Tuesday, August 4, 2009

Karnival Sehari Bersama Ikim.FM 8 Ogos



KUMPULAN Raihan akan memeriahkan karnival.

PELBAGAI aktiviti disusun bagi memeriahkan sambutan ulang tahun ke-8 stesen radio Ikim.FM. Sambutan itu akan dimeriahkan dengan karnival Sehari Bersama Ikim.FM yang bakal berlangsung di Dewan Besar dan perkarangan ibu pejabat Ikim.FM di Jalan Langgak Tunku off Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini bermula jam 9 pagi.

Pengarah Radio Ikim.FM, Ir Ahmad Jais Alias berkata, karnival yang bakal diadakan ini sebagai tanda penghargaan kepada pendengar selepas berjaya meletakkan stesen itu kekal di tangga ke-8 daripada 22 stesen radio berbahasa Melayu tempatan.

“Ikim.FM juga berjaya meningkatkan bilangan pendengar sebanyak 20,000 berbanding penurunan bilangan pendengar yang dicatat stesen radio lain.

“Karnival ini bakal dimeriahkan dengan persembahan daripada artis nasyid tanah air seperti Rabbani, Hijjaz, UNIC, In-Team, Hahez Hamidun, Raihan, Nazrey Johani dan ramai lagi.

“Selain itu, acara lain untuk seisi keluarga dan kanak-kanak seperti pertandingan mewarna, persembahan badut, Si Kecil Bercerita, sukaneka, demo pemakaian tudung muslimah, silat Cak Lempong, marhaban dan uji bakat penyampai radio,” katanya.

Stesen radio Ikim.FM yang yang dirasmikan pada 6 Julai 2001 oleh mantan Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad beroperasi 24 jam sehari melalui 12 pemancar ke seluruh negara.

Melalui cogankata, Pilihan Utama Anda, stesen ini berusaha menyebarkan kefahaman Islam dan mendidik pendengar menerusi fahaman 3M iaitu Menyampaikan Maklumat, Mendidik dan Menghibur.

Pada masa yang sama, Ikim.FM yang menyiarkan rancangannya dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Arab dan Inggeris menunjukkan tiga kelompok pendengar terdiri daripada golongan remaja dan penuntut berusia 10 hingga 19 tahun, suri rumah dan golongan profesional, pengurus serta eksekutif.

“Ikim.FM akan meneruskan rangkaian pengisiannya tetapnya sepanjang sambutan ulang tahun ke-8 yang akan dipersembahkan dengan lebih segar, sesuai dengan cara tersendiri dan akan terus berusaha menjadi stesen radio terbaik,” katanya Ahmad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: