Saturday, August 8, 2009

Dari lantai tari ke layar perak




CHANNING Tatum pada asalnya tidak mahu terlibat dalam filem G.I. Joe: The Rise of Cobra kerana berpendapat ia akan menjadi sebuah karya perang yang dibesar-besarkan. Namun, selepas Channing membaca skripnya, dia mula memahami bahawa cerita itu lebih menjurus kepada genre aksi sains fiksyen thriller berbanding peperangan.

Ternyata penyertaan itu satu keputusan bijak. Filem dengan bajet AS$170 juta (RM593 juta) itu telah membantu melonjakkan nama Channing ke satu tahap lebih mahal. Turut dibintangi Dennis Quaid, Joseph Gordon-Levitt, Marlon Wayans, Sienna Miller dan Rachel Nichols, filem arahan Stephen Sommers itu diadaptasi daripada francais permainan, G.I. Joe: A Real American Hero.

Berlatarbelakang 10 tahun akan datang, satu pasukan askar khas yang dikenali sebagai G.I. Joe daripada Organisasi Cobra bersumpah untuk menumpaskan semua badan jenayah. Beroperasi dari pusat pejabat yang dikenali sebagai The Pit, kemasukan Duke (Channing) dan Ripcord (Marlon) ke dalam pasukan G.I Joe mengukuhkan lagi Organisasi Cobra.

Menelusuri kerjaya lakonan Channing, pemuda kelahiran Cullman, Alabama, itu mempunyai latar belakang sukan seperti bola sepak, ragbi dan seni mempertahankan diri. Dia mula menyertai dunia hiburan semasa dipilih sebagai penari dalam klip video Ricky Martin, She Bangs.

Sejak itu, dia mula aktif bekerja sebagai model sebelum berlakon dalam filem Coach Carter bersama Samuel L. Jackson. Sebagai pelakon yang masih kurang dikenali, filem Step Up (2006) telah berjaya mengkomersialkan namanya.

Malah, di situ jugalah tempat Channing bertemu dengan isterinya, Jenna Dewan. Pasangan itu berkahwin pada 11 Julai lalu di Malibu, California. Ikuti petikan temu bual ini bagi mendalami watak dan kehidupan terbaru Channing yang juga telah memulakan satu syarikat produksi bersama kawannya, 33 and Out.

Apakah perasaan memainkan watak Duke? Ceritakan sedikit mengenai watak anda dalam filem G.I. Joe: The Rise of Cobra itu?

Duke merupakan watak daripada buku komik. Duke seorang lelaki biasa dan cuba untuk berdikari di samping menjaga kawannya, Marlon (Ripcord). Saya dan Marlon merupakan kawan baik. Jadi ia tidak sukar bagi kami berdua untuk berlakon sama.

Dalam menjayakan filem itu, anda pastinya telah diperkenalkan dengan dunia G.I Joe. Bagaimanakah dunia G.I Joe itu?

Ia tidak masuk akal. Saya tidak pernah membayangkan benda seperti itu sebelum ini. Perasaannya seperti berlakon tiga buah filem sekali gus. Saya tidak dapat melihat di mana kedudukan sebenar saya kerana kebanyakan masanya saya hanya berlakon berlatarbelakangkan skrin biru. Saya hanya muncul di lokasi setiap hari tanpa menyedari betapa besarnya impaknya sehingga melihat hasilnya.


SEBAGAI Duke yang kental dengan semangat wira sejati.


Anda suka berlakon dalam filem penuh aksi?

Rasanya pelakon wanita mendapat lebih banyak peluang untuk melakukan aksi berbanding saya. Itu yang membuatkan saya berasa sedih. Mereka dapat bergaduh tetapi saya hanya dipukul sepanjang filem.

Muka anda mempunyai sedikit parut. Bagaimana anda mendapatnya?

Ia adalah parut khas untuk Duke. Dia selalu mempunyai parut dalam kartun dan saya tidak pasti berapa ramai orang yang tahu tentang versi animasinya. Jadi kami masih mengekalkan parut itu dalam versi filem. Saya cuba menyelamatkan adik Sienna, Rex semasa dia berada dalam sebuah bangunan untuk menjalankan misi. Satu letupan telah berlaku dan dari situ saya mendapat parut.


G.I.Joe: The Rise of Cobra adalah sebuah filem aksi sains fiksyen, bukan filem perang.


Jadi filem itu adalah cerita awal G.I. Joe?

Ya, sebelum Duke menjadi Duke yang kita semua tahu. Ia adalah permulaan di mana dia memulakan tugas dalam pasukan tentera.

Babak paling menarik dalam filem itu?

Babak permulaan peperangan apabila semua orang memperkenalkan diri dengan watak masing-masing dan mengimbas kembali sejarah kami. Tapi yang paling menarik adalah semasa babak aksi bermula. Saya berlari ke atas bukit dan semua benda sedang meletup. Ia amat menarik. Jika ia berlaku dalam kehidupan realiti, saya mungkin sudah mati berkecai.


CHANNING akhirnya beralih ke dunia lakonan.



TERIMA tawaran menjadi Duke selepas membaca skrip filem itu.


Adakah aksi-aksi yang dipaparkan adalah seperti yang anda sangkakan?




Ya, tapi kebanyakannya dilakukan menerusi skrin biru. Ramai antara kami yang tidak sedar akan kehebatan kesan khas yang digunakan sehingga kami menontonnya. Kami berada di lokasi dan studio di Downey, California. Semua benda berlaku seperti magis dan diharap penonton akan suka efeknya.

Adakah anda berasa gentar untuk memainkan watak utama dalam produksi besar seperti G.I. Joe?

Filem genre itu bukan sahaja menggentarkan tetapi saya tidak pasti apa yang saya lakukan. Saya sebenarnya tidak mempunyai aspirasi untuk melakukan filem bajet besar seperti itu dalam karier saya setakat ini. Saya belum bersedia sepenuhnya. Rasanya saya seperti 'dipaksa' tetapi ia telah berjaya membuka minda saya bahawa itu cuma lakonan. Ia satu stail lakonan yang berlainan penuh dengan letupan serta aksi.

Anda juga terlibat dalam filem Dear John bersama Amanda Seyfried yang bakal ditayangkan tahun depan. Ceritakan sedikit mengenai filem itu?

Ia sebuah filem romantik yang diadaptasi daripada novel tulisan Nicholas Sparks. Ceritanya akan membuatkan anda menangis. Penuh sentimental tetapi kontemporari. Saya memainkan watak sebagai askar yang pulang ke rumah semasa bercuti dan jatuh cinta dengan seorang wanita. Ayah wanita itu amat pelik dan tanpa diketahui ramai ayahnya itu menghidap sejenis penyakit yang menjadikan dia tidak suka bersosial.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: