Azizul HAqim dan Norzarina muncul juara kategori lelaki serta wanita Pertandingan Bintang Klasik Nasional 2009. |
KALAULAH Pertandingan Bintang Klasik Nasional 2009 yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Ahad lalu, dilakukan oleh saluran stesen swasta, ada kemungkinan suasana atau auranya sangat berbeza sama sekali.
Apa tidaknya, hampir semua barisan pesertanya muda-muda belaka dan mereka juga memiliki personaliti menarik untuk ‘dijual’ dalam industri muzik tanah air yang sentiasa dahagakan bakat baru.
Tambahan pula mereka mampu menyanyi dan menghayati lagu retro yang popular sekitar akhir tahun 60-an sehinggalah kepada era 70-an dan 80-an dengan baik. Inilah sebenarnya adalah satu kelebihan terhadap program ini.
Apakan daya, program itu terbitan RTM. Bukan kita nak kata ia tak bagus. Menontonnya ketika disiarkan secara langsung di TV2, berselang-seli dengan program bual bicara Fenomena Seni di TV1, terasa masih banyak kekurangan yang perlu diberi perhatian dengan serius.
Itu pun, kalau RTM ada cita-cita untuk melihat Pertandingan Bintang Klasik Nasional ini menjadi sebuah program yang menjadi sebutan ramai, gah dan sensasi seperti Akademi Fantasia (AF) di Astro Ria.
Program AF nampak gah dan glamor sedangkan kadang-kadang ‘tidak ada apa-apa pun’ kerana sepanjang tempoh penyiarannya iaitu dari mula hingga akhir, Astro Ria sudah membuat perancangan yang teratur, bukan setakat penerbitan, tetapi pemasaran dan publisitinya.
Apabila memperkatakan mengenai Astro dan AF ini, kita juga tertanya-tanya apa sudah jadi dengan stesen TV berbayar itu sejak akhir-akhir ini. Apa tidaknya, sejak kebelakangan ini, siri AF saja sudah diulang entah berapa kali.
Ia bukanlah AF musim terbaru, tetapi dari musim lama. Setiap satu musim siarannya diulang beberapa kali. Itu AF, belum lagi program lain seperti telefilem atau drama bersiri.
Beberapa bulan lalu, Astro memperkenalkan pakej baru dikenali sebagai Mustika. Dalam pakej ini mengandungi tiga sub-saluran iaitu Citra, Warna dan B4U. Tapi itu bukan percuma. Kalau mahu menonton program dalam pakej ini, pelanggan dikenakan bayaran lagi.
Saluran dalam pakej Mustika ini dihebahkan sebagai mengandungi program yang lebih baik dan segar berbanding dengan saluran sedia ada. Kita tidak tahu sejauh mana kehebatannya kerana tidak melanggan Pakej Mustika kerana berasakan belum ada kemampuan untuk menambah kos langganan sedia ada.
Tambahan pula pada masa yang sama, Astro sudah menghantar notis kepada pelanggannya memaklumkan mengenai kenaikan harga langganan untuk Pakej Sukan. Kita sedia maklum dengan alasan Astro terhadap kenaikan Pakej Sukan ini. Kita faham kerana pada peringkat antarabangsa, bayaran yuran untuk mendapatkan hak penyiaran sukan semakin meningkat. Dalam erti kata lain, semakin mahal!
Namun, ada perkara yang menimbulkan sedikit persoalan. Dalam saluran sukan ini, ada disiarkan beberapa iklan komersial. Iklan komersial ini seperti dari syarikat telekomunikasi atau kereta.
Bukan saja dalam saluran sukan, kadang-kadang iklan komersial ini boleh didapati dalam saluran Astro yang lain. Kalau stesen TV percuma seperti TV1, TV2, TV3, TV9, ntv7 dan 8TV, kita faham iklan komersial ini tidak dapat dielakkan kerana ia bagi menjana pendapatan. Stesen TV ini tidak memperoleh apa-apa ‘pulangan’ daripada penonton yang menontonnya secara percuma.
Oleh itu, apabila Astro menyiarkan iklan komersial dalam mana-mana salurannya, apa faedah yang boleh dinikmati oleh pelanggan sebagai ‘pemegang saham’ tidak langsung kerana membayar langganan pada setiap bulan?
Harus diingat, tiada yang percuma dalam Astro. Sama ada kita hendak menamatkan perkhidmatan, menyambung semula perkhidmatan, malahan kalau mahu menambah pakej baru, semuanya tidak percuma. Mesti ‘yuran perkhidmatan’ yang dikenakan.
Malangnya apabila siaran Astro tidak ada dalam perkhidmatan kerana hujan atau mendung, tidak ada pula pengurangan bayaran atau ‘diskaun’ walaupun sedikit diberikan bagi mengubati perasaan sakit hati pelanggan.
Berbalik kepada Pakej Mustika, kita berasakan kebanyakan program baru seolah-olah ditumpukan untuk pakej ini. Manakala, program dalam saluran Astro Ria, Prima dan Oasis atau Ceria, hampir keseluruhannya adalah cerita lama yang dikitar semula.
Berapa banyak saluran yang hendak diperkenalkan, itu adalah hak Astro. Cuma yang menjadi kemusykilan kepada pelanggan dan penonton ialah setakat mana mereka mampu mengisi setiap saluran dengan kandungan baru, segar dan bermutu. Apa yang kita faham, semakin banyak saluran, bermakna perlu banyak kandungan yang perlu diterbitkan dan ini menjadikan kosnya tinggi.
Mungkin Astro menggunakan alasan penyiaran semula program lama adalah untuk memberi keadilan kepada pelanggan baru. Kalau itu yang difikirkan, apa pula hak dan keadilan pelanggan lama? Sepatutnya yang baru dialu-alukan, manakala pelanggan lama dihargai. Cara menghargai pelanggan lama pula bukanlah dengan menyajikan siaran ulangan pula. Ia seolah-olah tidak menghargai kesetiaan pelanggan lama yang tidak pernah ‘meninggalkan’ Astro. Apakah suatu masa nanti, pelanggan setia Astro yang tidak mampu melanggan pakej baru, akan menikmati program berbentuk klasik saja? Kalau hendak tengok kandungan dan program baru, kita kenalah tambah wang lagi melanggan pakej lain?
Pelanggan lama atau baru tidak patut timbul. Ia sepatutnya berdasarkan konsep ‘siapa dulu, dia dapat’. Bukan tidak boleh menyiarkan semula program lama, tapi biarlah berpada-pada.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: