Tuesday, August 11, 2009

SinarFm semakin menyerlah


PENYAMPAI SinarFm yang berjaya mengembalikan kegemilangan lagu retro dan rock awal tahun 70-an serta 80-an.

30,000 panaskan Konsert R&R Sinar di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang

TIADA yang baru, pastinya tiada yang lama namun nostalgia lagu retro dan rock di awal tahun 70-an dan 80-an masih segar dalam ingatan pencinta muzik tanah air namun Konsert R&R Sinar di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini menjadi bukti segalanya.

Kehadiran lebih 30,000 pendengar stesen radio SinarFm yang sanggup berkumpul seawal jam 5 petang bagi tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert istimewa sebagai menghargai pendengar setia stesen radio popular No.2 negara.

Pujian dan jutaan terima kasih harus diberikan kepada warga Pulau Pinang termasuk yang datang dari Kedah, Perak dan Perlis biarpun terpaksa meredah hujan kerana kepuasan dan kegembiraan yang terpancar bagaikan sebuah hadiah.

Dek kerana ingin menyaksikan penyampai radio Sinar Fm seperti Khairil Rashid, Salih Yaakob, Shida, Najman, Zaidi, Nila Kurnia, Abby Fana, Jamal Jamaludin dan Linda Onn dari dekat, pendengar setia tetap tidak berganjak walaupun hujan semakin lebat.

Bukan itu saja, kehadiran barisan lagenda muzik tempatan rock dan retro yang dulunya cukup sinonim dan menjadi siulan anak-anak muda yang barangkali ketika itu ada yang masih lagi kanak-kanak, bersekolah dan ada yang sedang bercinta membuatkan memori indah kembali semula.

AKSI memukau Yantzen dan Rusty Blade mengundang sorakan dan tepukan gemuruh penonton.

Kemunculan May, Othman Hamzah, Ruhil Amani Hussien, Hattan, Rusty Blade, Ramlah Ram, Datuk khadijah Ibrahim, Ramli Sarip dan Wings berjaya menghangatkan konsert dengan persembahan mantap masing-masing.

Nostalgia lagu seperti Gadis Bertudung Putih, Musliha, Kawan, Memburu Rindu, Tiada Lagi Aku, Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Doa Buat Kekasih, Camelia dan Hikayat Penuh Ranjau berkumandang di tapak R & R itu.

Bagi Yantzen selaku vokalis utama Rusty Blade, kemunculan semula kumpulan itu membuktikan bahawa mereka masih diminati termasuk lagu dari album yang dirakamkan di awal tahun 1986 dan 1987.

Beliau berkata, untuk konsert ini anggota asal Rusty Blade seperti Khalid Mubin (gitaris), Md Noor Hendrik (gitaris), Man Karan (bassist) dan Zul (drum) menggantikan Zan yang tidak sihat namun tetap hadir memberi sokongan.

RUHIL sempat mengajak peminat menyanyi bersama.

Katanya, kesemua anggota yang lain masih lagi menetap di Singapura dan hanya dirinya sahaja berada di Kuala Lumpur malah perancangan untuk kembali dengan album terbaru memang ada namun masih banyak perbincangan perlu dilakukan.

“Apa yang pasti, kehadiran saya dan rakan yang lain cukup diterima dan sebagai penghargaan lagu Langsuir Liar, Pertama dan Terakhir, Tiada Lagi Aku, Taming Sari dan Ikrar Perwira dihadiah buat peminat setia irama Heavy Metal dari Rusty Blade,” katanya.

Bagi penyanyi remaja yang dulu popular dengan lagu Kawan dan Anak Dunia, Ruhil Amani Hussin tampil dengan imej yang lebih matang apabila kini sudah bergelar isteri kepada pemuzik terkenal Jamil Wilson Abdullah dan ibu kepada seorang anak perempuan berusia lima tahun.

Ruhil berkata, ketiadaannya di dalam bidang seni bukan bermakna kerjaya seni yang diminati ketika mula menyanyi ketika usia 13 tahun terkubur begitu saja tetapi sibuk menguruskan perniagaan keluarga dan keluarga.

Beliau berkata, jika dulu ketika meniti usia remaja sehingga kahwin kerja tanpa henti adalah keutamaan namun selepas melahirkan anak sulung tumpuan 100 peratus lebih diberikan kepada keluarga namun cinta terhadap muzik rock masih utuh di dalam hati.

Katanya, kali terakhir membuat persembahan di Istana Budaya pada 2004 dan selepas itu banyak show di majlis makan malam namun konsert terbesar seumpama ini tidak ada lagi dan kemunculan semua di konsert ini cukup menyeronokkan.

“Lihat saja sambutan yang diberikan dengan ribuan peminat yang hadir dan pastinya bukan untuk saya seorang tetapi barisan artis lain yang dulunya menjadi idola ketika masih kecil dan bertemu serta berkongsi satu pentas dan inilah yang paling menarik.

“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang album terbaru akan muncul selepas Syawal nanti dengan menampilkan 12 lagu baru ciptaan komposer terkenal seperti M Nasir dan pendatang baru Nom dan turut tampil dengan ciptaan lirik lagu bersama suami untuk album terbaru nanti,’ katanya.

Sementara itu, penyanyi evergreen, Othman Hamzah yang popular dengan lagu Gadis Melayu turut melahirkan rasa gembira apabila berpeluang turut serta dalam konsert R&R ini sekali gus mengembalikan nostalgia lagu Musliha dan Gadis Melayu sendiri.

Katanya, peluang yang diberikan Suria FM pastinya tidak perlu dilepaskan begitu saja kerana ini adalah hadiah untuk bertemu dengan peminat dan apabila berada di atas pentas peminat masih lagi meminati lagunya.

“Bayangkan lagu Musliha yang dicipta pada tahun 1979 diikuti Gadis Melayu pada 1982 masih lagi diterima dan diingati sampai sekarang termasuk peminat menyanyikan bersama-sama saya. Sukar hendak digambarkan perasaan ini.

“Jika dulu dalam usia muda ramai peminat yang masih belum mengenali diri saya tetapi berbeza dengan kini apabila sudah meniti usia 48 tahun peminat terus mengenali dan ada yang meminati sejak muncul dalam arena seni suara sejak 32 tahun lalu ke hari ini.

“Insya-Allah album baru akan muncul tidak lama lagi namun pastinya evolusinya amat berbeza sekali berbanding album dulu,’ katanya.

Sementara itu, Pengurus Rancangan Sinar, Rostam Said berkata, Konsert R&R diadakan sebagai penghargaan kepada pendengar sehingga berjaya menjadikan Sinar FM sebagai stesen nombor dua negara dengan 3.82 juta pendengar.

Beliau berkata, pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi sulung adalah disebabkan jumlah pendengar tertinggi berbanding negeri lain dan untuk konsert R&R ini hanya dua lokasi saja iaitu Seberang Jaya dan Dataran Majlis Pembandaran Petaling Jaya (MPPJ) pada 15 Ogos ini.

Katanya, lokasi di utara amat bertepatan kerana turut memberi peluang kepada pendengar di Kedah, Perak dan Perlis untuk datang dan melihat kepada sambutan yang diberikan ini pastinya akan lebih lokasi akan dipilih pada tahun hadapan.

“Konsert ini dianjurkan Sinar FM dan ditaja syarikat kipas elektrik KDK yang menyambut ulang tahun ke-1000 dan sebagai penghargaan konsert selama tiga jam itu bermula dari jam 9 malam dan berakhir jam 12.30 tengah malam.

“Objektif konsert adalah sebagai penghargaan dan penampilan artis retro dan rock adalah bertepatan dengan konsep Sinar FM. Alhamdulillah ia berjaya dengan sambutan yang cukup mantap,’ katanya.

Rostam berkata, jika dulu ada konsert Retro Sinar diadakan pada tahun 2007 di Panggung Aniversary, Kuala Lumpur mendapat sambutan kira-kira 15,000 tetapi di sini bilangannya dua kali ganda dan cukup menggembirakan kami,” katanya.

Beliau berkata, konsert kali ini istimewa kerana penyampai radio Sinar FM turut membuat persembahan pembuka tirai dengan lagu Hidup Bersama secara live band Sinar FM yang digelar Panca Sinaran.

Katanya, lebih menarik setiap penyampai radio seperti Linda Onn (drum), Khairil (gitar utama), Jamal (gitar kedua), termasuk dirinya sendiri sebagai pemain bass dan penyanyi utama penyampai radio sendiri seperti Abby Fana dan Salih Yaakob.

“Apa yang menggembirakan konsert di Seberang Jaya cukup mantap dan berjaya dan harapan agar konsert di Stadium MPPJ akan lebih mendapat sambutan dan jutaan terima kasih atas sokongan anda dan terus menyokong stesen Muzik Retro Terbaik,’ katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: