ANTARA ANTARA kumpulan indie yang terbabit dalam projek khas Call Me Tone. |
SETIAP kali ada artis dari luar negara membuat persembahan atau konsert di negara ini, pasti akan kedengaran laungan perasaan tidak puas hati di kalangan mereka yang begitu menjaga kebajikan artis tempatan. Bukan saja mereka, malah ada juga artis tempatan yang memprotes tindakan sesetengah pihak yang begitu kerap menaja konsert sebegini. Dan antara pihak yang terkena tempiasnya adalah syarikat telekomunikasi.
Bukan menuduh sebarangan tetapi kalau diperhatikan situasi yang berlaku ketika ini, syarikat telekomunikasi boleh dikatakan antara dalang yang banyak membawa artis dari luar negara untuk mengadakan persembahan. Sebelum ini pun memang banyak rungutan yang kedengaran kononnya syarikat telekomunikasi begitu memilih untuk menaja konsert.
Ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, begitulah yang boleh digambarkan betapa siksanya artis tempatan yang terpaksa ‘mengemis’ di negara sendiri semata-mata untuk mengharapkan pihak ini menaja konsert mereka.
Bagaimanapun, dakwaan ini disangkal sekeras-kerasnya syarikat telekomunikasi Celcom (M) Berhad yang memang diketahui antara syarikat telekomunikasi yang cukup aktif menaja konsert artis tak kira dari dalam atau luar negara.
Naib Presiden Kanan Pemasaran Celcom (M) Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin ketika ditemui berkata, walaupun mereka dilihat kerap menaja persembahan artis luar negara, namun pada hakikatnya, mereka masih membuka pintu menaja artis tempatan.
“Baru-baru ini kami ada menaja artis tempatan yang diakui mempunyai nama besar di negara ini iaitu Search dan sebelum ini pun kami tidak pernah melupakan artis tempatan. Cuma sebelum kami menaja seseorang artis kami akan pastikan mereka mempunyai ramai peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni mereka serta mempunyai rangkaian lagu popular. Selain menaja konsert mereka, lazimnya kita juga menyediakan lagu popular artis berkenaan untuk dimuat turun peminat artis itu,” jelas Zalman ketika ditemui pada sidang media Channel X menampilkan kumpulan indie tempatan di MTV World Stage Live In Malaysia, baru-baru ini di ruang legar Menara Celcom, Kuala Lumpur.
Zalman Aefendy |
Ditanya apakah mereka hanya menaja artis berkumpulan dan bukan artis solo, Zalman berkata mereka tidak pernah membezakan kedua-duanya kerana menurutnya siapa yang popular serta lagunya diminati ramai, mereka berpeluang untuk bekerjasama dengan pihaknya.
“Kami tidak pernah melupakan artis solo. Buktinya, pada 15 Ogos depan, kami akan adakan acara SOX yang akan diadakan di Stadium Badminton Cheras. Untuk acara yang akan membabitkan pertandingan pasukan sorak, itu kami akan menampilkan penyanyi Liyana Jasmay untuk membuat persembahan di situ. Dan sebelum ini pun kita ada bekerjasama dengan artis solo lain seperti Sasi The Don untuk beberapa projek khas kami.
“Malah, kami juga sedang merancang untuk bekerjasama dengan lebih ramai artis tempatan untuk projek kami yang akan datang. Kami akan mengumumkannya kemudian,” jelas Zalman.
Jelas, apa yang dikatakan mereka dikotakan. Buktinya, untuk konsert besar-besaran, MTV Stage World Live in Malaysia, Celcom menerusi Channel X, turut menganjurkan kempen Call Me Tones yang memberi peluang kepada tiga kumpulan indie bertuah untuk membuat persembahan di konsert berkenaan.
Mengulas lanjut perkara itu, Zalman berkata kempen yang diadakan mulai 10 Julai lalu dan berakhir semalam memerlukan peminat memuat turun lagu popular 13 kumpulan indie dan tiga kumpulan yang lagunya dimuat turun paling banyak akan berpeluang mengadakan persembahan di konsert itu.
Tiga belas kumpulan indie yang tersenarai dalam pencalonan itu ialah Silvergun Superman, O-Two, Pesawat, Rock Star, Yakamashii, Sugar Love Cookies, Bite Me Butterfly, Diary, The Closed, Abstrak Hingga Ke Bulan, Roti Band, Statik dan Angelica.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: