Juara Sehati Berdansa, Rashidi Ishak (Shidi) dan Vanida Imran (Vee) merupakan antara pasangan selebriti yang sehingga kini berjaya mempertahankan rumah tangga mereka. Ternyata status selebriti yang dipegang mereka tidak mempengaruhi kehidupan mereka sepanjang menyusuri alam perkahwinan.
Malah dalam tempoh sembilan tahun usia perkahwinan, jarang sekali kedengaran gosip-gosip mahupun khabar angin yang tidak enak tentang rumah tangga mereka.
Tidak lokek berkongsi rahsia kebahagiaan rumah tangganya, Shidi memberitahu, persefahaman adalah yang paling penting dalam sesebuah hubungan. Memandangkan mereka sama-sama berkecimpung dalam dunia seni, maka tidak sukar untuk mereka memupuk persefahaman, selain cuba bertolak ansur antara satu sama lain.
Kata Shidi, sekiranya Vee sibuk dengan lakonan, dia pula akan mengosongkan jadual seninya untuk menguruskan dua anak mereka, Mikail dan Maryam, yang masih memerlukan perhatian.
“Saya suka jaga anak. Kalau boleh saya memang nak ‘involve’ dalam membesarkan mereka. Saya tidak mahu menjadi ‘ayah’ hanya dengan gelaran sahaja, tetapi saya mahu bersama-sama membesarkan mereka. Saya tak kisah kalau orang panggil saya ‘Mrs Mama’ sebab saya memang suka jaga anak.
“Biasanya saya dan Vee akan duduk berbincang dulu tentang mana-mana ‘job’ yang akan kami terima. Kalau Vee terikat dengan ‘job’, sayalah yang akan jaga anak dan begitulah sebaliknya. Kami akan bergilir-gilir jaga anak,” kata Shidi.
Peranan sebagai ketua keluarga, merangkap suami dan juga bapa kini bukanlah satu bebanan untuknya meneruskan kehidupan sehari-hari.
Malah akui Shidi, tempoh sembilan tahun perkahwinannya dengan Vanida itu cukup memberikan pengalaman yang berharga dan membuatkan mereka lebih menghargai antara satu sama lain.
“Kita kahwin selama mana pun, belum tentu kita akan kenal pasangan kita. Jadi ada baiknya, kita cubalah memahami mereka. Kalau kita tak suka sekalipun, kita kena suka dan letakkan situasi kita di tempat mereka. Kalau bergaduh tu perkara biasa, cuma jangan diperbesar-besarkannya, nanti semakin melarat pula.
“Adatlah mana-mana wanita memang suka membebel, samalah dengan Vee, tapi saya tak layan sangat. Apa yang dia kata, saya iyakan saja. Itulah petuanya kalau nak rumah tangga kita aman,” cerita Shidi dengan berseloroh.
Dapat tunjuk ajar Vee
Beralih tentang perkembangan seninya, Shidi yang pernah terlibat dengan pementasan teater Sang Puteri di Istana Budaya pada 10 tahun lalu dan kini kembali semula di pentas yang berprestij itu sebagai Tun Abdul Razak menerusi teater Muzikal Tun Abdul Razak yang bakal berlangsung pada 16 Ogos hingga 20 Ogos ini.
Akui Shidi, ia bukan satu tanggungjawab yang mudah, kata Shidi, dia yang pada mulanya ‘gerun’ untuk menerima watak itu, akhirnya memiliki keberanian untuk menjayakan pementasan itu.
“Terus-terang saya kurang minat berlakon teater ni, sebab saya sedar, tak cukup ilmu. Berlakon drama pun suram-suram, apatah lagi teater yang memerlukan komitmen yang tinggi. Sebelum ni saya dah banyak dapat tawaran berlakon teater, tapi saya tolak kerana tak cukup bersedia.
“Tapi dengan teater ni, entah macam mana saya boleh dapat keberanian. Bila saya dengar teater ni arahan Datuk Rahim Razali, terus saya bersetuju. Walaupun watak ni berat, ( Tun Abdul Razak), saya akan cubalah berusaha untuk berikan yang terbaik,” kata Shidi yang ditemui ketika pelancaran Teater Muzikal Tun Abdul Razak, di Istana Budaya.
Bertanyakan tentang persiapannya untuk menjiwai watak tokoh negara itu, Shidi memberitahu, dia banyak membuat kajian dan membaca buku-buku sejarah. Selain itu, dia turut memperbanyakkan latihan dan juga meminta nasihat dari tenaga pengajar teater. Tidak terkecuali, dari isteri tercinta, Vee yang cukup berpengalaman dalam bidang teater.
“Selepas terima watak tu, tiba-tiba saya tak boleh tidur. Tapi, mujurlah ada Vee yang banyak beri tunjuk ajar. Sebelum ni lagi dia selalu beri ‘support’ untuk saya berlakon teater dan saya pun pernah tengok dia buat latihan.
“Untuk menghayati watak Tun, saya banyak menonton visual-visual beliau, malah saya juga banyak membuat latihan membaca teks ucapannya. Hampir 3 atau 4 teks ucapan sebenar harus saya baca masa pementasan itu nanti. Bila baca teks-teks itu, semakinlah timbul ‘gerun’.
“Banyak benda yang saya kena saya lakukan. Selain berlakon, saya juga kena banyak menyanyi. Walaupun suara tak merdu, bukan tahap penyanyi profesional, tapi ‘pitching’ masih boleh dikawal,” kata Shidi yang memberikan 200 peratus komitmen untuk persembahan teater itu.
Dalam pada itu, Shidi turut meluahkan rasa gembira kerana menerusi teater itu dia dapat menimba banyak ilmu terutamanya tentang sejarah kemerdekaan negara. Menerusi teater itu juga dia akan bergandingan dengan penyanyi dan pelakon, Fauziah Latif (Jee) yang membawa watak sebagai Tun Rahah.
Gandingan kali pertamanya dengan aktres jelita itu ternyata membuahkan keserasian. Selain mudah bekerjasama, Shidi berkata, Jee juga tidak lokek berkongsi pengalaman dalam bidang nyanyian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: