WARGA kerja produksi Pop Kuiz musim 2009. |
SIAPA boleh lupa aksi gedik dan 'over' Aznil Nawawi ketika mengacarakan program Pop Kuiz di TV3 satu ketika dulu sehingga rancangan berkenaan muncul gameshow popular dan pernah menerima pengiktirafan Highly Commended Programme oleh Asia Television Awards 1996.
Kebetulan juga sekitar 90-an, tidak banyak program gameshow berkaitan dunia hiburan tempatan dan antarabangsa diterbitkan seperti sekarang, terutama saingan stesen berbayar.
Ketika Aznil mengacarakan program itu bersama Rina Khan, Pop Kuiz muncul program kegemaran ramai. Bagaimanapun tidak lama selepas itu wajah pengacaranya silih berganti, selepas paduan serasi Aznil dan Rina, ia dikendalikan pula oleh Amy Mastura, Maya Matahari, Intan Suraya dan Benjy sehinggalah program itu diberhentikan pada 2005.
Selepas empat tahun menghilang, Pop Kuiz kini kembali merancakkan dunia hiburan tempatan. Program itu menyandarkan kepercayaan kepada dua nama iaitu Aidid Marcello dan Haryati Hamzah atau Yatt untuk melonjakkan kembali populariti program itu. Persoalannya mampukah Aidid dan Yatt mengembalikan kegemilangan Pop Kuiz? Adakah wujud ‘chemistry’ antara Aidid dan Yatt kerana kedua-duanya memiliki karakter berbeza.
Bagaimanapun Aidid dan Yatt bukanlah orang baru dalam dunia pengacaraan. Aidid mula mengacara sejak usia belasan tahun lagi menerusi program Remaja. Dari program keremajaan itu, transisi bapa muda ini beralih kepada corak pengacaraan lebih serius apabila dia diserapkan sementara waktu ke program Majalah 3 menggantikan isterinya Norzie Pa’ Wan Cik yang mengandung ketika itu. Malah dia juga pernah mengacarakan dokumentari berunsur keislaman, As Salam.
Dari pengacaraan serius, Aidid kini kembali ke program lebih ringan. Ditanya tidakkah dia merasa kredibilitinya sebagai pengacara melalui fasa kejatuhan, Aidid tidak pernah berasakan sedemikian. Sebaliknya dia mengakui lebih seronok mengendalikan program ringan yang membolehkan dia menjadi dirinya sendiri.
Soal ‘chemistry’ dengan Yatt juga bukanlah masalah untuk Aidid. Sejak mereka digandingkan, Aidid tidak menghadapi sebarang masalah untuk membina keserasian sekali gus melancarkan keseluruhan penggambaran bagi musim pertama.
“Saya lebih selesa mengendalikan program santai seperti pelancongan dan gaya hidup kerana saya tidak perlu menjadi orang lain. Saya bebas menjadi diri sendiri tanpa perlu terikat dengan protokol dan juga skrip.
“Saya tak merasakan pembabitan saya dalam Pop Kuiz merendahkan martabat sebagai seorang pengacara. Saya sendiri bermula dengan program santai iaitu Remaja pada 1998, seterusnya RSB dan Remaja Sdn Bhd. Bagaimanapun ketika isteri mengandung, saya dikehendaki menggantikannya mengacarakan program Majalah 3 dan pernah juga mengendalikan As Salam. Tetapi jujur saya kurang berminat dengan program serius kerana jiwa saya lebih kepada program santai.
“Apabila diberi tanggungjawab mengendalikan Pop Kuiz, saya berasa seronok kerana boleh menjadi diri sendiri. Tugas saya mungkin nampak mudah tetapi tanggungjawab yang dipikul bersama Yatt untuk mengembalikan kegemilangan program ini bukanlah mudah. Program ini cukup dikenali satu ketika dulu dan antara program hiburan yang popular pada waktu itu, jadi saya dan Yatt perlu berkerja keras supaya dapat menarik penonton untuk menonton Pop Kuiz,” kata Aidid.
Jika Aidid bermula dengan program Remaja, Yatt juga memulakan langkahnya dalam dunia seni sebagai pengacara sebelum melangkah lebih jauh ke dunia lakonan. Program pertama dikendalikan wanita jelita ini ialah Joran, setelah itu pengacara berusia 29 tahun itu diberi kepercayaan mengendalikan program bual bicara Selamat Pagi Malaysia (SPM) diikuti Nasi Lemak Kopi di TV9.
Karakter gila-gila wanita ini seterusnya memikat TV3 melamarnya mengendalikan Pop Kuiz kerana karakter itu amat sesuai untuk program ini, sama seperti karakter dimiliki Aznil hingga berjaya melonjakkan nama program berkenaan.
“Kepercayaan diberikan TV3 saya gunakan sebaiknya. Memanglah tanggungjawabnya besar kerana program ini pernah dikendalikan pengacara yang hebat, kalau pun tidak mampu menjadi sehebat mereka, sekurang-kurangnya diletakkan setaraf dengan mereka pun sudah memadai. Saya terbuka kepada kritikan, jika ada yang tidak berpuas hati dengan cara kerja saya, tegurlah kerana saya sedia menerima teguran.
INFO:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: