Azmir Arif |
AZMIR Arif tidak mahu menggunakan kekurangan dirinya untuk dikenali ramai. Sebaliknya ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini, anak muda berusia 26 tahun dari Balik Pulau, Pulau Pinang itu tidak mahu masalah 'sengau' terus dijadikan bahan cerita kerana bimbang dikatakan cuba meraih simpati orang, sebaliknya dia mahu dikenali kerana suaranya.
Justeru, jika terbabit dengan temu bual bersama media, Azmir lebih selesa bercerita mengenai album, impian serta cita-citanya dalam dunia nyanyian. Baginya cerita mengenai sengau tidak perlu lagi untuk diperkatakan kerana kekurangan dirinya itu sudah terlalu banyak mendapat perhatian sejak awal kemunculannya setahun setengah yang lalu berbanding cerita kerjayanya.
Lebih setahun merangkak-rangkak untuk meletakkan diri dalam dunia nyanyian, Azmir hampir kecewa kerana tiada syarikat tempatan yang berminat untuk mengambilnya menjadi artis mereka. Bagaimanapun, siapa sangka tuah anak muda itu rupanya bukan di sini sebaliknya bakatnya dihidu syarikat rakaman dari Singapura. Dia kini bernaung di bawah syarikat rakaman Kris Media Pte Ltd untuk tempoh dua tahun.
Menurut Azmir, syarikat itu sudah berjanji untuk membantunya mengembangkan kerjayanya di Singapura dan Indonesia. Malah, Kris Media jugalah yang mengeluarkan bajet untuk album sulungnya berjudul Kurniaan yang dilancarkan pada 12 Ogos lalu. Hasil perbincangan dengan Kris Media, Azmir yakin syarikat itu mampu merealisasikan cita-citanya yang selama ini terpendam.
“Sudah lebih setahun setengah saya menunggu tawaran syarikat rakaman tempatan tetapi nampaknya tiada satu pun yang berminat. Dalam tempoh itu saya terpaksa bergerak sendiri semata-mata untuk meletakkan diri dalam industri ini.
“Mungkin rezeki saya, ketika membuat persembahan di sebuah majlis, wakil dari Kris Media turut hadir. Mereka tertarik dengan bakat saya dan mahu mengenali saya dengan lebih mendalam, ia disusuli dengan perbincangan demi perbincangan dan akhirnya saya menandatangani kontrak selama dua tahun dengan syarikat itu,
“Melalui perbincangan, saya dapat merasakan mereka jujur dan benar-benar serius mahu membantu saya mengembangkan kerjaya nyanyian. Mereka turut mengeluarkan bajet untuk album solo pertama saya Kurniaan. Insya-Allah, jika tiada sebarang masalah sebaik album saya dilancarkan di sini, saya akan ke Singapura pula untuk mencuba pasaran di sana malah saya sudah menerima beberapa undangan nyanyian. Selepas itu barulah kami akan ke Indonesia pula,” katanya.
Kurniaan yang memuatkan lima buah lagu serta empat trek bonus menampilkan komposer baru antaranya Aidil AF3, Aesar Mustafa, Rosdi Harun, Qalil dan tidak ketinggalan komposer disegani Adnan Abu Hassan.
Ditanya kenapa tidak mendapatkan khidmat komposer hebat yang mungkin boleh menjanjikan populariti segera, Azmir berkata, dia sengaja memilih ramai komposer baru untuk memberi peluang kepada pendatang baru menonjolkan bakat mereka dan mungkin akan menggunakan komposer yang sudah memiliki nama untuk album seterusnya.
“Saya tidak memandang nama komposer, lagipun memang sengaja saya memilih mereka. Mereka ini juga wajar diberikan peluang, mungkin untuk album kedua nanti saya akan cuba dapatkan khidmat komposer yang lebih dikenali,” kata penyanyi residen di Restoran Sri Melayu ini.
Kurniaan kata Azmir cukup istimewa kerana ia memuatkan lagu dari pelbagai genre iaitu balada, R&B serta irama Malaysia. Lagu yang dimuatkan dalam album itu ialah Cinta Jasmin, Maafkan Aku, Bila Kau Jauh, Misteri Cinta Sakti dan Zapin Kelana. Kata Azmir lagi, dia amat beruntung kerana syarikat rakaman yang dinaungi memberi kebebasan kepadanya untuk menentukan hala tuju album sulungnya itu. Bercerita mengenai judul albumnya Kurniaan, kata Azmir mereka sengaja memilih judul berkenaan kerana menganggap kekurangan pada dirinya sebagai satu kurniaan yang cukup berharga.
Selepas lebih setahun merangkak dalam bidang ini, Azmir juga mengakui semakin selesa dan lebih memahami selok belok dunia hiburan tanah air. Dia tidak menafikan, agak sukar meletakkan diri dalam dunia ini ketika di awal kemunculannya tetapi kini, sedikit demi sedikit nama serta lagu-lagunya sudah mula mendapat tempat. Malah, lagu-lagunya juga semakin kerap diputarkan di radio terutama stesen milik RTM, bagaimanapun radio swasta seperti Era juga sudah mula memutarkan lagu-lagunya.
“Dulu memang orang sukar nak terima saya tetapi maklum balas yang positif dari media membuka mata ramai. Ada juga yang beranggapan saya seribu dalam satu kerana kekurangan tetapi saya bukan hadir ke dunia nyanyian ini untuk raih simpati. Saya mahu menjual bakat, dan alhamdulillah lagu saya juga semakin diterima,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: