Tuesday, August 11, 2009

* Tetap kejar impian




Bergaya anggun dengan rekaan Calvin Thoo ketika sesi fotografi ini, Farhan akui rezekinya sebagai anak seni masih ada

SEKALI melangkah ke dalam dunia hiburan, setiap sisi baik mahu pun buruk yang bakal terjadi perlu diharungi dan diterima seadanya. Bukan masanya lagi untuk berundur ke belakang kerana kehidupan mendatang harus dilalui tanpa sebarang penyesalan di hati.

Hampir empat tahun menongkah arus dunia seni, Farhan atau nama sebenarnya Nur Farhan Azizan, 25, selaku penyandang tempat ketiga Akademi Fantasia musim keempat masih tegar bertahan membuktikan bakatnya masih relevan hingga kini. Menyertai program realiti itu ibarat satu keajaiban dan tidak mungkin tanpa program itu dia masih berada di sini.

Biarpun namanya kelihatan sayup kedengaran dan ada kalanya dipandang sepi di ruang publisiti, dia masih utuh memastikan jenamanya tidak terus lebur begitu saja. Anak pertama daripada lima beradik ini masih memenuhi undangan persembahan tertutup, malahan hampir setiap hujung minggu dia pasti tidak melekat di rumah kerana keluar mencari rezeki sebagai penyanyi.

Pahit manis bergelar anak seni ditangani sebaik mungkin dan pada akhirnya ia bertimbal balik kepada cara kita mengendalikan apa juga kemungkinan situasi.

“Tidak sepanjang masa kita sengsara mengenang episod duka, tidak semena-mena kebahagiaan itu pasti mendakap diri saya. Ia adalah satu cabaran yang terus mematangkan diri. Biarpun ekonomi tidak stabil, pintu rezeki masih terbentang luas dan pokok pangkalnya ia berbalik kepada usaha serta kesungguhan kita untuk meneruskan impian,” katanya ketika ditemui pertengahan Jun lalu di Butik Calvin Thoo untuk satu fotografi istimewa. Farhan juga antara pelanggan yang selalu berkunjung ke butik itu untuk menempah baju.



Falsafah muzik yang menjadi pegangan diri terus digenggam erat. Bahkan kalau mahu diperdebatkan mengenai pasaran muzik semasa pun dia mampu memberi hujah serta pandangan panjang lebar mempertahankan pendiriannya. Penyanyi yang memiliki bibir menawan itu kalau diajak bicara, pendek kata sampai esok lusa pun belum tentu akan berakhir kata-katanya.

Entiti muzik itu sendiri adalah imbasan kehidupannya. Ia bagai irama dan lagu yang berjalan seiringan, lalu, tiada salah satu daripadanya, maka pincang jadinya. Jika ada segelintir penyanyi tempatan yang mahu melebarkan sayap ke negara jiran seperti Indonesia sanggup menjadi seperti penyanyi di sana dengan merakamkan lagu mirip lagu seberang, dia pula selesa hadir dengan cara tersendiri.

“Kalau mahu dibandingkan dengan negara luar, muzik kita sebenarnya sudah jauh berkembang pesat. Yang menjadi isu di sini, apabila sesetengah masyarakat dan penggemar muzik tempatan terlalu mengagungkan muzik luar tanpa menyedari kehebatan muzik di negara sendiri.

“Saya ambil contoh jalur muzik jazz sendiri sudah mula ada dalam zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee, begitu juga dengan sekarang, kita ada Atilia dan Noryn Aziz. Namun, pada akhirnya muzik luar juga yang dihargai. Saya tahu isu muzik seberang mula membanjiri negara kita sudah lapuk dan basi untuk diperkatakan. Siapa harus dipersalahkan, masing-masing dengan agenda sendiri mempertahankan kepentingan sendiri.

ISTILAH putus asa tidak pernah ada dalam kamus hidup Farhan.

“Memang tidak adil apabila muzik luar mudah saja ‘mendarat’ ke negara kita tanpa sebarang sempadan. Tapi itulah yang masih berlaku. Bukan kita tiada album tempatan atau single baru penyanyi negara kita kerana pada akhirnya lagu luar juga yang mendominasi corong radio. Kadang-kadang penyanyi kita ibarat menjerat diri membikin album baru sedangkan usaha itu dihampakan pihak tertentu,” katanya yang turut membuktikan genre muzik tersendiri dan mengharapkan ia mampu diterima.

Album sulung terbit selepas Aidilfitri

TIGA tahun bergerak sendiri dengan menubuhkan syarikat Mezzaforte Records, pertaruhan sulungnya bakal menjadi kenyataan dijangka selepas musim Aidilfitri nanti. Album memuatkan lapan lagu itu dibikin dalam durasi masa hampir dua tahun.

Kata Farhan, album itu dilakukan dalam tempoh yang dianggap lama kerana ia dibikin tanpa perasaan tergesa-gesa dan demi mencari material yang betul-betul berkualiti.

“Album itu hanya menunggu masa diedarkan dan saya pasti ia akan berada di pasaran. Konsep album itu berentak retro dan mempunyai sentuhan ‘rhythmix soul’. Elemen seperti fusion, jazz, funky, soul dan pop turut diselitkan.

“Album itu terhasil dengan duit sendiri dari A hingga Z dengan menelan belanja hampir RM80 ribu. Antara komposer yang terbabit ialah Sham Kamikaze, Sharon Paul dan Helen Yap. Untuk single pertama, Kelmarin ia dicipta komposer seberang, Shaharani dan menyusul sebagai single kedua ialah Bukan Mimpi,” katanya yang turut menyanyikan lagu tema program Pilih Kasih.

Hakikatnya lumrah kehidupan ibarat putaran roda, sesekali kita berada dalam kedukaan dan sesekali ia berselang seli dengan kegembiraan. Pernah mencalar perasaan serta menyentapkan hatinya apabila teman seperjuangan yang disangka baik, rupa-rupanya menjadi gunting dalam lipatan selama ini. Kejadian itu berlaku tahun lalu hingga hampir separuh teman artis yang lain mula memulau.

“Tapi sekarang permasalahan itu sudah mula berakhir dan memang ketika itu saya banyak makan hati berulam jantung. Mujur juga ia tidak menjejaskan kerjaya seni saya cuma ia memberi kesan dalam nilai persahabatan.

“Apa yang saya lakukan ialah bersabar dan berdepan dengan tenang. Saya bersyukur kawan yang lain lebih kenal siapa Farhan. Sayang sekali, dia masih tidak sedar yang orang sudah mula tahu tembelangnya. Saya sendiri hairan kenapa masih ada manusia yang menikam belakang sesama sendiri sedangkan ruang lingkup dunia seni kita bukanlah besar mana pun,” katanya yang tidak mahu mendedahkan identiti artis yang dimaksudkan itu.

Dalam sisi lain, Farhan kini sedang bahagia melalui fasa indah dalam percintaan. Sambil berseloroh, dia memberitahu hatinya kini sudah dimiliki. Namun diajak berbicara lanjut mengenai perancangan berkahwin, dia masih belum memikirkannya lagi.

“Sekarang ini tumpuan saya hanya pada kerjaya dan keluarga. Secara peribadinya saya sudah membanggakan keluarga saya dengan bergelar anak seni, lalu, saya tidak mahu ia ternoktah begitu saja. Masih terlalu jauh perjalanan seni saya. Kisah peribadi jatuh ke tangga ketiga selepas kerjaya dan keluarga. Lagipun adik saya Nurul Ain yang melangkah bendul kerana akan berkahwin dulu sebelum saya,” katanya.

PROFIL: Persepsi terhadap kecantikan dan wajah komersial yang dianggap penting dalam dunia seni

  • Tidak menafikan dunia hiburan tempatan mementingkan aspek komersial dan rupa terutamanya dalam kecenderungan untuk menghiasi muka depan majalah mahupun akhbar.

  • Pernah mendengar kata-kata sinikal yang menganggap dirinya tembam. Malah kini Farhan sudah berusaha untuk mengurangkan berat badannya. Usiknya, wajah yang kurang cantik sekalipun kalau dikenakan solekan akan cantik juga akhirnya.

  • Kecantikan tidak akan menjamin sesuatu hala tuju atau misi yang ingin dicapai. Dia masih terkenang kata-kata Erra Fazira yang pernah bercakap, berlakon kalau sekadar jual rupa saja tanpa bakat pun pada akhirnya ia tidak memberi jaminan.

  • Kalau ada bakat dan rupa sederhana sepertinya mungkin masih boleh dihargai lagi peminatnya. Katanya, paling memberi impak kepadanya ialah setiap kali membuat persembahan dan ada yang mula mengagumi suaranya. Katanya lagi, dia tidak menjual rupa sebaliknya suara.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: