RAHIM menceritakan pengalamannya bertemu dengan Allahyarham Tun Razak kepada Rahah dan Rashidi. |
Tenaga produksi Muzikal Tun Abdul Razak kunjungi isteri Bapa Pembangunan di kediamannya, baru-baru ini
WALAUPUN pertemuan dengan Tun Rahah Mohd Noah, isteri bekas Perdana Menteri ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak bersama pengarah, penulis skrip dan pelakon Muzikal Tun Abdul Razak di kediamannya berlangsung cuma seketika, namun ia tetap menjadi pertemuan cukup bermakna buat mereka yang menjayakan muzikal yang bakal dipentaskan bermula 16 Ogos ini.
Rombongan itu diketuai Reaktor Akademi Seni, Budaya dan Seni Kebangsaan (Aswara), Datuk Omar Awang; turut hadir Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar & Penyelidikan, Habsah Noordin; Datuk Rahim Razali, Kamarulzaman Taib (penulis skrip) serta Rashidi Ishak yang memegang watak sebagai Tun Abdul Razak.
Dalam pertemuan singkat itu, beberapa kisah peribadi Allahyarham Tun Razak berjaya dibongkar seperti panggilan antara bekas pemimpin itu dengan isterinya, penyakit serius yang dihidapi Tun Razak serta makanan terakhir yang diidamkan dua hari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada 14 Januari 1976 iaitu kira-kira 33 tahun lalu.
Kisah Allahyarham turut dikongsi Pengawal Peribadinya, Datuk Idris Shaari Mat Aris yang sudah berkhidmat untuk keluarga bekas perdana menteri itu sejak 45 tahun lalu.
Tun Rahah, 76, berkata, beliau terharu dengan inisiatif Aswara mementaskan sebuah muzikal mengenai perjuangan arwah suaminya kerana ini adalah julung kalinya kisah mengenai arwah suaminya dipentaskan.
ORANG kuat muzikal Tun Razak, dari kiri; Kamarulzaman, Rashidi dan Rahim sempat mengabdikan kenangan bersama Rahah. |
Beliau memuji usaha Aswara yang disifatkan amat baik khususnya untuk generasi baru yang tidak berkesempatan berada di bawah pimpinan Tun Razak.
“Syukur kerana ada pihak yang sudi mementaskan sebuah teater mengenai Tun. Saya melihat idea ini sebagai satu usaha yang baik terutama buat generasi muda yang belum lahir ketika pemerintahan Tun.
“Jika tiada aral melintang, saya akan meluangkan masa menonton persembahan itu nanti. Saya tidak sabar nak menonton cuma berharap tidak sedih ketika menontonnya. Saya juga faham ceritanya nanti tidak semestinya 100 peratus sama kerana ia sebuah pementasan, asalkan ia tidak menjejaskan imej serta nama baik Tun dan keluarga kami. Saya juga tiada masalah dengan pemilihan Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff untuk membawakan watak kami.
“Fauziah ada datang bertemu saya baru-baru ini. Dalam pertemuan hampir satu jam itu dia banyak bertanya mengenai diri saya dan belajar beberapa perkara seperti cara saya menyikat rambut untuk dilakonkan di pentas nanti,” katanya.
Rombak skrip ikut maklumat baru
BERIKUTAN beberapa maklumat baru diperoleh daripada pertemuan itu, Kamarulzaman Taib atau Cik Kem yang bertanggungjawab menulis skrip pementasan itu berkata beberapa perubahan kecil akan dilakukan kepada skrip cerita itu. Perubahan besar tidak akan dilakukan kerana jalan ceritanya dibuat berdasarkan kajian menerusi buku, teman rapat serta sumber terdekat.
Kata Cik Kem, pertemuan bersama Tun Rahah diatur bagi meminta restu secara peribadi kepada isteri bekas perdana menteri itu, walaupun pementasan itu sudah mendapat keizinan dari anak sulung pasangan itu iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak. Pertemuan itu disifatkan Cik Kem sebagai cukup eksklusif dan amat bermakna.
“Kita memang sudah bersedia jika skrip memerlukan perubahan. Dari pertemuan ini kita akan ubah sedikit skrip tetapi ia membabitkan perubahan yang kecil saja seperti kolokial Tun Razak dan Tun Rahah, teka-teki penyakit Allahyarham serta makanan diidamkan sebelum meninggal dunia akan kita selitkan dalam skrip yang bakal dirombak nanti.
“Sementara yang lain-lain tidak terjejas kerana kita buat berdasarkan kajian yang dilakukan secara terperinci. Pertemuan hari ini bagi saya amat bermakna dan cukup menyentuh hati. Sebenarnya sudah lama kami mahu bertemu Tun Rahah tetapi kami ingin memastikan kajian dan skrip siap terlebih dulu barulah bersedia untuk bertemu,” katanya.
Datuk Rahim Razali pula berkata, jika diikutkan pertemuan selama satu jam itu tidak mencukupi. Sekalipun cukup singkat, namun pertemuan itu amat bermakna sekali buat mereka kerana dapat bertemu secara peribadi dan bertanya sendiri kepada Tun Rahah beberapa kemusykilan yang selama ini bersarang di benaknya.
“Pertemuan selama satu jam ini kalau diikutkan memang tak mencukupi, tetapi kita bukannya nak menghasilkan buku biografi. Kalau hendak menghasilkan buku mungkin memerlukan pertemuan yang panjang tetapi kita faham Tun Rahah pun bukannya ada masa sangat. Malah, pertemuan ini pun sudah tertangguh beberapa kali disebabkan kesibukan beliau.
“Bagaimanapun dari pertemuan singkat itu ada juga benda yang kami peroleh. Dari apa yang kami tidak tahu sebelum ini, kami sudah pun tahu. Contohnya seperti saya bertanya tadi apa panggilan Tun Razak kepada Tun Rahah. Soalan itu memang sudah lama bersarang dalam fikiran saya dan akhirnya hari ini saya menemui jawapannya,” kata Rahim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: