Wednesday, August 26, 2009

Tak mahu kontroversi


PEMENTASAN teater Natrah bukan sekadar menceritakan kisah cinta duka lara Natrah dan bekas suaminya Mansor Adabi yang pernah mencetuskan rusuhan Natrah di Singapura pada era 1950-an, sebaliknya mesejnya lebih besar dari itu.

Malah, kata pengarahnya, Erma Fatima, pementasan Natrah diharapkan dapat mengangkat martabat bangsa Melayu dan agama Islam di kalangan masyarakat hari ini.

"Pementasan ini bukan sekadar cerita mengenai konflik Natrah sebaliknya ia adalah soal agama yang sangat besar.

"Natrah bukan saja kisah gadis yang kecewa kerana dipisahkan dari ibu angkatnya, isteri kehilangan suami atau ibu kehilangan anak angkatnya, tetapi kisah orang Islam kehilangan Natrah yang kembali kepada agama asalnya," katanya.

Secara peribadi, kata Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad, dia memang tertarik dengan naskhah Natrah terutama jalan ceritanya.

"Saya memang tidak tahu secara mendalam konflik cerita Natrah itu. Tapi teater ini buat saya ingin tahu kisahnya dengan lebih mendalam lagi.

"Ketika saya ditawarkan buat naskhah ini, mendiang Natrah atau nama sebenarnya, Maria Huberdina Hertogh (Bertha Hertogh) masih hidup lagi. Saya juga sangat mengharapkan beliau akan meninggal dunia dalam agama Islam, tetapi akhirnya saya dapat tahu dia meninggal dunia dalam agama Kristian pada usia 72 tahun di Huijbergen, Belanda tanggal 9 Julai lalu kerana menghidap leukimia," katanya.

Erma yang pernah mengarahkan filem Jimi Asmara dan Embun berkata, dia sudah pun membuktikan kemampuannya sebagai pelakon, pengarah dan penerbit sepanjang berkecimpung dalam bidang seni.

"Ada dua cita-cita dalam hidup yang saya ingin penuhi sebelum meninggal dunia iaitu menjadi ibu yang baik kepada anak-anak dan kedua menghasilkan karya yang mengangkat martabat bangsa, agama Islam dan Rasullullah s.a.w.

"Justeru, teater Natrah adalah tugasan besar buat saya untuk menyampaikan mesej yang patut disampaikan pada masyarakat dalam naskhah ini. Adakah kita hanya berdiam diri saja sedangkan kita kehilangan ramai 'Natrah' lain tanpa kita sedari?


"Dari segi set dan kostum pula, saya memang tidak ada masalah kerana teater ini membabitkan kerjasama dengan pereka set terbaik dari Istana Budaya (IB)," kata Erma ditemui ketika sidang akhbar teater Natrah di IB, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Juhari Shaarani dan Penasihat Teater Natrah, Datin Fatini Yaacob.

Apapun, Erma menyedari tanggungjawab yang sangat berat menantinya untuk merealisasikan teater Natrah itu.


"Natrah bukan sekadar kisah sejarah, tapi tanggungjawab saya sebagai orang Islam.

"Sebenarnya, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang meminta IB mementaskan Natrah dan ia bukan sekadar untuk memenuhi panggung semata-mata. Saya percaya beliau mempunyai alasan kukuh memilih Natrah untuk dipentaskan pada penonton.

"Selaku pengarah, saya harus berhati-hati untuk mementaskan naskhah ini kerana risikonya juga besar kerana kisah Natrah juga kontroversi. Saya harap bukan saya yang mencetuskan kontroversi itu nanti.

"Apa yang saya harapkan, teater Natrah akan menaikkan semangat bangsa Melayu dan orang Islam di negara ini," katanya.

Erma juga mengakui dia berada dalam dilema untuk memaparkan sama ada Natrah sudah kembali ke agama asalnya atau tidak sebagai fokus utama dalam pementasan itu nanti.

"Saya ingin tampilkan mesej yang tersirat di sebalik kisah Natrah itu untuk paparan masyarakat.

"Pada masa sama, saya juga tidak mahu naskhah ini dipentaskan sama seperti filem Jasmin yang dibintangi Noraini Jane dan Datin Rosnani Jamil dulu.

"Bagi mencari kelainan itu, saya bekerjasama dengan penyelaras skrip Natrah, Datin Fatini Yaacob untuk berbincang mengenai sudut mana yang nak diketengahkan dalam pementasan ini nanti," katanya.

Mengulas perkembangan teater itu setakat ini, kata Erma, skripnya masih dalam proses lagi.

"Sebenarnya, nama Natrah sendiri memang sudahpun komersial. Semua orang sudah tahu kisah Natrah.Saya belum jumpa skrip yang kuat untuk naskhah Natrah ini lagi. "Saya inginkan isi kandungan teater Natrah ini akan meninggalkan kesan mendalam pada jiwa orang yang menontonnya nanti.

"Dari segi barisan pelakon pula, antara nama yang disebut-sebut menjayakan pementasan ini ialah Diana Danielle (Natrah), Remy Ishak (Mansor Adabi) dan Umie Aida untuk watak ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamad.

Tapi semuanya masih belum diputuskan lagi," katanya.

Teater Natrah akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 17 hingga 25 November nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: