Saturday, August 8, 2009

Talentime bolot anugerah?




MALAM ini bertempat di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah segala debaran siapakah yang bakal membawa pulang trofi-trofi penting pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM 22) bakal berakhir.

Pada Rabu lalu telah diumumkan 10 kategori dan yang paling hangat diperkatakan sudah tentu kemenangan penyanyi Jacyln Victor bagi kategori Pelakon Wanita Harapan menerusi lakonan sulungnya dalam filem Talentime.


QUE HAIDAR


Namun, siapakah pula antara ramai pembikin dan karyawan filem yang dicalonkan bakal mengungguli 15 anugerah pada malam ini?

Apakah akan muncul kejutan-kejutan luar biasa' atau selera juri sama dengan kita sebagai penonton filem?

Menjawab kepada persoalan tersebut, Kosmo! cuba mencungkil ramalan atau tekaan yang dibuat oleh beberapa karyawan seni tentang siapakah yang bakal membolot anugerah.

Lensa karyawan seni ini kami dekati bagi melihat apakah pilihan mereka bertepatan dengan keputusan yang bakal diumumkan pada malam nanti.

Tidak dinafikan, melihat kepada senarai pencalonan akhir semua yang tercalon merupakan orang 'hebat' dalam industri perfileman tempatan. Antara filem yang tercalon dalam banyak kategori utama ialah filem Talentime dengan 11 pencalonan diekori filem Papadom dan filem Setem dengan sembilan pencalonan.


MOHD. RADZI


Bagi pelakon Que Haidar yang tercalon dalam dua kategori iaitu Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem Maut dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Papadom arahan sutradara Afdlin Shauki meramalkan tiga filem bakal menang besar malam ini.

"Dalam fikiran saya hanya ada tiga filem iaitu Setem, Papadom dan Talentime. Saya memilih tiga filem itu kerana semuanya mempunyai kualiti dan boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.

"Ketiga-tiga filem itu juga filem yang sangat menarik untuk ditonton. Bukanlah filem lain tidak bagus tetapi saya hanya meneka sahaja, keputusan muktamad diserahkan kepada juri," ulasnya yang ditemui bersama isteri dan anaknya pada Majlis Makan Malam Negeri dan Anugerah Bintang Legenda di Sabah, baru-baru ini.


AZIZ M.OSMAN


Ramalan yang dibuat oleh pengarah filem dan drama terkenal Aziz M.Osman menjurus kepada filem arahan arwah Yasmin Ahmad iaitu Talentime. Ini berdasarkan kualiti dan konsep satu Malaysia yang dimiliki dalam filem itu.

"Filem Papadom saya belum tengok lagi, jadi berdasarkan pemerhatian saya memilih Talentime sebagai Filem Terbaik. Filem arwah Yasmin Ahmad lain daripada yang lain kerana sebagai seorang pengarah karyanya lebih jujur sedangkan filem lain lebih teknikal.

"Maksud saya untuk sesebuah filem menang dalam anugerah besar, nilai estetika yang dimiliki filem tersebut lebih penting daripada teknikal. Sebab itu kepada saya, Talentime layak menang kerana nilai estetikanya begitu tinggi," ujarnya Aziz cukup yakin dengan pilihan hatinya.

Pelakon Radhi Khalid yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada FFM 18 pula memilih tiga filem iaitu Papadom, Talentime dan Maut.

Meskipun belum berkesempatan menonton filem Papadom, namun berdasarkan komen positif yang diterima daripada rakan-rakannya dia tetap memilih filem itu untuk berada dalam senarai akhirnya.

"Ketiga-tiga filem dipilih berdasarkan senarai pelakon dan jalan ceritanya yang baik. Namun, bagi saya cabaran besar datangnya daripada filem Talentime kerana filem arwah Yasmin ada dua tiga subplot yang berlaku.

"Mungkin Talentime yang akan bawa pulang paling banyak anugerah tetapi bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik saya memilih Afdlin Shauki dan Liyana Jasmay kerana watak mereka sebagai ayah dan anak dalam filem Papadom," katanya.

Tambahnya lagi, selain arwah Yasmin bakal membawa pulang anugerah kategori Pengarah Terbaik, dia juga meramalkan pelakon Shaheizy Sam akan memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik berdasarkan lakonan cemerlangnya dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam manakala Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula layak diberi kepada Vanidah Imran menerusi filem Setem.

Buat penonton yang ingin menyaksikan sendiri debaran FFM 22 jangan lupa saksikanya secara langsung menerusi TV2 pukul 8.30 malam ini melalui saluran Astro Ria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: