Wednesday, August 26, 2009

Bintang eksklusif Astro sinari Aidilfitri


SEMPENA sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, stesen televisyen satelit, Astro menyiarkan program hiburan istimewa yang menampilkan bintang eksklusifnya.

Di samping beberapa rancangan menarik dan bermaklumat disiarkan sepanjang musim perayaan berkenaan, Astro turut memaparkan pelbagai program hiburan tersendiri.

Tidak terkecuali program hiburan istimewa sempena Syawal, Mega Raya Astro yang disiarkan menerusi Astro Ria (saluran 104) pada jam 11 malam, 19 September ini.

Buat julung kali beberapa wajah eksklusif Astro seperti Farid Kamil, Aaron Aziz, Zoey dan Lisa Surihani menyanyi menerusi program itu.

Turut memeriahkan acara itu Anita Sarawak, Erra Fazira, Sarimah Ibrahim dan Akhil Hayy.

Menariknya selebriti berkenaan turut menyampaikan beberapa lagu popular dan klasik hari raya seperti Selamat Hari Raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Selamat Hari Raya, Seloka Hari Raya dan Balik Kampung.

Penerbit Eksekutif, Norazian Mohd Zahir berkata buat julung kalinya pihaknya cuba tampil dengan konsep berbeza selain memberi ruang kepada wajah selebriti Astro menonjolkan bakat mereka menerusi program sempena sambutan Aidilfitri.

"Program ini berjaya mengumpulkan hampir semua bintang eksklusif Astro. Begitupun masih ada beberapa selebriti seperti AC Mizal dan Aznil Nawawi yang tidak dapat turut serta kerana sudah mempunyai program raya masing-masing. Ini juga adalah sebahagian daripada meraikan peminat dan penonton.

"Secara tidak langsung semua wajah eksklusif Astro yang terbabit menerusi saluran Astro Citra, Oasis, Ria, Prima dan Ceria dikumpulkan bersama. Seperti kita ketahui mereka juga tidak berpeluang bertemu sesama sendiri disebabkan terikat dengan jadual aktiviti seni masing-masing.

"Selain menampilkan persembahan nyanyian program ini turut membabitkan beberapa segmen seperti ucapan hari raya, temu bual dan selain mengupas mengenai tarikan beberapa jenis kuih-muih yang popular pada perayaan.

Istimewanya program ini apabila penonton turut menyertai pelbagai aktiviti yang dilakukan artis di atas pentas seperti menari dan membaca kad ucapan hari raya," kata Norazian ketika ditemui pada rakaman program berkenaan di Studio 9, Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya, baru-baru ini.Lebih membangkitkan suasana apabila lagu yang disampaikan oleh artis turut mempunyai nostalgia tersendiri.


Tambah Norazian, pihaknya turut mendapat maklum balas yang positif daripada pelakon seperti Farid Kamil, Lisa Surihani dan Aaron Aziz serta pengacara, Zoey yang mempamerkan bakat menyanyi.

"Konsep program ini sekadar hiburan saja. Kami tidak berniat untuk menilai bakat selebriti berikut dalam nyanyian. Peminat dan penonton sendiri mahu melihat kelainan apabila pelakon dan pengacara pujaan mereka menyanyi.

"Pada mulanya kami agak risau apabila memaklumkan kepada artis berkenaan terutama pelakon untuk tampil menyanyikan lagu.

"Begitupun, maklum balas yang diberikan cukup baik, malah mereka sendiri bersetuju tampil menyanyi dalam program itu walaupun diiringi lagu latar," katanya.

Lagu yang menjadi pilihan selebriti wajah eksklusif Astro ialah Selamat Hari Raya yang pernah dipopularkan oleh Ahmad Jais nyanyian Farid Kamil, Dari Jauh Ku Pohon Maaf oleh Zoey, Balik Kampong menyaksikan gandingan Zoey dan Aaron Aziz, Suasana Hari Raya disampaikan oleh Farid dan Lisa Surihani, serta Seloka Hari Raya gandingan Lisa, Farid, Aaron, Zoey dan Sarimah Ibrahim.

Turut menghiburkan menerusi nyanyian mengimbau nostalgia ialah Anita Sarawak yang menyampaikan lagu Asmara dan Selamat Hari Raya, Joget Aidilfitri dan Gema Lebaran pula oleh Erra Fazira, Satu Pagi Di Hari Raya dan Doaku nyanyian Akhil Hayy serta lagu Selamat Hari Raya yang dipopularkan Fazidah Joned yang disampaikan oleh semua artis jemputan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: