Sunday, August 9, 2009

Norman tidak mahu ikut jejak Yusri

Cukup sederhana! Itulah yang dapat digambarkan mengenai majlis pernikahan Norman Abdul Halim, 37, dengan pasangannya, Shireen Mardziah Hashim, 44, yang berlangsung di Masjid Sayidina Umar Al-Khatab, Bukit Damansara, pada malam Jumaat lalu.

Status Norman sebagai selebriti popular dan juga Ketua Pengarah Eksekutif KRU studio ternyata tidak mempengaruhinya untuk mengadakan majlis gilang-gemilang seperti mana yang dilakukan kebanyakan artis di negara ini. Tidak mahu bermegah-megah dengan majlis perkahwinan yang besar-besaran, Norman berkata, memadailah dengan perkara yang wajib (akad nikah), itu dilaksanakan terlebih dahulu.

“Memang dari awal lagi saya tak nak buat majlis yang grand dan cukuplah dengan apa yang wajib sahaja (akad nikah). Lagipun saya belajar dari pengalaman dan kesilapan lalu, yang mana dialami oleh adik saya sendiri (Yusri). Dia pernah melangsungkan majlisnya dengan besar-besaran tapi jodohnya tak panjang pula.

“Pada mulanya kami rancang nak kahwin di Sydney, Australia, tapi memandangkan saya terfikir pula tanggungjawab saya sebagai milik masyarakat di sini, dan takut pula timbul macam-macam spekulasi jadi kami ubah fikiran untuk buat majlis di sini.

“Kalau ikutkan tak ramai yang dijemput, sebab majlis pun kecil, tapi tengok ramai juga yang datang. Saya minta maaflah pada kawan-kawan lain. Insya-Allah akan ada majlis untuk mereka nanti. Bukan yang grand tapi sekadar majlis biasa untuk raikan dengan mereka nanti. Soal bersanding, bukannya saya tak mahu bersanding, tapi saya tak nak bertanding, nanti orang kita asyik nak berlumba-lumba buat majlis yang besar-besar,” kata Norman yang ditemui sejurus selesai majlis pernikahannya itu.


Terpikat dengan kematangan Shireen

Dalam pada itu, Norman turut meluahkan rasa syukur serta gembira kerana dapat memperisterikan seorang wanita yang cukup memahaminya. Perkenalannya dengan Shireen yang juga merupakan Ketua Eksekutif KRU Internasional sejak 11 tahun lalu akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta. Malah kata Norman, keserasian mereka sepanjang bekerjasama dalam KRU Studios menguatkan lagi hubungan mereka. Malah siapa sangka, Shireen yang lebih tujuh tahun tua daripada Norman, berjaya menambat hati Norman yang sudah lama membujang.

“Sebelum ini saya dah berkawan dengan ramai wanita, termasuklah yang lebih muda dari saya, tapi mereka sukar memahami saya. Sentiasa nak dilayan, nak kena bagi report duty setiap hari. Berbeza dengan Shireen, dia sangat matang dan sentiasa memahami saya. Malah dia juga banyak membantu kerja saya. Kematangan sikapnya itulah membuatkan saya ingin berkahwin dengannya. Saya sangat tenang berada di sisinya,” kata Norman yang kali pertama bertemu Shireen di majlis pernikahan adiknya, Edry dan Milia, 11 tahun lalu. Bagaimanapun, mereka hanya serius dua tahun lalu.

Sementara itu, Shireen turut ditanya tentang pandangannya terhadap Norman. Dia yang agak pemalu orangnya berkata, Norman seorang yang ikhlas dan juga memahami dirinya. Ciri-ciri yang ada pada diri Norman itulah membuatkannya tertarik untuk menerima Norman sebagai teman hidupnya. Memandangkan jejaka pilihannya itu merupakan selebriti popular, maka wanita kelahiran England ini sudah pun mempersiapkan dirinya untuk berdepan dengan segala cabaran yang datang kelak.

“Dalam perhubungan, kejujuran yang paling utama. Apa pun gosip yang datang, kita tak boleh percaya dan harus berbincang dengan suami terlebih dahulu,” kata Shireen yang pernah berkahwin dua kali sebelum ini. Dia bagaimanapun, tidak mempunyai anak dari perkahwinannya itu.

Bertanyakan soal cahaya mata, baik Norman mahupun Shireen sudah pun bersedia ke arah itu.

“Salah satu sebab saya nak kahwin ni sebab zuriat. Kalau boleh saya nak ramai anak. Tapi itu pun bergantung pada rezeki. Kalau dah ada anak nanti, saya tak nak isteri saya bekerja. Biarlah dia duduk rumah jaga anak. Peranan ibu sangat penting sepanjang pembesaran anak-anak. Sebagai suami, biarlah saya saja yang kerja cari rezeki, ” kata Norman dengan penuh optimis.

Pasangan ini telah pun berangkat ke New Zealand selama seminggu untuk berbulan madu.

1 comment:

  1. Kita tengok how long this 'scam' will last ....hehehehhehehehhehe

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: