Sunday, August 9, 2009

Ini bukan duit Datuk - Haliza Misbun


Adakah Haliza menyimpan apa-apa perasaannya terhadap Ari Wibowo?


Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami. Begitulah tajuk filem pertama terbitan Big Production, syarikat kedua milik Haliza Misbun yang sudah memulakan penggambaran pada 1 Ogos lalu.

Tajuk itu agak pelik tetapi ia adalah sebuah filem komedi romantik yang membabitkan pelakon Erra Fazira, Awie, Fahrin Ahmad, Mamat Khalid, Fizo Omar dan pelakon Indonesia, Ari Wibowo.

Filem arahan Din CJ ini mengenai kehidupan andartu, Nik Melati Sukma lakonan Haliza sendiri yang sering gagal dalam percintaan.

Suatu hari keluarganya memberi tempoh 21 hari untuk Nik Melati Sukma mencari suami jika tidak mahu dijodohkan sendiri oleh ibu dan bapanya.

Bimbang mendapat lelaki yang tidak secocok, wanita itu terpaksa bekerja keras mencari pasangannya sehingga menyebabkan dia bertemu dengan pelbagai ragam lelaki. Filem ini menelan belanja RM1.1 juta. Persoalannya dari manakah Haliza mendapatkan wang sebanyak itu? Pinjaman atau daripada poket sendiri?

Dalam masa yang sama apa motif penglibatan Ari Wibowo dalam filem ini? Adakah kerana Haliza masih menagih cinta yang tidak kesampaian sehingga memaksa dia mengambil pelakon itu di dalam projek sulung tersebut?

Wartawan NIEZAM ABDULLAH minta Haliza tolong jawab perkara itu.

Khabarnya belanja filem ini RM1.1 juta. Banyaknya. Dari mana dapat duit?

Saya tak nafikan sebahagian wang saya gunakan dari duit poket saya sendiri. Hasrat saya nak buat filem dah lama. Selepas 14 tahun jadi pelakon barulah saya cuba menghasilkan filem saya sendiri. Dalam tempoh itu saya bersusah payah cari duit. Kalau nak ikutkan apa kerja yang saya tak pernah buat? Sebelum Erra dan Ella ada produk kecantikan mereka, saya pun dah buat awal daripada dia orang. Saya juga pernah jual bengkong. Wang itu saya gunakan untuk bisnes baru saya ni.

Jadi tak benarlah ada VIP atau Datuk yang taja?

Sejak kereta BMW saya meletup (di Jalan Tun Razak) dua tahun lepas, saya dah tak pakai kereta mewah dah. Saya menjalani kehidupan macam orang biasa. Saya tak kisahlah orang nak kata saya ada hubungan dengan Datuk ke tak tapi saya tahu siapa diri saya. Itu yang cuba saya nak perbetulkan dalam masyarakat. Ini bukan duit Datuk mana-mana. Ingat tu.

Yalah tiba-tiba nak buat filem, belanja pula besar. Mestilah macam-macam tafsiran diberikan orang.

Saya tak nafikan mungkin ada artis yang jadikan bidang seni sebagai batu loncatan untuk memancing orang kaya. Tapi saya bukan macam tu. Bagi siapa yang rapat dengan saya mereka akan tahu siapa saya ni sebenarnya. Saya kerja keras sejak dari dulu lagi. Kalau saya ni memang gilakan Datuk, dah lama dah saya jadi bini nombor dua. Terus terang saya katakan yang saya adalah pelakon yang serba sederhana hidup dengan duit titik peluh sendiri. Buat filem ni bukan duit Datuk.

Kenapa cerita kisah anak dara tua yang hendak diangkat Haliza untuk projek pertama ni?

Selalunya bila bercakap soal andartu, ramai yang malu terutamanya bagi perempuan-perempuan yang tak kahwin. Saya rasa apa salahnya saya hasilkan sebuah filem untuk membolehkan wanita-wanita yang tidak berkahwin tidak takut soal peningkatan usia mereka. Pada saya apa salahnya kalau tak kahwin asalkan ia membahagiakan kita. Itulah tujuan filem ini dihasilkan.

Filem ini seolah-olah ada kena mengena dengan Haliza sendiri. Apa komen Haliza?

Saya tak menafikan perkara itu. Ramai yang kata filem anak dara tua ni seolah-olah ada kena mengena dengan saya. Memang sedikit sebanyak cerita ini ada persamaan tetapi ditokok tambah beberapa perkara. Tapi yang penting ia sebuah filem komedi romantik untuk tatapan semua.

Kenapa tiba-tiba Ari Wibowo diterbangkan dari Indonesia untuk filem ini? Adakah kita dah tak ada pelakon?

Dalam filem ini tak ada sesiapa yang jadi hero. Watak Ari lebih kurang dalam 10 adegan saja. Saya tak kata nak utamakan pelakon luar sebaliknya pelakon-pelakon lain semuanya dari Malaysia. Lagipun saya dah kenal Ari sejak saya buat VCD Rohaya Roy beberapa tahun dulu dengan dia. Saya suka bakat dia, sebab tu saya panggil dia untuk berlakon dalam produksi ni.

Ada yang kata Haliza masih menagih cinta terhadap Ari sejak dulu walaupun dia sudah ada dua orang anak. Apa komen?

Soal cinta tak habis-habis terhadap Ari Wibowo tu tak timbul langsung. Sepanjang kami berkawan, saya tak kisah apabila dia berumahtangga. Sebaliknya hubungan dan persahabatan kami bukan ada kaitan soal cinta atau tidak.

Apa kata pelakon-pelakon lain dengan kehadiran Ari?

Mereka tak kata apa-apa sebab dalam produksi ni saya ambil juga pelakon lain yang hangat di pasaran macam Fahrin dan Fizo Omar. Kalau Ari saja dalam filem ni, wajarlah ada yang nak kecil hati. Macam Erra Fazira pun bila kita maklumkan sinopsis cerita ni dia ketawa dan terus nak cuba berlakon dengan memegang watak Markonah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: