![]() |
| AHLI Fiqir (dari kiri) DJ Ceza, Mawar Berduri dan Daly. |
BERJAYAKAH Ahli Fiqir tanpa Tukang Kata? Itulah soalan pertama yang bermain di fikiran tatkala melihat hanya tiga anggota Ahli Fiqir meneruskan kesinambungan yang dimulakan lima tahun lalu.
‘Kehilangan’ Tukang Kata atau nama sebenarnya Samsul Nahar Sidengat daripada kumpulan rap itu bukan lagi menjadi rahsia sebaliknya sudah banyak dibicarakan sehingga mencetuskan tanda tanya.
Biarpun pelbagai spekulasi yang di uar-uarkan oleh banyak pihak, anggota yang ada tidak menganggap ia sebagai satu masalah yang besar sehingga menjejaskan perjalanan kerjaya seni mereka.
Masalah yang dilalui oleh Ahli Fiqir ini bukanlah sesuatu yang asing bagi sesebuah kumpulan muzik memandangkan sudah banyak cerita yang sama berlaku pada kumpulan yang lain.
Namun, mereka tidak mahu isu seperti ini menjadi sesuatu yang biasa memandangkan perjalanan mereka masih jauh untuk mengecapi kejayaan yang lebih besar.
Banyak lagu-lagu yang melonjakkan nama mereka sebelum ini seperti Samseng, Angguk Angguk Geleng Geleng dan Tik Tok Simpati.
Kini mereka tidak menoleh kebelakang lagi apabila melancarkan pula album ketiga yang berjudul Irama Berimah.
Jika mengikutkan sambutan yang diterima daripada album Hari Ini Dalam Sejarah dan Rap Untuk Rakyat, Ahli Fiqir boleh menarik nafas lega kerana mereka mendapat sambutan dan maklum balas yang positif daripada peminat muzik.
Ramai yang memuji kelainan yang dibawakan oleh mereka terutama apabila menggunakan irama rap Nusantara sebagai kekuatan yang jarang ada pada kumpulan muzik yang lain.
Tidak banyak kumpulan-kumpulan muzik yang mampu bertahan seperti mereka selama ini. Inilah kelebihan yang dikecapi oleh Ahli Fiqir yang dianggotai Daly, Mawar Berduri dan DJ Ceza.
Ketika ditemui pada pelancaran album terbaru mereka di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Daly menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku terhadap kumpulan mereka.
“Benar Tukang Kata sudah tidak bersama dengan Ahli Fiqir. Namun begitu dia masih mempunyai kontrak bersama dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia.
“Untuk itu kami tidak boleh menunggu dia kembali kepada kami sebaliknya kami harus meneruskan kerjaya kami memandangkan album Irama Berimah sudah siap sepenuhnya
“Walaupun kontrak Tukang Kata dengan Ahli Fiqir masih ada, kami tidak boleh menunggunya kerana ia akan menjejaskan segala perancangan yang telah diaturkan oleh pihak syarikat rakaman” kata Daly.
Buat masa ini mereka mahu Tukang Kata menyelesaikan dulu masalah yang dihadapinya sebelum memutuskan sama ada dia akan bersama Ahli Fiqir atau tidak.
Walaupun hanya bertiga, mereka sedikitpun tidak terasa janggal memandangkan selama ini sudah banyak persembahan yang disertai tidak melibatkan semua ahli.
Bercerita mengenai album baru, Daly menyatakan sebanyak lima buah lagu dimuatkan termasuklah Fiqir Fiqir, Biarkan, Derita Merindu, Jangan Pergi Mawar dan Fantasi.
Kumpulan yang berasal dari Singapura ini juga telah merancang pelbagai program untuk merancakkan lagi penjualan album di samping mahu memperdengarkan lagu-lagu mereka kepada peminat di luar sana.
“Kalau nak harap kepada penjualan album, memang susah. Mana ada artis yang dapat menjual album sehingga ratusan ribu unit lagi pada masa kini. Masing-masing lebih fokus kepada jualan melalui muat turun sahaja.
“Oleh kerana itu trend terkini, rasanya lebih baik kami tumpukan kepada promosi agar terus mendapat sambutan peminat.
“Tapi kami cukup berterima kasih kepada semua stesen radio yang tidak pernah jemu-jemu memutarkan lagu Ahli Fiqir setiap hari,” katanya yang pernah merangkul anugerah Artis Terbaru Terbaik Singapura dan Album Terbaik Singapura di Anugerah Planet Muzik 2005.
Lagu Fiqir Fiqir sebenarnya dipetik daripada lagu Dikir Fikir yang pernah dipopularkan oleh Art Fadzil satu ketika dahulu. Percaturan yang mereka buat nampaknya menjadi apabila lagu tersebut disukai semakin hari semakin popular.
Selaku jurucakap kepada rakan-rakan yang lain, Daly menyatakan adalah tidak adil jika mereka meletakkan sebarang sasaran memandangkan industri seni tempatan yang semakin meruncing.
“Apa yang saya harapkan agar peminat dapat menerima muzik yang kami perjuangkan dengan seadanya,” katanya lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: