
Filem hasil karya Produksi Les’ Copaque ini mempamerkan gelagat lucu sepasang kembar comel yang telah berjaya menambat hati penonton buat kali pertama ia ditayangkan di Blitz Megaplex pada 18hb Julai lepas. Kembar kesayangan ramai ini telah pun mempunyai pengikutnya sendiri setelah muncul di saluran TPI Indonesia pada tahun 2008. Dengan sambutan yang hebat ini, Produksi Les’ Copaque yakin bahawa filem ini bakal menjadi gempar apabila ianya ditayangkan di Blitz Megaplex pada September 2009 ini. Ini akan menjadikan filem Geng sebagai filem animasi tempatan pertama yang mendapat keistimewaan Tayangan Perdana di Indonesia. Segala persiapan bagi mempromosikan filem ini sedang diusahakan bagi menghangatkan lagi kemunculannya.
Siri mini animasi 3D Upin & Ipin mendapat sambutan yang menggalakkan setelah ditayangkan di saluran TPI Indonesia pada tahun 2008. Kini TPI Indonesia masih lagi meneruskan tayangan Upin & Ipin musim kedua yang memaparkan aktiviti mereka sepanjang bulan Ramadhan. Siri mini Upin & Ipin kini telah pun memasuki musim ketiga dengan cerita yang lebih menarik dan berintipatikan imej global. Produksi Les’ Copaque berharap ini akan menjadi pemangkin pada jualan barangan Upin & Ipin serta akan menambahkan lagi bilangan peminat apabila filem ‘Upin & Ipin Angkasa’ yang dijangka muncul pada 2011.
Geng akan meneruskan lagi perjuangannya untuk ke peringkat antarabangsa dan bakal menggegarkan pawagam di India pada bulan November ini berikutan dari minat yang mendalam dari syarikat antarabangsa. Trailer yang telah dialih bahasa ke bahasa Hindi boleh disaksikan di laman web http://www.indiatales.com.
Filem Geng: Pengembaraan Bermula telah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada Februari 2009. Filem ini telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila berjaya mencatatkan kutipan kedua tertinggi dalam sejarah tempatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: