Saturday, August 8, 2009

Tuah Chelsea


DARI kiri, Joe, Chelsea, Nick dan Kevin.

Gadis berasal dari Phoenix, Arizona berkongsi cerita mengenai pengalaman berlakon di samping Jonas Brothers

SELEPAS Hannah Montana yang menampilkan bintang remaja Miley Cyrus, peminat Disney Channel sekali lagi dapat mengikuti sebuah siri komedi yang dibintangi artis popular, Jonas bersaudara apabila siri Jonas menemui penonton di Malaysia mulai 9 Ogos ini.

Dijayakan tiga jejaka yang menjadi pujaan jutaan peminat - Kevin, Joe dan Nick Jonas, siri ini turut dilakonkan Chelsea Staub, Nicole Anderson, John Ducey dan Rebecca Creskoff. Siri ini mengikuti kisah Lucas bersaudara yang cuba mengimbangi kehidupan mereka sebagai bintang Rock & Roll dengan kehidupan seharian sebagai remaja sekolah.

Berlakon sebagai rakan karib yang juga penata gaya adik-beradik popular itu dalam siri berkenaan ialah Chelsea Staub, gadis ramah dari Phoenix, Arizona. Baru-baru ini, pelakon berusia 21 tahun itu bertemu bual bersama beberapa wartawan dari Asia Tenggara menerusi persidangan telefon bagi mempromosikan siri lakonannya.

Pada ketika ramai anak gadis tergila-gilakan tiga pemuda terbabit, tentunya mereka akan berdengki pada Chelsea yang nyata lebih beruntung apabila diberikan peluang beraksi di samping mereka. Namun, sebagai pelakon, Chelsea nyata tidak suka mencampur adukkan kerja dengan hal peribadi.

"Tidaklah saya sampai jatuh cinta kepada mereka sepanjang enam bulan kami menjayakan siri berkenaan," katanya disulam ketawa kecil tatkala diusik pertanyaan apakah dia tidak terpikat dengan seorang daripada tiga anak muda masyhur itu sepanjang menjayakan produksi ini.

ADIK BERADIK Jonas yang berlakon sebagai Lucas bersaudara bersama keluarga mereka dalam siri terbitan Disney Channel.

Kata Chelsea, tentunya dia akan berasa canggung sekiranya tiba-tiba perasaan cinta berputik antara dirinya dengan seorang daripada adik-beradik Jonas terbabit.

"Lainlah kalau saya tidak bekerja bersama mereka. Jika begitu keadaannya, mungkin saya akan memilih untuk keluar dating dengan Joe sebab dia seorang jejaka yang berperangai gila-gila," kata Chelsea yang menganggap bekerjasama bersama kumpulan itu sebagai pengalaman menyeronokkan.

Katanya, sepanjang tempoh penggambaran dijalankan, dia tidak berasa seperti hendak ke tempat kerja. Sebaliknya ia lebih berupa perjalanan ke sekolah tinggi berikutan kesemua pelakonnya terdiri daripada remaja lebih kurang sama usianya. Justeru, topik perbualan dan hobi masing-masing juga seakan sama.

Chelsea turut menghormati adik-beradik lelaki berkenaan kerana katanya, selain menunjukkan kesungguhan sewaktu bekerja, mereka juga suka merendah diri dan berbudi bahasa.

CHELSEA STAUB memegang watak penata gaya dalam siri Jonas.

"Jarang sekali saya bertemu bintang rock seperti Jonas Brothers. Kerana itu saya amat menyayangi mereka," kata wanita muda yang memegang watak Stella Malone ini.

Menyentuh wataknya sebagai guru gaya kepada Lucas bersaudara, Chelsea berkata, sekiranya peminat menyaksikan dirinya begitu mementingkan cara berpakaian dan penampilan dalam siri komedi terbabit, di dalam kehidupan sebenar dia tidaklah terlalu taksub kepada dunia fesyen.

"Karakter saya di luar lokasi tidaklah sama sangat dengan karakter dalam siri ini. Saya sebenarnya kurang gemar keluar membeli-belah. Namun begitu, sudah tentulah saya mahu kelihatan menarik setiap waktu. Ia tidak bermakna saya asyik berkunjung ke butik berjenama untuk mencari pakaian.

"Jika ditanya mengenai jenama, mungkin BCBG Max Azaria ialah label paling sesuai dengan saya kerana mereka bijak menghasilkan fesyen untuk wanita muda," ujar Chelsea yang menjadikan gaya berpakaian Kate Hudson, Vanessa Hudgens serta Mary-Kate dan Ashley Olsen sebagai inspirasi.

Tidak anggap diri sebagai bintang

PELAKON yang gemar menghabiskan masa lapang di tepi pantai ini turut berkongsi pengalaman bagaimana dia mendapat peluang keemasan beraksi dalam siri terbabit.

"Saya mula-mula mendengar mengenai projek ini kira-kira dua tahun yang lalu. Ketika itu, Jonas Brothers pun belum dikenali. Cerita yang dicadangkan juga agak berbeza, apabila mereka sepatutnya memegang watak perisik yang menyamar sebagai kumpulan muzik. Namun, ketika projek ditunda akibat mogok penulis di Hollywood, nama Jonas Brothers tiba-tiba meledak. Lalu, penerbit menukar jalan ceritanya.

"Ketika itu, saya memang mahu membintangi siri ini kerana berlakon ialah mata pencarian saya. Saya juga memang mahukan watak Stella, begitu juga rakan baik saya, Nicole. Kami sudah saling mengenali selama lima tahun. Namun, apabila dipanggil semula selepas beberapa sesi uji bakat, saya yang mendapat watak berkenaan. Pada masa yang sama, sedih juga rasanya apabila Nicole tidak terpilih.

"Namun, agaknya sudah menjadi rezeki kami, penerbit mencipta satu lagi watak yang kemudian diberikan kepadanya," cerita Chelsea yang turut bersahabat dengan Zac Efron dan Vanessa, selain adik-beradik Jonas.

Kata pelakon yang kini menjadikan Los Angeles sebagai rumahnya, selain berlakon dia juga terbabit dalam beberapa aktiviti kebajikan, termasuk bergerak bersama Rangkaian Teater Lollipop, sebuah pertubuhan suka rela yang membawakan keajaiban filem kepada kanak-kanak yang dirawat di hospital.

Tidak menganggap dirinya sebagai seorang bintang, Chelsea berharap, karier lakonannya akan berkembang dan dia sendiri ingin terus bergelar anak seni untuk jangka waktu yang amat panjang.

Info:

  • CHELSEA berlakon secara profesional sejak usianya sembilan tahun. Dia mendapat peranan pertamanya sebagai Young Kim dalam siri jelajah Broadway kebangsaan, Showboat. Dia kemudian menjayakan beberapa produksi lain seperti Peter Pan, The Wiz, Cinderella, Oliver, Annie, Titanic, The Sound of Music, Schoolhouse Rock, A Christmas Carol dan The Secret Garden.

  • PELAKON ini membintangi filem keluaran Disney Channel, Minutemen, pada tahun lalu di samping menjadi bintang undangan dalam siri popular Disney Channel, Wizards of Waverly Place. Projek lain yang dijayakan termasuk Cracking Up, Summerland, Listen Up dan The Bill Engvall Show.

  • DI layar perak, dia mendapat watak pertamanya dalam filem bercorak kekeluargaan, Arizona Summer, dan sebagai pelakon utama menerusi filem Bratz: The Movie. Tahun ini, dia muncul bersama filem Girlfriend.

  • TAYANGAN perdana siri Jonas akan disiarkan pada 9 Ogos, jam 5.30 petang di Saluran Disney (Astro 615). Selepas itu, Jonas akan disiarkan jam 5.30 petang pada setiap Sabtu dan Ahad.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: