Sunday, August 9, 2009

Marion tangguh kahwin


Saya mencintai fesyen, suka berfesyen dan mahu melahirkan rumah fesyen sendiri. Sesuatu yang telah lama saya impikan,” ujar Marion.


MARION Rose Caunter. Seindah nama begitu jugalah perjalanan kehidupan dan kerjayanya. Ya, siapa yang tidak mahu popular dan berkasih sayang pula dengan orang terkenal.

Marion mempunyai kedua-duanya.

Dia dikenali sebagai pengacara - kerjaya yang amat diminatinya - disayangi keluarga dan dicintai pula oleh lelaki idaman.

Lalu apa lagi yang dimahukan? “Ya, saya rasa amat bertuah dan bersyukur,” kata Marion sambil tersenyum manis.

Sudah ada kerjaya yang kukuh dan memiliki sebuah perhubungan yang mengasyikkan, jadi bila lagi mahu berumah tangga, tanya saya.

Kalau ikutkan hati, kata si empunya diri, dia sudah bersedia untuk berkahwin dan memiliki cahaya mata. Sementelah usianya kini pun sudah menjangkau lewat 20-an. Secara tepatnya, 29 tahun pada 5 November ini.

Hati juga sudah dimiliki. Mungkin bagi kebanyakan peminat, ramai yang sudah tahu dengan siapa pengacara manis berdarah kacukan Inggeris-Portugis ini bercinta.

Dia sendiri hanya tertawa apabila ditanya mengenai pujaan hatinya yang juga seorang ahli perniagaan muda yang terkenal dalam bidang permotoran itu.

Biar belum bersedia mendedahkan buah hatinya kepada umum kerana menghormati kedudukannya dalam bidang korporat namun gadis bertubuh kurus dan tinggi lampai ini tetap terbuka bercerita tentang hati dan perasaannya.

“Dia seorang lelaki yang baik. Dia pun seorang yang sangat rendah diri dan sangat fokus kepada kerjayanya,” tegas Marion.

Sudah menjalinkan hubungan selama empat tahun, bagaimanapun tegas Marion, perihal rumah tangga masih belum menjadi agenda utamanya ketika ini.

“Masa masih belum mengizinkan. Kami juga tidak terburu-buru. Dia pun sibuk dan biarlah dia menyelesaikan dahulu segala urusannya,” tambah Marion.

Lagipun kata Marion, dia tidak mahu melangkah bendul. “Biar kakak saya kahwin dulu April nanti,” katanya yang menginginkan tiga cahaya mata.

Pun begitu, dia memberitahu tidak akan merahsiakan hari penting dalam sebuah kalendar kehidupannya andai sudah ada tarikh yang dipersetujui.

Malah kata Marion, majlis perkahwinannya juga akan dilangsungkan dalam keadaan meriah dan dia merancang mengadakan beberapa majlis untuk meraikannya termasuk untuk pihak media.

Ditanya apakah selepas berumah tangga nanti dia akan bersara, Marion tidak dapat memastikannya.

“Selalu kalau saya cakap nak bersara, akan ada banyak tawaran yang menarik yang mendatang. Mungkin saya akan lebih memilih untuk kerja yang ingin saya lakukan.

“Bidang pengacaraan memang sesuatu yang saya sudah biasa buat dan suka untuk terus berdiri di depan kamera atau di hadapan orang. Adrenalinnya sungguh luar biasa. Upahnya juga memberangsangkan.

“Tapi sesuatu yang pasti, saya mahu memulakan perniagaan dalam bidang fesyen. Saya mencintai fesyen, suka berfesyen dan mahu melahirkan rumah fesyen sendiri. Sesuatu yang telah lama saya impikan,” ujar Marion.

Selebriti popular

Hampir tujuh tahun melayari kehidupan sebagai selebriti popular, mungkin nama Marion paling diingati kerana mengendalikan program One In A Million (OIAM) sejak musim pertama hingga ketiga.

Malah Marion sendiri sesungguhnya amat berterima kasih dan tidak akan pernah melupakan jasa program 8TV Quickie yang memperkenalkan dirinya dalam industri.

Kerjaya itu juga membawa Marion merantau seketika ke Hong Kong apabila dia menerima tawaran mengacara di Channel V.

Awalnya di Kuala Lumpur dan hanya setiap bulan ke luar negara menghadiri acara namun kemudiannya pihak produksi memintanya berpindah ke ibu pejabatnya di Hong Kong.

Namun hanya empat bulan. Ya, empat bulan dan Marion meninggalkan kerjaya memberansangkan itu demi sebuah kasih sayang.

Tidak sanggup tinggalkan kekasihkah? Tanya saya dan Marion ketawa lagi. “Taklah. Saya tak sanggup berjauhan dengan keluarga. Saya amat rapat dengan mereka,” Marion menjelaskan.

Mungkin jika tidak kerana harus berpindah ke Hong Kong, Marion masih di Channel V yang turut memberinya banyak pengalaman bekerja dengan produksi antarabangsa.

Tetapi dia tidak menyesalinya kerana baginya rezeki di mana-mana. Dan sememangnya selepas selesai mengacara musim ketiga OIAM serta Shout! Award (yang turut menyaksikan dia menerima tiga nominasi dan mengungguli trofi Hot Chic), Marion mendapat tawaran mengacara sebuah program antarabangsa, Contender Asia.


Tawaran Afdlin Shauki untuk berlakon dalam sebuah filem arahan terbarunya sangat mengujakan dan tidak mampu ditolak.


Marah dan sakit hati

Akuinya, tawaran itu memang amat memberangsangkan. Menjalani uji bakat dan diterima, malang sekali sehingga hari ini ia masih tergantung.

Sejak Jun lepas, dia menerima tawaran menjadi hos program dan dikhabarkan akan mula menjalani penggambaran 1 Julai lepas sebelum jadualnya ditukar kepada 31 Julai.

Dia sendiri memendekkan percutiannya ke Los Angeles, Amerika Syarikat demi menjayakan program realiti itu.

Namun ketika majlis pelancaran program, walaupun nama Marion diumumkan sebagai pengacara, dia tidak pula dijemput untuk menghadirinya.

Bukan sahaja pelik dengan keadaan itu, Marion juga memberitahu sehingga hari ini dia masih menunggu untuk menjayakan program berkenaan.

Kecewa dengan keadaan itu, Marion memberitahu dia juga menerima banyak alasan daripada pihak produksi dan jadual penggambaran terus ditukar. Malah kontrak yang diterima juga tidak masuk akal.

“Saya marah kerana saya tidak suka menunggu. Kalau tidak mahukan saya, katakan sahaja. Jangan biar saya ternanti-nanti,” katanya lagi.

Impian terlaksana

Biarpun kecewa dengan program yang masih tidak pasti hala tujunya itu, hati Marion terubat dengan satu tawaran yang memang amat dinantikan selama ini.

Berlakon, satu cabang seni yang menjadi impiannya tetapi masih belum mempunyai kekuatan untuk merealisasikan.

Semuanya gara-gara malu dengan kekurangannya berbahasa Melayu. (Hakikatnya Marion sangat comel bercakap dalam bahasa Malaysia).

Namun tawaran Afdlin Shauki untuk berlakon dalam sebuah filem arahan terbarunya sangat mengujakan dan tidak mampu ditolak.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, tawaran itu diterimanya tanpa banyak soal. Apalagi sudah ramai yang bertanya bila lagi dia mahu berlakon.

“Ini sesuatu cabaran baru. Lagipun watak saya pun kurang dialog, jadi okeylah. Saya ini penakut tau,” katanya sambil ketawa kecil.

“Lagipun, saya banyak masa terluang ketika ini,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: