Tuesday, August 4, 2009

Ribuan penduduk ucap selamat tinggal


ORANG ramai menyentuh kenderaan yang membawa keranda Corazon Aquino di Makati, Manila semalam.


MANILA - Beribu-ribu penduduk memenuhi jalan-jalan raya di sini untuk melihat secara dekat keranda yang membawa mayat bekas Presiden Corazon Aquino ke sebuah gereja di ibu negara Filipina semalam.

Aquino yang akan dikebumi esok, meninggal dunia pada hujung minggu lalu akibat barah usus.

Pemimpin berumur 76 tahun yang disenangi kebanyakan rakyat itu terjun ke dunia politik selepas suaminya mati dibunuh konco-konco bekas Presiden Ferdinand Marcos pada 1983.

Ramai pemimpin dan rakyat biasa bersedih susulan kematian pemimpin bersifat keibuan yang disanjung tinggi kerana mengembalikan demokrasi di Filipina.

Lalu lintas terhenti apabila keranda Aquino yang dihias susunan bunga kuning di atas sebuah trak terbuka bergerak perlahan-lahan melalui kawasan perniagaan Makati di sini.

Rata-rata orang ramai membentuk huruf L menggunakan isyarat tangan yang bermaksud Laban atau 'berjuang' dalam bahasa tempatan.

"Saya ingin mengambil peluang ini untuk menyatakan terima kasih kepada anda semua," kata anak bongsu Aquino, aktres Kristina Bernadette ketika konvoi tersebut berhenti seketika di hadapan tugu mendiang bapanya, Benigno 'Ninoy' Aquino.

Mayat pemimpin demokrasi itu akan dikebumi di sebelah kubur suaminya di Taman Memorial Manila di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: