Sarimah Ibrahim |
Sarimah Ibrahim terus tabah hadapi kehidupan, harap bekas suami temui jodoh
DI sebalik sisi selamba dan gila-gila pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim, 31, sebenarnya terselit duka yang terpendam yang meninggalkan 1001 tanda tanya. Sedang dia berdepan dengan keretakan rumah tangga yang berakhir Disember tahun lalu, wanita berdarah Melayu-Irish itu masih mampu tersenyum di depan kamera seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Mahligai perkahwinan yang dibina sejak 13 Mei 2006 itu berakhir tanpa isyarat tertentu apatah lagi pengacara Diari Akademi Fantasia itu bijak melindungi getar yang mula mengusik hati kewanitaannya. Sudah tertulis bahawa tiada lagi jodohnya dengan bekas suami, Amir Andrew Abdullah, 38. Lalu, semuanya harus diterima dengan penuh keredaan.
Ketika ini, Sarimah yang juga pernah popular sebagai penyanyi sedang membiasakan diri untuk hidup bersendiri sekali gus memegang status janda. Bertemunya ketika Hip diundang ke sesi rakaman program Mega Raya Astro baru-baru ini, riak Wajah Eksklusif Astro itu berselang-seli dengan tawa senyuman. Namun, dia sendiri tertanya-tanya dari mana sumber kekuatan itu mula dikumpul.
“Mungkin juga ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Mahu atau tidak saya harus kembali hidup solo dan tabah. Sudah terlalu banyak air mata yang tertumpah mengenang kisah ini. Tapi sekarang saya sudah mula okey untuk terus berjuang berdepan dengan realiti. Saya tahu ada yang terkejut dengan berita perpisahan kami tapi inilah suratan yang harus ditelan.
“Namun, saya harus bersyukur di saat berdepan dengan kemelut itu, rezeki dan tawaran kerja datang tak putus-putus. Hampir setiap hari saya memenuhi rutin harian dengan bekerja. Saya juga masih berkawan dengan bekas suami dan tidak pernah wujud istilah bermusuh atau dendam dalam hubungan kami.
| PERCERAIAN bukan alasan untuk Sarimah dan bekas suaminya, Amer bermusuh. |
“Tapi bohonglah jika saya cakap tak janggal untuk menyesuaikan diri dan menjauhkan diri membezakan jarak hubungan kami kini bukan sebagai suami isteri. Jujurnya saya mengharapkan dia bertemu jodoh nanti. Saya juga berterima kasih kerana orang yang mengenali saya cukup menyokong situasi saya kini. Apa terjadi adalah lumrah,” katanya yang turut berlakon sebagai cameo dalam filem CE1 arahan Aziz M Osman.
Barangkali kelebihannya mendalami bidang psikologi sedikit sebanyak menjadi resipi untuknya terus tegar melayari kehidupan mendatang.
Menurut Sarimah yang sudah 13 tahun membabitkan diri dalam dunia seni, Diari Akademi Fantasia 7 (AF7) menjadi alasan untuknya melupakan masalah peribadi.
“Bayangkan saya bercerai hujung tahun lalu. Tapi sejak Februari lalu, saya sudah mula membuat persediaan untuk mengacarakan Diari AF7. Berdiri saja di depan kamera saya perlu terus fokus kepada kerja. Masa kerja bukan untuk memikirkan soal diri sendiri sebaliknya ia tanggungjawab yang harus dilunaskan sebaik mungkin.
“Perasaan sedih itu secara automatik menjadi perkara positif yang dihalakan ke penonton. Penonton seolah menjadi benteng untuk segala tenaga dan perasaan duka itu diserap. Dengan kudrat dua tangan yang ada inilah saya teruskan bekerja dan memastikan penonton terus terhibur,” katanya yang selesa bersendirian dulu buat masa sekarang dan mencintai dirinya terlebih dulu sebelum mencintai orang lain.
Kontraknya sebagai Wajah Eksklusif Astro hanya memberi tumpuan kepada bidang pengacaraan, lalu ia sebenarnya tidak menghalang sisi bakat lain yang ada padanya untuk dikembangkan. Berterima kasih kepada stesen TV berbayar itu yang memberikan dorongan dan sokongan sejak tahun lalu, dia juga kini sudah mula berjinak-jinak dalam bidang belakang tabir.
“Untuk program ‘make over’ Tangkap Muat yang dijangka bersiaran pada Oktober ini, saya turut menjadi pembantu penerbit selain mengacara. Pengalaman selama 13 tahun menerjah persada seni menjadi peluang untuk saya menimba cabang baru. Pembabitan saya di belakang tabir lebih kepada perihal kreatif dan konsep.
“Tapi kerja belakang tabir ini belum sampai ke tahap menekan butang yang lebih praktikal. Saya rasa juga ini masanya untuk mengorak langkah pertama dalam bidang produksi. Malah selepas sekian lama tidak kembali ke layar perak, saya turut diundang berlakon filem robotik CE1 arahan Aziz M Osman.
“Saya sedar ada pengarah dan produksi yang takut untuk melamar saya berlakon kerana terikat dengan Astro. Tapi hakikatnya saya bebas berlakon dengan mana-mana produksi pun. Alhamdulillah peluang berlakon itu semakin ada kebelakangan ini selepas empat tahun menunggu,” katanya yang kali terakhir bekerja dengan Aziz menerusi filem Puteri Impian 2.
Dalam perkembangan lain, Sarimah juga sudah selesai menjalani penggambaran drama mini empat episod arahan Erma Fatima. Drama untuk musim raya itu turut dilakonkan Diana Danielle, Mamat Khalid dan Vanidah Imran. Selain rakaman Mega Raya Astro, Sarimah turut terbabit dengan rakaman Macam Macam Aznil Raya, konsert reunion AF7 dan drama raya AF7. Bulan depan juga dia akan mula menjalani penggambaran program Tangkap Muat sebanyak 13 episod.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: