dari kiri; ahmad izham, Lam dan Paul Moss pada pelancaran 8TV Goes Mobile. |
HANYA menekan satu butang saja, segala maklumat boleh sampai dalam masa beberapa saat, itulah yang dikatakan teknologi mampu mengubah gaya hidup terkini dan pastinya tidak akan terlepas dirasai semua individu.
Teknologi mengubah cara hidup untuk sentiasa cepat, pantas dan tepat melakukan sesuatu kerja dengan berkualiti. Kini semua pihak berlumba-lumba mengejar teknologi agar produk yang dihasilkan lebih pantas dan berkualiti.
Baru-baru ini, stesen televisyen 8TV memperkenalkan 8TV Mobile yang boleh menyaksikan 10 program televisyen itu melalui telefon bimbit peribadi.
Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim berkata, 8TV Mobile adalah produk pertama di negara ini dan juga Asia Tenggara di mana pemilik telefon bimbit boleh menyaksikan program 8TV.
“8TV menjadi rangkaian televisyen yang progresif. kita berasa sangat berbangga dengan langkah 8TV yang pantas bergerak ke arah teknologi mudah alih yang juga suatu revolusi baru dalam dunia penyiaran.
“Kami selalu percaya untuk menjadi yang pertama dalam penjelajahan idea baru tanpa melupakan kehendak penonton kami, pelbagai genre program televisyen seperti remaja, urban dan Cina akan disiarkan terus melalui telefon bimbit.
“Antara program yang boleh ditonton melalui telefon bimbit seperti Blogger Boy, Project NS, 8TV Quickie, 8TV Mandarin News, I Wanna Be A Model 3, A Cup Of Love Ho Chak dan banyak lagi.
“Untuk mengetahui bagaimana cara untuk menonton program 8TV Mobile berfungsi, orang ramai boleh melayari laman web mobile.8tv.com.my,” kata pada majlis pelancaran 8TV Goes Mobile di The Platinum Movie Suites, Cathay Cineplex Damansara.
Kemudahan perkhidmatan mudah alih yang percuma ini sama seperti kemudahan online Catch-Up TV yang juga sebuah perkhidmatan percuma melalui WiFi dan rangkaian 3G/Edge.
Pengurus Besar Teknologi dan Perniagaan Baru Alt Media, Paul Moss berkata, walaupun ia boleh didapati dengan percuma tanpa apa-apa bayaran, namun sasaran penggunaan 8TV Mobile tidak kepada semua individu.
“Semua rancangan itu boleh ditontoni melalui 8TV Mobile selepas lebih kurang enam jam ia disiarkan melalui TV. Penggunaan ini masih di peringkat awal dan kita akan memperbaiki dari semasa ke semasa.
“Selain perkhidmatan ini juga mempunyai jadual siaran serta rancangan eksklusifnya tersendiri. Anda juga boleh muat turun kandungan telefon bimbit seperti nada dering, wallpaper dan banyak lagi,” katanya.
Menurut Paul, stesen TV Media Prima yang lain iaitu TV3, ntv7 dan TV9 juga menawarkan perkhidmatan yang serupa dalam tempoh masa dua bulan akan datang.
“Portal hiburan dan gaya hidup iaitu Gua juga akan melancarkan Gua Mobile dalam jangka masa yang sama. Selain itu, perkhidmatan News Portal dan Video News alerts juga memberikan pengguna kesempatan untuk mendapat berita terkini daripada unit TV3 melalui teks dan video.
“Berita dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris juga boleh didapati pada separuh akhir tahun ini. Dengan pelancaran perkhidmatan mudah alih ini, ia menunjukkan satu lagi kejayaan MPB dalam dunia digital media. Dengan mengikuti kejayaan online Catch - Up TV serta gua.com.my, ia menjadi satu hasrat dan komitmen untuk kumpulan MPB untuk menjayakan platform digital media,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: