tertekan ketika pulang ke rumah ibu saya. Ini kerana saya mahu pastikan semua dalam keadaan bersih dan terkawal," tuturnya sambil ketawa mengingatkan kucing-kucing ibunya yang terpaksa dihalau keluar dari rumah.

Mengingatkan kembali pengalaman sakit untuk bersalin, Rusdi, 39, ternyata lebih panik berbanding Sharon.
"Bayangkan, Sharon telefon saya dan memberitahu yang dia mengalami pendarahan ketika masih di studio di Taman Tun Dr. Ismail. Waktu itu saya ada penggambaran di Sungai Buloh.
"Dia boleh balik dulu ke rumah, mandi serta syampu rambut dan menunggu saya di rumah dalam keadaan tenang," ujar Rusdi.
Sharon berpantang cara Cina dan Melayu
Sembilan jam berdepan dengan kesakitan untuk bersalin, Rusdi hanya menjengah sekali sahaja di sebalik tirai. Itu pun untuk melihat keadaan isteri dan bukannya bayi.
"Saya tidak sanggup melihat Sharon dalam keadaan kesakitan. Kasihan," ungkap Rusdi.
Uniknya, Rio dilahirkan dalam darah versi 1Malaysia. Manakan tidak, Sharon berdarah Cina dan India, manakala Rusdi pula Melayu tulen.
Selepas bersalin, Sharon agak kuat berpantang. "Saya berpantang makan ikut cara Cina, banyakkan makanan menggunakan bawang putih manakala cara urut dan mandian lebih kepada budaya Melayu."
Mengamati wajah Rio, dia tenang melelapkan matanya walaupun kedengaran bunyi telefon dan kereta yang lalu-lalang.
"Saya rasa Rio sudah biasa dengan bunyi-bunyian. Bayangkanlah, Sharon masih bekerja hingga saat-saat akhir hendak bersalin. Dalam bilik bersalin pun dia sempat berbalas SMS dengan kliennya," gelak Rusdi.

Tersenyum merenung wajah suci Rio, Sharon menyimpan perasaan untuk menghadiahkan adik perempuan buat Rio.
Teruja menjadi ibu dia berkata tenang: "Saya sebenarnya takut jika saya tidak dapat menjadi ibu yang baik.
"Tapi saya saya gembira dan teruja apabila Rio sudah menghadiahkan saya senyuman pertamanya. Saya masih menanti ayat pertama yang bakal diucapkan."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: