Tuesday, August 4, 2009

Tak pinggir Anak Wayang


GELARAN juara Anak Wayang pertama menjadi milik Hairi (kanan) yang menewaskan Hafiz.

Astro terus asah bakat peserta walaupun malam final Jumaat lalu menobatkan Mohd Hairi Safwan sebagai juara

PLATFORM sudah dibentangkan, laluan juga sudah tersedia tetapi persoalannya mampukah bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Anak Wayang merentasi cabaran untuk menyerlah di mata pencinta hiburan?

Matlamat Astro barangkali sudah tercapai iaitu mencungkil bakat baru untuk diketengahkan dalam dunia lakonan. Bagaimanapun, sejauh mana kehadiran dua nama yang membawa cabaran pada kemuncak Pentas Anak Wayang Akhir, Jumaat lalu memberi impak kepada peminat?

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh ketika mengulas mengenainya berkata, sebagai penganjur mereka berpuas hati kerana Anak Wayang berjaya mencipta segmen penonton baru.

Malah, matlamat asal mereka untuk mencungkil bakat baru tercapai apabila finalis yang terpilih berjaya membuktikan kemampuan mereka dalam masa singkat.

“Tidak ramai bakat baru yang mampu beraksi spontan, namun mereka berdua tekun menjalankan segala tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan.



“Kedua-dua finalis ini mempunyai personaliti berbeza, bahkan mereka mewakili segmen tertentu dalam masyarakat. Justeru, kami berpuas hati kerana mereka berjaya menarik segmen penonton tertentu untuk menyaksikan Anak Wayang,” katanya.

Kemuncak Anak Wayang yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Jumaat lalu menyaksikan Mohd Hairi Safwan Aznan atau Hairi, 21, dijulang sebagai juara mengenepikan saingannya, Hafiz Halim, 21 di tempat kedua.

Kemenangan itu melayakkan pemuda kelahiran Alor Setar, Kedah membawa pulang kereta Honda Jazz bernilai RM109,800 serta kontrak membintangi produksi drama bersiri 60 episod terbitan Astro.

Penuntut jurusan teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu turut menerima dua tiket penerbangan ke Los Angeles, Amerika Syarikat, wang tunai RM10,000, kamera, rawatan kecantikan selama setahun dan trofi.

JURI dari kiri; Erra, Nasha dan Rashid menilai persembahan peserta.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani ketika ditanya mengenai perancangan untuk finalis Anak Wayang berkata, sebagai permulaan bakat Hairi akan diuji menerusi drama bersiri 60 episod, Senja Permai yang dijadualkan tayangannya November depan.

Perancangan itu, bagaimanapun katanya, tidak hanya tertakluk kepada juara sebaliknya bakat kesemua finalis akan dibangunkan bersama menerusi pelbagai siri megadrama tayangan saluran itu.

“Setiap finalis mempunyai peluang untuk mengembangkan bakat mereka. Begitu juga Hafiz sebagai naib juara kerana kami sudah menyediakan beberapa perancangan yang bersesuaian dengan karektor dirinya,” katanya.

Mengulas mengenai penerimaan peminat, Nizam berkata, menerusi kajian yang mereka lakukan format program itu diterima baik penonton.

Begitu juga dengan drama bersiri, Kecuali Cintamu yang turut berakhir serentak dengan Anak Wayang yang menerima sambutan memberangsangkan daripada khalayak.

“Kajian kami mendapati penonton tidak mengambil masa yang lama untuk memahami format program ini. Kami juga mendapat maklum balas positif penonton yang menyukai apa yang diberikan.

“Namun penilaian itu bersifat subjektif. Namun kami di Astro melihat program ini mencapai matlamatnya apabila setiap bakat yang ditonjolkan menerima sokongan daripada penonton,” katanya.

Final yang kurang bermaya

DEWAN gemilang yang tersergam indah nampaknya tidak mampu membangkitkan seri kepada acara kemuncak Anak Wayang, sebaliknya perjalanan pentas akhir itu berlangsung suram dan lesu.

Sorakan hangat penyokong finalis juga gagal memacu kudrat untuk terus terpaku di tempat duduk, membuatkan sebahagian tetamu resah dan gelisah menanti detik kemuncak acara yang berjalan perlahan.

Pada acara akhir, finalis diamanahkan tiga tugasan untuk disempurnakan menerusi segmen Spontan iaitu bermonolog serta menjayakan Riuh Di Pagi Era bersama Aznil Nawawi dan Din Beramboi.

Bakat lakonan finalis turut diuji menerusi Layar Hijau dan Rakaman VT namun malangnya, elemen itu kurang memberikan impak untuk membangkitkan debaran menjelang kemuncak Pentas Anak Wayang Akhir.

Perjalanan program yang meleret cuma berakhir jam 1 pagi membuatkan fokus tontonan sebahagian besar penonton hilang lantaran siaran langsung bermula lewat iaitu pada jam 10 malam.

Seharusnya juga format akhir disesuaikan untuk menyerlahkan kekaguman khalayak terhadap bakat sebenar finalis. Sayang kerana semua itu tidak menyinar pada malam kemuncak Anak Wayang.

Bukan menidakkan kemampuan Hairi dan Hafiz, mahu pun 23 finalis lain cuma apa yang diberikan mereka tidak sehebat gelaran yang direbutkan iaitu Anak Wayang.

Namun rezeki ternyata menyebelahi Hairi apabila mendapat undian tertinggi 58 peratus untuk menjulang trofi juara, mengenepikan Hafiz yang meraih 42 peratus.

Mengulas kemenangannya, Hairi berkata, dia tidak terlalu menaruh keyakinan memandangkan Hafiz juga mempunyai kekuatannya sendiri.

“Hafiz pantas berfikir untuk mengadaptasi dengan suasana. Kelebihannya itu membuatkan saya agak takut. Justeru, sebagai persediaan ke final saya banyak melakukan kajian serta mempraktikkan segala ilmu yang diterima sepanjang menuntut di Aswara.

“Saya cuba meluahkan segala yang terbuku di hati untuk memberi kepuasan kepada penonton menerusi perbincangan serta tunjuk ajar tenaga pengajar,” katanya.

Akui Hairi, penyertaannya dalam Anak Wayang bukan semata-mata mahu mengejar gelaran sebaliknya cuba mengembangkan bakat yang ada dalam dirinya.

Jujur kata Hairi, gelaran yang dibawanya itu terlalu berat apatah lagi selama ini banyak pandangan skeptikal dilemparkan terhadap program itu.

“Justeru sudah menjadi tugas kami untuk memperbetulkan salah tanggapan itu menerusi gelaran yang dibawa ini,” katanya.

Hafiz pula mengakui, dia berpuas hati dengan pencapaiannya malah menyifatkan Hairi layak membawa gelaran itu berdasarkan pengalaman serta kemampuannya.

“Dia seorang pelakon yang hebat dan profesional. Segala ilmu yang kami terima dikongsi bersama. Saya sering meminta tunjuk ajar serta pandangannya. Saya tidak kecewa biarpun hanya meraih tempat kedua kerana Hairi jauh lebih layak untuk membawa gelaran itu,’ katanya.

Sebagai naib juara, Hafiz menerima set televisyen LCD 42 inci, wang tunai RM5,000, kamera dan trofi.

Kemuncak Pentas Anak Wayang Akhir menampilkan pengarah, Rashid Sibir serta pelakon, Nasha Aziz dan Erra Fazira sebagai pengkritik serta diserikan dengan persembahan selingan daripada Ella, Ning Baizura, Stacy, Farhan dan Muslee Ramlee.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: