Wednesday, August 12, 2009

Semangat Tun Mamat





Lebih santai dan penuh elemen komedi, teater bangsawan yang dipentaskan di Istana Budaya baru-baru ini cukup menghiburkan

KESETIAAN membuta tuli membawa kesengsaraan pada diri sendiri dan keluarga. Ia mungkin tema paling menyerlah yang dapat dilihat daripada persembahan teater bangsawan Tun Mamat dan Mimpi Tuanku yang dipentaskan oleh Istana Budaya di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, selama tiga hari berturut-turut bermula 7 Ogos lalu.

Dalam masyarakat Melayu, setia dianggap sebagai tunjang kehidupan. Paling tidak, itulah kata-kata Laksamana Hang Tuah dalam pementasan berkenaan. Namun, sampai ke tahap mana kesetiaan dan ketaatan itu harus dipertahankan? Apakah kesetiaan itu mesti dijaga seandainya natijah daripada perbuatan itu hanya membawa kepada kemusnahan hidup rakyat mahupun pengikutnya?

Tun Mamat dan Mimpi Tuanku yang ditulis cerita asalnya oleh Z Lokman dan Aziz M Osman, memperkatakan soal kesetiaan pada Sultan. Pementasan arahan Lokman Ghani itu mengajak penonton bertanya sendiri, haruskah ketaatan dipanjangkan sekiranya ia cuma membawa kepada keadaan yang menyenangkan hati sebelah pihak.

Pada ketika Hang Tuah menyanjung sikap kesetiaan, generasi lebih muda yang diwakili anaknya, Tun Biajid dan Tun Mamat pula mula mempersoalkan sifat mulia itu, apabila matlamatnya penuh kekaburan.

Menerusi pementasan berkenaan, Tun Mamat yang dilakonkan Ashraf Muslim, mula keresahan apabila Sultan (Datuk Jalaluddin Hassan) kononnya bermimpi seorang wanita cantik seakan sama dengan tunangan Tun Mamat, mahu dijadikan gundik. Apatah lagi selepas dia sendiri menyaksikan bagaimana pemerintah itu ‘merampas’ Dang Ayu (Nurlela Bakar), menantu Hang Tuah (Zulkarnain Ramly) sendiri daripada suaminya, Tun Biajid (Mutalif Abu Bakar).

PERSOALAN mengenai ketaatan kepada Sultan dibangkitkan dalam pementasan bangsawan oleh kumpulan dari Istana Budaya.

Mempertahankan ketaatan kepada Raja, Hang Tuah merelakan perbuatan itu berlaku kerana sifat mulia itulah yang didokongnya sejak sekian lama. Tetapi, Tun Mamat tidak berserah begitu saja apabila dia hadir bersama idea untuk melepaskan diri dan tunangan daripada cengkaman Sultan.

Dengan menggunakan akal dianugerahkan Yang Kuasa, dia memaklumkan pada Sultan, dia juga bermimpi perihal seorang puteri cantik jelita (Sabrina Ali) yang kononnya lebih afdal untuk duduk di sisi pemerintah terbabit. Termakan dek kata-kata Tun Mamat, Sultan memerintahkan rombongan peminangan diutuskan ke puncak Gunung Ledang, walaupun hakikat kewujudan si puteri tiada kejelasan.

Hang Tuah yang diperintah memanjangkan hajat Sultan diiringi Tun Mamat serta beberapa pengawal. Begitupun laksamana terbilang itu menghilangkan diri, setelah dia sedar, urusannya kali ini gagal dilaksana. Kewujudan puteri itu sendiri tidak pasti, apabila Tun Mamat hanya digambarkan bertemu dengan empunya diri dalam mimpi.

Disampaikan dalam bentuk lebih santai dan penuh elemen komedi, Tun Mamat dan Mimpi Tuanku nyata sebuah persembahan cukup menghiburkan.

SABRINA dan Ashraf membantu menghidupkan cerita.

Walaupun sering kali mengajak penonton ketawa bersama dialog dan gelagat pelakonnya, tetapi isu kepatuhan kepada pemimpin secara melulu yang disampaikan cukup berkesan dirasa. Pujian buat pengarahnya yang mempersembahkan bangsawan itu dalam bentuk lebih ringan, kerana matlamat asal untuk menghiburkan penonton tidak pernah dilupa.

Bukan sekadar babak dan pengucapan dalam bangsawan itu sendiri yang menggelikan hati, sebaliknya persembahan selingan turut menggamatkan panggung.

Persembahan selingan oleh tiga pelakon, Abu Bakar Sulaiman, Barat Anak Enchan dan Mohamad Mohd Nor sangat menarik. Kononnya, mereka ialah peserta rancangan lakonan realiti yang harus menyajikan aksi terbaik pada peringkat akhir. Lalu, daripada lakonan bersahaja sehingga ke aksi lelaki lembut, kemunculan tiga pelakon ini memang memecahkan perut.

Dipentaskan di lokasi yang jauh lebih kecil berbanding Istana Budaya, keadaan itu tidak menghalang kumpulan tenaga kreatif terbabit menonjolkan pertunjukan yang baik. Ringkas saja set disediakan, tetapi efektif.

Pelakonnya juga memberikan lakonan yang tidak membosankan, lebih-lebih lagi apabila sebahagian besar kisahnya disampaikan dalam bentuk lebih komedi.

Ashraf sebagai tunjang utama nampak lebih selesa dengan watak yang tidak memerlukannya betul-betul bersusah-payah menunjukkan rasa dalaman. Lebih baru berbanding pelakon lain, sudah tentu ada ketika dia dibayangi bakat lebih berpengalaman. Namun, Ashraf mempunyai keberanian untuk terus mencuba lakonan pentas selepas Patriot dan Patung Kertas.

Penggunaan pelakon ternama seperti Jalaluddin dan Ashraf pula strategi menjadi oleh Istana Budaya untuk menggamit perhatian orang ramai ke Panggung Bandaraya. Nyata malam pertama penuh sesak dengan peminat, yang pasti tidak pulang hampa. Mereka berseronok dengan persembahan yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) berkenaan.

Sepanjang tahun ini, sudah enam judul bangsawan dibawakan JKKN ke pentas terbabit. Bermula dengan Puteri Sakdung pada Februari, gelanggang terus diisi dengan Laksamana Cheng Ho (Mac), Semerah Padi (April), Delima Mustika Sakti (Mei), Panglima Indera Kayangan (Jun) dan Haris Fadilah (Julai).

Selepas ini, program Semarak Bangsawan yang sudah memasuki musim ketiganya akan terus rancak dengan pementasan Mahsuri pada Oktober, Bawang Putih Bawang Merah (November) dan Sinbad (Disember).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: