Sunday, August 23, 2009

Teater pendek membuahkan hasil

IA julung kali diadakan dan diusahakan dalam tempoh yang singkat - hanya tiga minggu, menariknya pementasan Teater Anugerah Merdeka 2009 bukan sahaja memenuhi matlamat, lebih penting mendapat sokongan memberansangkan daripada penggiat dan peminat.

Mementaskan 16 teater pendek berdurasi 10 minit ke 15 minit yang antaranya didokong oleh penggiat seni seperti Fauziah Nawi dan Mamat Khalid, ia dianjurkan oleh Sekretariat Anugerah Merdeka dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP).

Bertemakan kemerdekaan, pementasan itu berlangsung selama tiga malam berturut-turut bermula 17 Ogos di Stor Teater DBP.

Wanda berkesempatan hadir menyaksikan pementasan pada malam akhir yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Sekretariat Anugerah Merdeka, Datuk Khalid Mohd. Malam itu ramai yang terpaksa duduk di luar dan menyaksikan persembahan menerusi skrin televisyen.

Wanda harus akui teruja melihat sambutan pementasan itu serta penglibatan 16 pengkarya pada pementasan teater pendek itu. Apalagi melihat anak-anak muda dan berbilang kaum pula yang semakin menyokong seni persembahan di negara ini.

Malah Wanda dikhabarkan bahawa sebenarnya, pencetus kepada idea pementasan itu juga adalah ekoran peningkatan khalayak khususnya generasi muda terhadap seni budaya. Elok benarlah kerana kalau kita melihat bangsa yang maju, pementasan seni persembahan seperti teater ini mendapat perhatian masyarakatnya.

Wanda difahamkan, tiga karya terbaik akan diberi peluang untuk mementaskan teater itu secara penuh yang dipilih panel daripada kalangan mereka yang terlibat dalam pementasan itu sendiri.

Pengisian

Selain menjadi sebahagian pengisian bulan kemerdekaan, penganjuran Teater Anugerah Merdeka 2009 ini juga adalah untuk meuar-uarkan majlis berprestij Anugerah Merdeka yang diperkenalkan sejak Ogos 2007 iaitu pemberian anugerah kecemerlangan kepada individu dan organisasi tertentu yang telah memberi sumbangan unggul ke arah kemajuan negara.

Melihat daripada sambutan yang diterima, pementasan ini akan diteruskan sebagai salah satu acara tahunan dengan skala yang lebih besar.

“Ini untuk meletakkan Teater Anugerah Merdeka sebagai satu lagi festival teater yang dihormati,” kata pengurus projek, A Wahab Hamzah.

Sementelah acara pementasan itu sendiri merupakan pencetus kepada kita untuk melihat dan menilai kesan sejarah daripada kalangan pengkarya mampan dan persepsi generasi baru terhadap kebebasan yang telah kita perolehi selama ini.

Apalagi dewasa ini sudah semakin ramai golongan muda yang menunjukkan minat terhadap teater dan ramai pula siswazah yang mengambil kursus dalam bidang seni.

Pasti sahaja ia menyemarakkan lagi semangat untuk melihat hasil-hasil karya dipentaskan dan lebih penting meraikan kemerdekaan dengan acara yang lebih bermanfaat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: