“Dua tiga bulan lepas baru dia beritahu kami yang dia nak kahwin. Pada mulanya saya tak percaya, tapi bila dia dah cakap dengan emaknya, maknanya seriuslah tu. Memang saya terkejut juga bila dia kata nak kahwin dengan Shireen. Bukannya apa, sebab Shireen tu saudara dia juga, yang mana sepupu kepada isteri Edry, Milia. Sebelum ini kami tak pernah nampak mereka ni ada apa-apa sebab mereka pun bekerja satu syarikat. Kalau nampak mereka keluar bersama pun, atas urusan kerja.”
Demikian cerita Abdul Halim Kamal mengenai perkahwinan anaknya, Norman Abdul Halim atau lebih dikenali dengan Norman KRU, 37, dengan pasangannya, Shireen Mardziah Hashim, 44, yang berlangsung di Masjid Sayidina Umar Al-Khatab, Bukit Damansara Sabtu lalu.
“Dulu pun Shireen dan keluarganya pernah datang melawat saya ketika sakit di hospital dulu dan dalam dua tiga bulan lepas Shireen ada juga datang beberapa kali ke rumah, tapi ingatkan sebagai kawan kerjanya saja. Dalam diam-diam tak sangka pula mereka bercinta,” katanya yang turut mendoakan kebahagiaan Norman dan Shireen.
Ditanya tentang menantunya, Shireen yang lebih tujuh tahun berbeza usia dari anak sulungnya itu, Abdul Halim berkata, dia tidak kisah Shireen yang menjadi pilihan Norman.
Sebagai bapa, kata Abdul Halim, beliau menerima siapa sahaja pilihan Norman asalkan mereka suka antara satu sama lain dan bahagian hingga ke akhir hayat.
“Sikapnya yang matang dan tidak cerewet itulah membuatkan Norman suka dengannya. Tak seperti kawan-kawan perempuan yang dia kenal dulu, kalau tak call sehari pun dah merajuk. Berbeza dengan Shireen dia tak kisah kalau Norman tak call dia. Apa yang saya nampak, Shireen ni juga pandai ambil hati orang tua dan lemah lembut orangnya. Saya harap mereka akan bahagia dan sentiasa dimurahkan rezeki,” katanya sambil tersenyum gembira.
Menyentuh tentang majlis perkahwinan Norman dan Shireen yang berlangsung secara sederhana itu, Abdul Halim, memberitahu, urusan majlis itu ditentukan Norman sendiri.
Beliau yang gembira dengan keputusan anaknya itu juga tidak mengharapkan majlis besar-besaran, melainkan perkara wajib diselesaikan terlebih dahulu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: