PENGARAH, M Jamil (kanan) bersama pelakon yang menjayakan Momok The Movie. |
Faizal Ramly bakal muncul dalam filem Momok The Movie mulai 20 September
DI antara rama-ramai juara rancangan realiti Akademi Fantasia, Faizal Ramly dilihat sebagai juara yang agak jauh daripada media. Entah di mana silapnya, artis kelahiran Terengganu itu tenggelam timbul kisahnya di dada akhbar mahupun majalah. Bukan tidak berbakat, namun bagai ada sesuatu yang 'memisahkan' dirinya daripada jangkauan media.
Lalu, apabila artis yang akan genap berusia 25 tahun pada 17 Ogos itu muncul pada majlis sidang akhbar filem Momok The Movie lakonannya di Kompleks Finas, Hulu Klang, baru-baru ini, sudah tentulah dia menjadi tumpuan wartawan yang datang.
Ramah seperti selalu, anak muda yang mencipta nama menerusi musim keempat AF itu mengaku, dirinya kurang mendapat publisiti di media. Begitupun, dia mempunyai penjelasan sendiri mengapa keadaan sedemikian boleh terjadi.
"Mungkin juga pihak media sukar untuk menghubungi saya, apatah lagi segala kerja berkaitan karier seni dilakukan sendiri oleh saya. Saya tidak mempunyai mana-mana pembantu peribadi atau pengurus ketika ini. Tidak mengapalah, sebab saya pun agak selesa bergerak sendiri," katanya.
Katanya, walaupun agak penat apabila terpaksa memandu sendirian tatkala berulang alik dari Utara ke Selatan memenuhi undangan mengadakan persembahan, Faizal tidak kisah kerana kata jejaka ini, hatinya senang!
| Faizal |
Menurut pemuda yang popular dengan lagu Datanglah petikan album sulung, kekurangan berita mengenai dirinya di media bukanlah atas alasan dia tidak suka kehidupannya diganggu, apatah lagi apabila kemunculannya sering kali dikaitkan dengan pelbagai kontroversi.
"Saya juga bukanlah menghilang atau melarikan diri daripada media dan peminat. Sebenarnya, masih banyak penganjur yang menggunakan khidmat saya. Saya sering memandu ke Pulau Pinang dan Johor untuk mengadakan persembahan.
"Mungkin, saya bekerja bukan untuk mencari glamor. Sebaliknya, jika saya dapat membantu ibu dan bapa di kampung, ia sudah begitu bererti. Yang penting, niat kita dalam melakukan sesuatu pekerjaan kenalah betul," tegas Faizal yang memegang watak utama dalam Momok The Movie.
Menyentuh karier muziknya, Faizal memberitahu, ketika ini dia masih dalam proses menghasilkan sebuah album khas bersama kumpulan Iklim, di bawah payung Warner Music.
"Projek yang diketuai Umarul itu masih dalam peringkat rakaman. Sehingga kini, sebanyak lima lagu sudah pun dirakam. Kami masih menunggu waktu yang sesuai untuk merakamkan tiga lagi lagu bagi melengkapkan album berkenaan," kata Faizal yang diundang sebagai vokal utama bagi projek khas terbabit.
Daripada dunia nyanyian, anak muda ini tiba-tiba bergelar pelakon pula. Selain Momok yang tamat penggambarannya Februari lalu, Faizal turut menjayakan filem cinta, Pulau Asmara, terbitan alakazam Productions Sdn Bhd. Sekali lagi, pemuda ini diberikan peluang menghidupkan watak utama.
Lalu, timbul pertanyaan, apakah dia sudah mula jatuh cinta dengan lakonan? Apakah juga Faizal kecewa dengan dunia muzik, lalu memberikan tumpuan kepada filem?
"Bukan melupakan bidang nyanyian, tetapi apabila saya mendapat tawaran berlakon filem, saya menerimanya kerana ia juga satu daripada cabang rezeki untuk anak seni. Berlakon memang sesuatu yang cukup baru bagi saya. Saya tidak pernah berlakon di TV mahupun filem. Jadi, apabila mereka menawarkan saya watak utama, saya agak terperanjat juga.
"Apabila mencuba, saya mengaku, berlakon agak menyeronokkan. Sudah tentulah saya takut-takut, bimbang tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab diberikan. Jadi, saya banyak bertanya kepada pengarah dalam usaha memberikan persembahan terbaik kepada mereka," kata Faizal yang ingin mencuba pelbagai watak bagi mempertingkatkan keupayaannya dalam lakonan.
Dalam filem Momok arahan M Jamil yang akan menemui penonton pada 20 September ini, Faizal beraksi di samping Abon, Nabil Raja Lawak, Datuk Aziz Sattar, Leez, Mimi Rahzia, Siti Rohani Wahid, Datuk Sarimah Ahmad dan ramai lagi. Filem terbabit diterbitkan oleh Galaksi Seni Sdn Bhd.
Antara lain, filem ini mengisahkan bagaimana dua perantau, Adlin (Faizal) dan Kadir (Abon) pulang ke kampung dan bersembang kosong di sebuah gerak milik Pak Ajis (Aziz Sattar). Pelbagai petanda dan insiden dialami mereka, bagai memberikan petunjuk sesuatu tidak baik akan berlaku.
Mereka sembang pelbagai cerita, hinggalah ke kisah seram. Mereka kemudian disertai seorang gadis India pekerja kilang, Noniswara, yang bercerita mengenai pengalamannya menaiki bas tanpa pemandu ketika pulang dari kerja.
Momok The Movie memuatkan beberapa kisah hantu yang biasa didengar masyarakat tempatan termasuk pontianak, pocong, bunian, badi mayat, mayat hidup dilangkah kucing hitam dan sampuk.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: