Wednesday, August 26, 2009

Sunyi cengkam jiwa


MENCEBURI dunia seni sebagai penyanyi namun Dayang Nur Camelia Abang Khalid, 35, lebih terserlah sebagai model iklan komersial dan ikon fesyen.
Saban tahun dia menghadiri minggu fesyen di Paris.

Untuk tahun ini, seminggu selepas sambutan Aidilfitri, Camelia dan pengurusnya, Maggie akan sekali lagi ke kota romantis itu selama sebulan untuk menyaksikan sentuhan terbaru pereka fesyen seluruh dunia.

Seperti tenggelam dalam arus perdana dunia hiburan tanah air, Camelia tidak terkilan kerana dia menganggap dunia fesyen juga satu cabang seni.

"Saya baru balik dari Paris selepas menjayakan program Citrawarna dan akan ke sana lagi seminggu selepas Aidilfitri. "Teringin untuk berjalan sehebat model antarabangsa di pentas peragaan di sana namun memiliki ukuran badan orang Asia peluang itu sukar dikecapi.

"Bagaimanapun saya masih bernasib baik kerana diberi peluang memperagakan fesyen ciptaan pereka terkenal negara itu untuk sesi fotografi majalah.

"Sepanjang menghadiri minggu fesyen itu saya akan menyarungkan baju rekaan pereka tempatan, Datuk Tom Abang Saufi, Datuk Bernard Chandran dan Melinda Looi.

"Saya berbangga dapat mempamerkan rekaan tempatan kepada masyarakat dan mereka sukakan motif yang terlukis pada baju digayakan.

"Fesyen rekaan tempatan tidak kurang hebatnya dengan di luar negara dan saya cukup berbangga menggayakannya.

"Inilah waktu sesuai untuk menunjukkan kehebatan orang Malaysia yang mempunyai idea kreatif dan rekaan yang sesuai digayakan di mana saja termasuk pada peringkat antarabangsa," katanya.

Gemar berfesyen, Camelia bercadang mengeluarkan produk aksesori jenamanya sendiri.

"Ramai bertanya bila saya akan hadir dengan produk sendiri dan saya pun tidak sabar melihatkawan-kawan memperagakan aksesori jenama saya. Insya-Allah ia akan keluar tak lama lagi," katanya.Camelia yang mempunyai susuk seorang model dengan kejelitaan semula jadi juga sering menjadi tumpuan lensa jurugambar profesional di Paris.


Suka mengembara melihat negara orang, Camelia tidak jemu meneroka kota cinta itu.

"Sudah banyak kali menjejakkan kaki ke sana, tetapi saya tidak pernah jemu. Pada setiap perjalanan saya akan bertemu perkara baru.

"Banyak berjalan luas pengalaman. Apabila ada peluang berjalan, sukar untuk saya menolaknya. Di Paris saya bekerja sambil bercuti melihat keindahan negara orang," katanya.

Janda muda yang masih bersendirian itu mengakui ada kala kesunyian mencengkam jiwa, tetapi dia menyerahkan segala-galanya kepada jodoh.

"Tidak terlalu memilih siapa pun bakal calon suami, tetapi biarlah yang beriman, dapat membimbing dan memahami.

"Sama ada VIP atau orang biasa, janji dia orang yang baik. "Pun begitu, bukan orang yang berkedudukan yang saya cari. Apa yang penting serasi. Saya berkawan dengan semua orang tidak pernah pandang status.

"Berkawan dengan siapa pun saya akan bersikap terbuka, tetapi belum ada persahabatan yang boleh pergi jauh sehingga ke jenjang pelamin.

"Agaknya belum ada rezeki untuk bersanding sekali lagi. Sebagai wanita saya teruja untuk mempunyai keluarga sendiri dan suami yang baik. Oleh saya harap Allah pertemukan saya dengan jodoh yang baik-baik," katanya.

Camelia mempunyai cara tersendiri untuk menilai sejauh mana seseorang itu jujur berkawan dengannya.

"Sambil berbual dengannya saya boleh nilai dia orang macam mana. Saya suka mereka yang biasa-biasa saja, tidak perlulah terlalu berusaha menonjolkan dirinya.

"Saya boleh tahu apa tujuannya mendekati saya menerusi cara dia membawa diri. Naluri hati dapat menelah segala-galanya mengenai si dia," katanya.

Biarpun adakala perlukan teman, namun Camelia tidak mahu mengambil anak angkat.

"Diri sendiri belum dapat dijaga dengan baik inikan pula hendak membela anak orang. Tanggungjawab menjaga anak orang lebih berat daripada menjaga anak sendiri. Tak apalah, saya tunggu sehingga jodoh saya sampai untuk mempunyai anak sendiri," katanya.

Banyak mendapat tip menjaga penampilan dan kecantikan daripada ibunya, Lily Johari, 68, Camelia dilantik duta Innershine, minuman kesihatan daripada pati prun, selama dua tahun.

"Emak sangat menjaga penampilan dan kesihatan serta suka bergaya. Beliau yang memperkenalkan Innershine kepada saya pada Ramadan tahun lepas.

"Emak dan adik minum pati prun itu setiap hari kerana ia bagus untuk penjagaan dalaman. Jadi saya pun ambil Innershine dan perubahan seri wajah disedari kawan-kawan.

"Sehari ambil sekali sebelum tidur untuk melawas. Ia juga membekalkan vitamin kepada tubuh kita dan memberi tenaga.

"Selain pengambilan Innershine, emak juga mengamalkan banyak petua lama menjaga badan dan kecantikan.

"Saya pun mengambil berat mengenai kesihatan dan penampilan, tetapi belum mampu ikut cara emak. Alhamdulillah emak masih sihat dan tidak dihinggapi sebarang penyakit," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: