![]() |
| Menurut Serina, selain memenuhi ciri lelaki idaman, kejujuran Salahuddin untuk memperisterikannya membuatkan dia terharu. |
RENTETAN perjalanan cinta Serina Redzuawan agak berliku. Cintanya pernah tidak direstui oleh bapanya, tukang masak popular, Chef Wan.
Namun kalau sudah namanya jodoh, segala perjalanan untuk membina sebuah mahligai bahagia dipermudahkan Yang Maha Kuasa.
Begitu juga dengan percintaan Serina dengan cinta hatinya, Gavin Edward O'Luanaigh atau nama Islamnya, Salahuddin Ghaffar.
Bukan tidak pernah bercinta lagi selepas kasih terputus di tengah jalan namun nampaknya lelaki bernama Salahuddin ini berjaya memikat hati Chef Wan.
Ternyata Chef Wan amat menyenangi jejaka yang berasal dari London dan berketurunan British-Irish ini yang menjadi belaian jiwa anak daranya yang berusia 26 tahun itu.
Malah Serina sendiri mengakui terkejut dengan penerimaan positif bapanya terhadap teman lelakinya yang juga Pengarah Urusan Football Focus Sdn. Bhd. yang menguruskan perniagaan antarabangsa mengenai bola sepak itu.
"Betullah kata orang, kalau itu jodoh kita semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah," kata Serina ketika dihubungi Jumaat lalu.
Menurut Serina, baru setahun bercinta, Salahuddin, 33 telah melamar dirinya beberapa bulan lalu.
"Saya terus bawa Salahuddin berjumpa papa sebaik dia melamar saya dan alhamdulillah, papa menerimanya dengan baik sekali.
"Saya pun terkejut," tambah pelakon yang popular menerusi drama kepolisan, Akademi Polis dan Roda-Roda KL.
Dilamar akhir Disember lalu, keduanya sepakat memilih tarikh 1 Januari 2010 ini untuk memeterai cinta mereka ke alam perkahwinan.
Serina dan Salahuddin dijadualkan bernikah di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur selepas waktu Asar.
Majlis resepsi bertemakan taman pula akan dilangsungkan keesokan harinya (2 Januari) di Hotel Royal Chulan dengan jemputan seramai 650 orang.
"Saya menurut sahaja permintaan papa yang menetapkan wang hantaran sebanyak RM30,000.
"Cuma jumlah dulang hantaran adalah atas kemahuan saya iaitu 11 berbalas 13 kerana bakal suami lahir pada 13 April dan saya sendiri menyukai angka satu," jelas Serina.
Bakal mengenakan persalinan pernikahan oleh Ridz, pakaian pengantin bagi majlis resepsi pula rekaan pereka popular, Radzuan Radziwill.
Sementara pelamin bagi upacara nikah dan malam berinai disediakan oleh Lynda Rahim manakala pelamin untuk majlis persandingan pula diilhamkan oleh Datin Seri Farida Hashim.
"Kami tidak mengadakan majlis di London kerana semua ahli keluarganya akan datang ke Malaysia untuk meraikannya," tambah Serina.
l Kejujuran
Menurut Serina, selain memenuhi ciri lelaki idaman, kejujuran Salahuddin untuk memperisterikannya membuatkan dia terharu.
Lamaran jejaka itu pada malam Krismas lalu membuatkan hatinya berbunga bahagia walaupun mereka baru sahaja menjalinkan hubungan selama setahun.
"Papa juga menyukai dan menyenangi Salahuddin kerana dia berpelajaran tinggi, baik budi pekerti, lembut bicaranya dan tidak hipokrit. Papa cakap muka dia nampak sejuk sebab dia suka tersenyum.
"Saya pula jatuh cinta dengan Salahuddin kerana dia mempunyai sifat pelindung, mengambil berat tentang saya, seorang pendengar yang setia dan romantik.
"Dia juga selalu memberi sokongan moral kepada diri saya dan paling penting, saya rasa bahagia setiap kali berada di sampingnya," jelas Serina.
Mengenali bakal suaminya itu ketika menghadiri majlis meraikan hari jadi temannya, jelas Serina, Salahuddin yang memulakan perbualan.
Biarpun nampak mesra dan ingin berbual namun kata Serina ketika itu dia 'layan tak layan' sahaja kerana kepenatan baru selesai penggambaran.
Serina memberitahu, buah hatinya itu sempat bertanyakan siapa dirinya dan Serina memberitahu dia seorang pelajar kerana tidak suka orang mengenalinya sebagai artis.
Sebelum pulang, kata Serina, Salahuddin sempat menghulurkan kad namanya dan hanya seminggu selepas itu barulah dia menghubungi lelaki itu dan mereka bertemu.
"Dia tanya lagi apa kerja saya ketika kali pertama berjumpa dan barulah saya berterus terang mengatakan siapa diri saya sebenarnya.
"Dia senyum sahaja. Rupa-rupanya dia dah tahu siapa saya kerana dia dah cari di Internet," cerita Serina sambil ketawa.
Menurut Serina, Salahuddin sudah lapan tahun bekerja di Malaysia dan telah memeluk Islam sejak dua tahun lalu iaitu sebelum dia mengenali dirinya lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: