Antara misi penting dan keselamatan diri, begitulah pengorbanan anggota payung terjun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Ezril Redzuan Zainuddin demi menjaga kedaulatan negara. XY - Ikon Lelaki minggu ini menyelami cabaran pejuang muda ini berada nun jauh di ruang angkasa...
PENGGEMAR ekstrim atau tidak, bukan semua di kalangan kita sanggup merasai sensasi berlegar-legar di ruang udara pada paras lebih 4,000 meter dari aras laut. Namun bagi anggota payung terjun TUDM yang cukup terlatih, semua itu bagai asam garam dalam hidup mereka.
XY - Ikon Lelaki mendekati penerjun udara, Kapten Ezril Redzuan Zainuddin bagi menyelami apa yang dirasai anak muda ini tatkala melompat keluar dari pesawat, dipukul angin lalu melayang-layang sebelum tali payung terjun direntap. Sebagai insan biasa, pasti sesekali Ezril Redzuan tidak terlepas diburu rasa gusar.
Mula bicara, Ezril Redzuan yang sudah melakukan lebih 300 terjunan mengakui rasa bimbang adalah lumrah sifat manusia. Lebih-lebih lagi risiko kemalangan dan andaian berlakunya kesilapan teknikal ketika melakukan penerjunan.
Namun, anak muda ini tidak terganggu dengan kegusaran itu tatkala memikirkan komitmen dan misinya kepada bangsa, agama dan negara.
“Bohong andai diri tidak diburu kebimbangan setiap kali melakukan penerjunan. Apatah lagi jika terfikir kemungkinan payung terjun tidak terbuka... Ini boleh mengganggu fikiran.
“Disebabkan itu, kita harus sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri dengan sebarang kemungkinan termasuk melakukan pelan kecemasan kedua bagi memastikan keselamatan diri terjamin.
“Apabila berada di ruang udara, tidak ada siapa dapat membantu sebaliknya kita sendiri perlu bertindak pantas,” katanya ketika ditemui di kem Rejimen TUDM Jugra, Banting, Selangor.
Timbul rasa kagum apabila menyaksikan intensifnya sesi latihan dan teknik terjunan melalui simulator yang dipertontonkan kepada XY - Ikon Lelaki pada sesi temu ramah itu. Biarpun cuaca sedikit gerimis, sesi penggambaran berlangsung baik.
Puas meniarap dan berayun, pelbagai aksi digayakan Ezril Redzuan sekali gus membuktikan pengalaman 11 tahun berkhidmat dalam TUDM.
Ikuti misi dan visi pejuang muda ini...
Boleh anda ceritakan serba sedikit skop kerjaya anda?
Saya bertugas sebagai pegawai Safety, Standard and Readiness (SSR) di Rejimen TUDM Jugra, Selangor. Pada masa sama, saya terbabit dalam aktiviti penerjunan termasuk menjadi tenaga pengajar kepada pelatih baru.
Sudah berapa lama anda berkhidmat dalam TUDM?
Saya berkhidmat dengan TUDM sejak 11 tahun lalu... Sepanjang tempoh itu, banyak unit dalam cabang TUDM pernah saya sertai.
Ceritakan pengalaman pertama anda melakukan penerjunan udara?
Tidak dapat tidak, perasaan takut sentiasa ada dalam diri. Setiap manusia akan mempunyai perasaan sama apabila berada di tempat tinggi... Begitulah apa yang saya rasa.
Namun, apabila kita mula memikirkan soal tanggungjawab dan mengapa kita memilih tugasan mencabar ini, semua perasaan itu akan dapat diketepikan.
Apa agaknya yang anda fikirkan ketika berlegar-legar di ruang udara?
Sebaik terjun, perasaan ketika itu hanyalah untuk memberi tumpuan 100 peratus dan memastikan keselamatan diri. Kemudian nantikan detik sesuai untuk membuka payung terjun dan bersedia melakukan pendaratan selamat.
Setakat ini, sudah berapa kali anda melakukan penerjunan?
Sehingga hari ini, saya sudah melakukan 323 terjunan di udara dengan purata 10 kali sebulan. Jika hendak diambil kira, jumlah ini adalah biasa berbanding penerjun udara dan peminat sukan payung terjun yang mungkin sudah lebih 1,000 kali melakukan penerjunan.
Apa agaknya aras ketinggian setiap kali anda melakukan penerjunan?
Kadar purata membolehkan seseorang melakukan penerjunan ialah 4,000 meter dari aras laut. Saya pernah melakukan penerjunan pada tahap ketinggian 6,400 meter dari aras laut.
Berapa lama agaknya tempoh masa untuk kita mendarat ke tanah sebaik melakukan penerjunan?
Jika kita terjun pada ketinggian 4,000 meter dari aras laut tanpa menggunakan sebarang peralatan, kita akan tiba ke tanah pada anggaran masa 45 saat. Jika kita menggunakan payung terjun, ia akan mengambil masa kira-kira dua minit untuk mendarat dengan sempurna.
Apakah sukar untuk mengendalikan payung terjun?
Pastinya sukar jika tidak dilatih. Seseorang boleh melakukan terjunan pertama sebaik mendapat bimbingan dan latihan asas bagi tempoh dua bulan.
Siapa yang tidak dibenarkan melakukan penerjunan udara?
Sudah tentu individu yang gagal ujian tahap kesihatan, tekanan darah tinggi, sinus dan mengalami masalah jantung. Semua orang perlu melakukan ujian kesihatan sebelum dibenarkan menyertai aktiviti ini.
Boleh anda ceritakan serba sedikit mengenai sayap payung terjun TUDM?
Rejimen TUDM mempunyai banyak sayap yang mengkhususkan payung terjun dalam operasi Pasukan Khas Udara (Paskau).
Untuk memantapkan operasi Paskau, pelbagai kursus dikendalikan termasuk kursus asas payung terjun, ketua penerjunan, jurulatih payung terjun, asas terjun bebas, jurulatih terjun asas dan penerjun taktikal aras tinggi.
Adakah anda pernah menyertai mana-mana kejohanan dan pertunjukan payung terjun?
Antara kejohanan yang pernah saya sertai ialah Kejohanan Payung Terjun Tertutup ATM dan Hari Ulang Tahun PDRM ke-200 di mana pasukan Paskau TUDM menduduki tempat keempat keseluruhan.
Pengalaman detik cemas di udara
KAPTEN Ezril Redzuan berkongsi detik cemas tatkala payung terjun miliknya gagal berfungsi dalam satu insiden, awal tahun ini. Detik itu benar-benar meninggalkan kesan pada dirinya.
“Bayangkanlah andai saya panik dan tidak membuat keputusan wajar... Entah apalah nasib saya ketika itu,” katanya mengenang kembali detik mencemaskan itu.
Mujur kata anak muda ini, beliau menarik payung terjun kedua bagi membolehkan terapung di udara dalam tempoh ketinggian stabil.
Bagi Ezril Redzuan, ketika itu beliau umpama bertarung dengan risiko yang boleh mengancam keselamatan dirinya.
“Jika hendak dikutkan, memanglah cemas kerana tempoh kita berlegar di udara dan ditarik graviti amat singkat. Bayangkan, tanpa payung terjun anda boleh mendarat di tanah pada tempoh 45 saat,” katanya.
Ketika diminta berkongsi tip mengelak rasa gayat, Ezril Redzuan berkata, tiada petua atau tip boleh digunakan, sebaliknya semua orang perlu memiliki sikap positif.
“Sikap positif mampu meningkatkan kemampuan diri serta menjadi pemangkin memburu kejayaan. Ia juga membolehkan kita memahami komitmen dan tanggungjawab,” katanya.
Ditanya persamaan aktiviti payung terjun dengan sukan ekstrim lain seperti bungee jumping, pejuang muda itu berkata, aktiviti payung terjun berbeza.
“Saya pernah melakukan terjunan bungee jumping dan mendapati aktiviti ini lebih mendebarkan berbanding payung terjun. Ini kerana kita tidak tahu tahap keselamatan aktiviti ini dan ketinggian yang diragukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: